Adakah Zahid akan memecat Perdana Menteri Ismail Sabri dari UMNO sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan pindaan perlembagaan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti UMNO kepada selepas PRU15?
Persoalan yang sedang ditanyakan oleh rakyat Malaysia yang sedar tentang politik adalah sama ada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Najib Razak, akan memecat Perdana Menteri, Ismail Sabri dari UMNO sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan pindaan perlembagaan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti tersebut kepada selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, telah mengatakan semalam yang selain daripada mematuhi perintah ROS dan mengadakan pemilihan dalaman parti tersebut, UMNO mempunyai “Rancangan B” sekiranya ROS menolak pindaan perlembagaan UMNO ini, walaupun dia enggan mendedahkan maklumat mengenai “Rancangan B” ini.
Saya bersetuju sepenuhnya dengan Ketua Pembangkang Johor yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong, yang mengatakan UMNO telah menjadi punca ketidakstabilan politik yang telah menyebabkan negara kita melalui dua pertukaran kerajaan dan kini parti tersebut mahu menghancurkan kerajaan yang ketiga dalam tempoh empat tahun.
Liew mengatakan yang rakyat Malaysia perlu bersatu menolak Barisan Nasional yang dipimpin UMNO sekiranya kita mahukan masa hadapan yang lebih baik.
Saya faham kekecewaan Liew apabila mana pemimpin UMNO tidak menyegarkan semula parti selepas kekalahan pilihan raya dalam tahun 2018, sebaliknya memilih untuk menyebarkan kebencian terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang diundi rakyat.
Perkara ini amat jelas sekali dalam kesilapan yang dilakukan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, yang menekankan tidak ada perubahan dalam pendirian UMNO/BN terhadap skandal mega bernilai berbillion dolar 1MDB, yang telah menyebabkan Malaysia dikenali sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.
Seperti tahun-tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, di mana tidak ada mana-mana pemimpin UMNO/Barisan Nasional yang berani mengecam skandal 1MDB, pendirian yang sama berterusan selepas 2018, terutamanya dalam dua tahun yang lepas ketika mana Menteri UMNO kembali berada di dalam kerajaan selepas konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020.
UMNO telah berpecah kepada dua kumpulan – “Kluster Mahkamah” dan “Kluster Kabinet”, tetapi mereka semua berada dalam “Kluster 1MDB”!
Pada tahun 1979, dalam Perhimpunan Agung UMNO, Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn, memberikan amaran yang Malaysia akan musnah sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” dan menyatakan harapan supaya skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta ketika itu akan menjadi “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain, termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh kerajaan”.
Malangnya, amaran Hussein Onn 43 tahun lalu yang mengatakan Malaysia akan musnah sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” ini tidak diendahkan dan kini akan dibuktikan tepat sekiranya tidak ada penetapan semula hala tuju dasar dan prinsip pembangunan negara untuk mengeluarkan Malaysia dari trajektori sebuah kleptokrasi sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad yang akan datang.
Amatlah tragis melihat tidak ada tokoh seperti Hussein Onn di dalam pimpinan tertinggi UMNO hari ini.
Siapakah yang akan tampil ke hadapan di dalam UMNO untuk menjadi Hussein Onn hari ini sebelum UMNO dan Malaysia musnah?
Inilah salah satunya sebab mengapa dalam setengah abad yang lepas, Malaysia terus ditinggalkan oleh semakin banyak negara dalam bidang-bidang yang diceburi manusia.
Kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, dan Vietnam.
Adakah kita akan ditinggalkan di belakang China dan Indonesia sebelum penghujung dekad ini dalam penerbitan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI)?
Adakah kita akan ditinggalkan dengan lebih banyak negara dari segi pembangunan ekonomi, mungkin kepada Indonesia dan Filipina, menjelang 2040 atau 2050 – jauh sebelum ulang tahun ke-100 negara?
Adakah kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan ini punca kemunduran Malaysia dalam setengah abad yang lepas?
Tidak. Malah, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan diberikan mandat lima tahunnya sepenuhnya dan tidak disabotaj dan ditumbangkan melalui konspirasi Langkah Sheraton selepas hanya 22 bulan, suatu permulaan baharu dapat dibuat untuk menetapkan semula dasar dan prinsip pembinaan negara dan menambah baik institusi negara.
Jelas sekali, UMNO dan Barisan Nasional ini bukan sahaja punca ketidakstabilan politik semasa Malaysia, tetapi mereka jugalah punca kemunduran negara dalam setengah abad yang lepas.
Adakah Malaysia ini tidak mempunyai sebarang harapan lagi, dengna nasib hanya untuk menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam tiga atau empat dekad yang akan datang?
Saya tidak rasakan begitu. Kita tidak boleh berputus asa.
Kita perlu teruskan usaha untuk menetapkan semula dan menambah baik usaha-usaha yang telah dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum ini untuk melihat hasil penetapan semula dasar dan reformasi institusi supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan bukannya sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara.