Ongkili jangan salah faham – dia perlu sedar yang penyelesaian terhadap masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah adalah langkah pertama dan yang paling penting untuk memenuhi syarat perjanjian MA63 bagi Sabah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili, tidak boleh salah faham – dia perlu sedar yang penyelesaian terhadap masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah adalah langkah pertama dan yang paling penting untuk memenuhi syarat perjanjian MA63 bagi Sabah.
Ongkili sudah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai Sabah dan Sarawak selama lebih daripada dua tahun.
Apakah yang telah dilakukannya untuk menyelesaikan mimpi ngeri yang berlanjutan selama 50 tahun di mana pendatang tanpa izin mempunyai hak mengundi di Sabah ini?
Bulan lepas, Ongkili telah mengetuai sekumpulan pakar undang-undang, pengkaji selidik, dan pegawai dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah ke London untuk mencari dan mengkaji apa-apa bahan rujukan berkaitan dengan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mengapakah Ongkili berada di London sedangkan dia tidak berjaya untuk menyelesaikan masalah terbesar berkenaan MA63 untuk Sabah – masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah ini?
Apa yang Ongkili perlu lakukan adalah hanya merujuk kepada Memorandum Dua Puluh Perkara mengenai Imigresen yang dihantarkan kepada Jawatankuasa Antara-Kerajaan pada tahun 1962 yang menyatakan:
“Perkara 6: Imigresen
“Kawalan imigresen ke dalam mana-mana bahagian Malaysia dari luar dikawal oleh Kerajaan Pusat tetapi kemasukan ke Borneo Utara juga memerlukan kelulusan dari Kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan tidak boleh veto kemasukan mana-mana orang ke Borneo Utara untuk tujuan Kerajaan Negeri melainkan hanya atas sebab keselamatan. Borneo Utara perlu diberikan kawalan penuh pergerakan orang selain daripada mereka yang digajikan oleh Kerajaan Persekutuan dari kawasan lain di Malaysia ke Borneo Utara.”
Populasi Sabah telah meningkat enam kali ganda, dari 653,000 pada tahun 1970 kepada 3.91 juta orang pada tahun 2020 – semuanya kerana kemasukan pendatang tanpa izin.
Inilah perkara yang sepatutnya diselesaikan Ongkili memandangkan pendahulunya sebagai Presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan, telah gagal dalam melaksanakan tugas ini selepas kembalinya PBS kepada Barisan Nasional pada tahun 2002, di mana dia menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah dari tahun 2004 sehingga 2018 dan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan RCI Pendatang Tanpa Izin di Sabah dari tahun 2014 sehingga 2018.
Saya telah menulis tiga hari yang lepas kepada Ongkili untuk mendapatkan akses kepada 5,000 muka surat yang hilang dari Laporan RCI ini dan juga kepada Joseph Pairin untuk mendapatkan maklumat mengenai cadangannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan RCI dan maklumat mengenai cadangan mana yang diterima dan dilaksana dan cadangan mana yang ditolak, dan saya kini menanti maklum balas mereka.