Lebih ramai rakyat Malaysia selain dari Abang Johari dan Daim Zainuddin perlu bercakap mengenai di manakah silapnya dalam enam dekad usaha pembinaan negara sebelum ini, yang berkaitan dengan persoalan sama ada Malaysia dapat diselamatkan untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sebelum ulang tahun ke-100 negara dan bukannya menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka
Semalam, Premier Sarawak, Abang Johari, dan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin, bercakap mengenai di manakah silapnya dalam usaha pembinaan negara yang berkaitan dengan persoalan sama ada Malaysia dapat diselamatkan untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sebelum ulang tahun ke-100 negara dan bukannya menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka.
Abang Johari mengatakan yang cadangan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, mengenai Perjanjian Malaysia baharu tidak patut timbul kerana apa yang diperlukan adalah pelaksanaan syarat-syarat yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang merupakan asas kepada penubuhan Malaysia dan juga pelaksanaan laporan Jawatankuasa Antara-Kerajaan.
Adakah Timbalan Presiden UMNO bersedia untuk menerima pendapat ini?
Tetapi yang lebih penting lagi, adakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Maximus Ongkili, bersedia untuk menerima pendirian Sarawak ini bahawa tidak ada keperluan untuk berbincang mengenai Perjanjian Malaysia baharu atau perjanjian tambahan, memandangkan apa yang lebih penting adalah pemulihan dan pemenuhan syarat-syarat MA63, yang mana kebanyakannya, seperti yang didakwa oleh Abang Johari, telah terhakis.
Ongkili baru-baru telah “menjolok sarang tebuan” apabila dia mengatakan sebuah “parti BN” bertanggungjawab terhadap skim memberikan kerakyatan untuk meraih undi dan usaha diperlukan untuk membuang pengundi yang tidak layak dari daftar pengundi semasa dalam perhimpunan delegasi tahunan PBS.
Tetapi adakah dia sedar yang kejayaan atau kegagalannya sebagai seorang Menteri Persekutuan selama hampir dua dekad ini akan bergantung kepada kebolehannya untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah yang mempunyai hak mengundi dan sama ada dia dapat memulihkan keadaan MA63 melalui portfolionya?
Ongkili telah diamanahkan dengan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak sejak daripada Mac 2020. Apakah yang sudah dilakukannya untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah ini dalam dua tahun yang lepas?
Seorang lagi yang bercakap mengenai “Di manakah silapnya?” dalam usaha membina negara selama enam dekad yang lepas adalah Daim Zainuddin, yang pernah menjadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali sebelum ini.
Daim bertanya di dalam suatu wawancara khas bersama The Malaysian Insight: “Kini selepas saya bersara dan mengimbas kembali fail-fail lama saya, saya bertanya, mengapakah kita terus mengulangi kesilapan lampau?”
Dia mempersoalkan campur tangan Putrajaya dalam perniagaan dan kenaikan dominasi syarikat berkaitan kerajaan dalam ekonomi.
Buat masa sekarang, ekosistem syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membentuk kira-kira RM445 billion, atau 25% nilai pasaran di Bursa Malaysia.
Semangat Dasar Ekonomi Baharu, kata Daim, tidak sepatutnya membawa kepada kerajaan bersaing dengan sektor swasta, kerana kerajaan bukanlah usahawan dan “tidak tahu bagaimana untuk menjalankan perniagaan”.
Daim bimbang melihat bagaimana kerajaan kebelakangan ini semakin banyak terlibat dalam GLC dan GLIC, dan mengenai bagaimana belanjawan persekutuan diuruskan.
Gaji bulanan di GLC dan GLIC telah meningkat dari RM30,000 sebulan pada zamannya sehingga kepada RM1 juta sebulan kini.
Kebimbangan terbesar Daim, yang merupakan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, adalah mengenai pinjaman Malaysia untuk mendanai perbelanjaan subsidi kerajaan dan perbelanjaan pentadbiran yang semakin besar.
“Situasi kewangan kita kini serius. Pencen dan gaji untuk penjawat awam adalah tinggi dan kadar servis hutang juga tinggi. Menurut penjawat awam sendiri, menjelang 2030, tanggungan hutang kita sehaja akan mencecah RM200 billion setahun.”
Untuk menambah buruk keadaan lagi, Daim mengatakan yang ahli politik sedang memperkembangkan perkhidmatan awam untuk mendapatkan lebih banyak undi.
“Ahli-ahli politik cuba untuk mengeksploit 1.6 juta penjawat awam untuk mendapatkan undi. Ditambah dengan seorang isteri dan dua orang anak, sudah lima juta pengundi. Ia menjadi satu bank pengundi dan mereka mahu terus membesarkannya sehingga mereka lupa mengenai negara. Perkara ini tidak boleh berterusan. Saya bangkitkan perkara ini sebelum ini yang ia tidak boleh diteruskan. Dan kini mereka bercakap mengenai bekerja selama empat hari seminggu.”
Satu lagi kebimbangan Daim adalah mengenai kualiti pendidikan di dalam negara dan bagaimana perkara ini memberikan kesan kepada daya saing Malaysia berbanding dengan negara Asia Tenggara yang lain.
Dia mengatakan sistem pendidikan di Malaysia telah gagal dan kemasukan silibus pendidikan agama ke dalam sistem pendidikan tidak membantu.
Daim berkata, pada zamannya, mereka belajar agama selepas sesi persekolahan, sebulan sekali, dan perkara ini tidak menjadikan mereka kurang Islam.
“Malah, kini kelihatan seperti lebih buruk dengan pemimpin korup di merata tempat dan rakyat mengatakan perkara ini tidak apa.”
Perkara ini ditekankan oleh hakikat di mana walaupun selepas sedekad skandal mega 1MDB berterusan, tidak ada seorang pun Menteri atau pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang mengecam skandal ini.
Malaysia memerlukan lebih ramai rakyatnya untuk bercakap mengenai di manakah silapnya dalam usaha pembinaan negara bangsa kita sehingga kita tidak dapat menggembeling nilai-nilai terbaik dari pertemuan tamadun yang bertemu di Malaysia dan membangunkan potensi kita sepenuhnya.
Kita memerlukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk bangkit mencari jawapan kepada permasalahan ini, sama ada Malaysia masih dapat diselamatkan sebelum ulang tahun ke-100 negara dan menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, dan bukannya menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka.