Adakah Tok Mat hanya bersembang kosong?

Adakah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, telah bersembang kosong semasa dia bercakap dalam wawancaranya dengan Asia Times? Perkara ini tidak dibantu oleh penjelasan daripada ahli terbaru Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil, yang mengatakan Tok Mat hanya cuba mempersediakan dirinya untuk senario terburuk dalam perbicaraan rasuah Najib Razak.

Tok Mat memang tepat mengenai hak semua orang untuk mendapatkan perbicaraan adil, tetapi perkara ini tidak dapat menyembunyikan hakikat di mana bantahannya yang dia kononnya disalah petik sebagai mengatakan Najib patut ke penjara kerana skandal 1MDB tidak dapat disahkan oleh sesiapa yang mendengar rakaman penuh wawancara tersebut.

Apa yang lebih penting lagi, “tarian” terkini seorang pemimpin tinggi UMNO mengenai skandal 1MDB ini hanya menonjolkan lagi kegagalan pimpinan UMNO dan UMNO sendiri untuk mengecam skandal mega 1MDB yang melibatkan berbillion dolar yang telah menyebabkan Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.

Wawancara terkini Perdana Menteri, Ismail Sabri, bersama dengan Asia Nikkei membawa tajuk akhbar “Perdana Menteri Malaysia berharap untuk mengetepikan skandal 1MDB dalam pilihan raya akan datang”.

Perkara ini hanya menguatkan lagi hujah yang pimpinan tertinggi UMNO dan UMNO sendiri tidak bersedia untuk kembali kepada prinsip dan dasar pembinaan negara seperti yang dipersetujui oleh tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, yang menekankan keperluan untuk prinsip-prinsip penting seperti tadbir urus yang baik dan integriti, di mana perang terhadap rasuah diambil serius.

Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn, tidak akan “mengetepikan” skandal 1MDB, sebaliknya beliau akan mengecamnya sekuat-kuatnya untuk memastikan negara tidak terus terkesan dengan skandal 2MDB, 3MDB, dan 4MDB di masa hadapan.

Pada tahun 1979, dalam Perhimpunan Agung UMNO, Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn, memberikan amaran yang Malaysia akan musnah sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” dan menyatakan harapan supaya skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta ketika itu akan menjadi “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain, termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh kerajaan”.

Malangnya, amaran Hussein Onn 43 tahun lalu yang mengatakan Malaysia akan musnah sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” ini tidak diendahkan dan kini akan dibuktikan tepat sekiranya tidak ada penetapan semula hala tuju dasar dan prinsip pembangunan negara untuk mengeluarkan Malaysia dari trajektori sebuah kleptokrasi sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad yang akan datang.

Amatlah tragis melihat tidak ada tokoh seperti Hussein Onn di dalam pimpinan tertinggi UMNO hari ini.

Siapakah yang akan tampil ke hadapan di dalam UMNO untuk menjadi Hussein Onn hari ini sebelum UMNO dan Malaysia musnah?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri