Lawatan ke Serendah memberikan saya harapan yang rakyat Malaysia masih peduli untuk menyelamatkan Malaysia demi anak-anak dan cucu-cucu kita dengan memastikan Malaysia tidak menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad dari sekarang

Sementara duduk mendengari ucapan dari para pemimpin DAP Selangor dan Hulu Selangor, pelbagai perkara melintasi fikiran saya.

Pertamanya, mengapa saya masih di sini sedangkan empat bulan yang lepas, saya mengumumkan “persaraan” politik saya.

Saya hanya bersara dari “politik kompetitif”, bermakna saya tidak akan berada di barisan hadapan politik parti dan saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya parlimen atau dewan undangan negeri, tetapi, tidak ada cara untuk sesiapa pun bersara sepenuhnya daripada politik melainkan dia meninggalkan dunia ini – kerana politik memberikan kesan kepada setiap saat kehidupan kita dan tidak boleh dipisahkan dari kehidupan harian kita.

Kedua, saya jangka saya akan melawat rumah Dr Zubaidah Ibrahim sempena penyertaannya ke dalam DAP sebagai ahli. Dr Zubaidah mempunyai rekod yang cemerlang.

Beliau adalah Pengerusi Persatuan Sejarah Kuala Kubu, mantan Dekan dan Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya pada tahun 2011, dan penubuh bersama Persatuan Perpustakaan Komuniti Bukit Fraser sehinggalah perpustakaan ini diserahkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang pada tahun 2018. Beliau juga merupakan Pensyarah Pelawat di Universiti Sumatra Utara, Indonesia dan juga Ahli Fakulti Bersekutu di Singapore University of Social Science dalam bidang Penterjemahan dan Linguistik Terapan.

Semasa saya mendekati tempat ini tadi, saya ingatkan rumah Dr Zubaidah amatlah besar, rupa-rupanya tempat acara telah ditukar kerana ada lima orang lagi yang akan menyertai DAP berserta dengan perkumpulan pemimpin DAP Selangor dan Hulu Selangor.

Ketiga, majlis di Serendah ini memberikan saya harapan mengenai masa hadapan Malaysia. Sejak daripada pengumuman “persaraan” politik saya pada 20 Mac, saya telah bergelut dengan masalah mengenai masa hadapan Malaysia dan apakah rupa negara yang kita akan tinggalkan kepada anak-anak dan cucu-cucu kita.

Kita perlu mempunyai visi untuk negara demi masa hadapan, bukan semata-mata untuk masa sekarang sahaja.

Kerana inilah saya berpendapat, persoalan utama untuk Malaysia hari ini bukanlah mengenai siapa yang akan menang dalam pilihan raya umum yang akan datang, tetapi sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara yang akan disambut empat dekad dari sekarang.

Apalah gunanya kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya negara kita terus ke belakang dan ditinggalkan oleh semakin banyak negara, sehingga menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad lagi, atau menjadi sebuah kleptokrasi yang lebih buruk, atau seperti yang digambarkan oleh pemimpin Hulu Selangor, Sdr Ahmad Termizi bin Yaacob, menjadi satu lagi Yugoslavia?

Dalam setengah abad yang lepas, kita ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, dan Vietnam.

Adakah kita akan ditinggalkan di belakang China dan Indonesia sebelum penghujung dekad ini dalam penerbitan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI)?

Adakah kita akan ditinggalkan dengan lebih banyak negara dari segi pembangunan ekonomi, mungkin kepada Indonesia dan Filipina, menjelang 2040 atau 2050 – jauh sebelum ulang tahun ke-100 Malaysia?

Seperti yang saya bincangkan dengan Sdr Termizi tadi, boleh kita kembali seperti dahulu, di mana kita lebih serius dengan dasar dan prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, meritokrasi, Islam sebagai agama Persekutuan dan kebebasan beragama untuk semua agama lain dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.

Seperti yang Sdr Termizi katakan tadi, Malaysia kini dilumpuhkan oleh masalah rasuah yang semakin membarah dan ketiadaan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, dan kawasan.

Bolehkah rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik, memulakan satu perbincangan yang serius mengenai “Di manakah silapnya?” dalam usaha kita selama ini untuk membina negara Malaysia, di mana kita telah mengambil arah yang salah dalam setengah abad yang lepas, di mana tidak ada sesiapa pun di dalam Barisan Nasional, baik dari UMNO, MCA, atau MIC, yang berani untuk tampil dan mengecam skandal mega 1MDB yang telah menyebabkan Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” secara jelas dan terus terang.

Di manakah “titik perubahan” untuk rakyat Malaysia mula melihat diri mereka pertamanya sebagai rakyat Malaysia, sama ada dalam kalangan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban? Adakah kita memerlukan 30-40 tahun lagi untuk mencapai “titik perubahan” ini atau kita untuk mencapai waktu ini dalam pilihan raya yang akan datang?

Kegilaan dunia filem masa kini adalah mengenai filem Mat Kilau.

Kita perlu ingat, perjuangan Mat Kilau di Pahang pada abad ke-19 adalah untuk melawan British.

Dalam tahun 2022, sekiranya Mat Kilau masih hidup hari ini, dia mungkin sedang memimpin kempen untuk memastikan titik perubahan di mana semua rakyat Malaysia menyedari yang mereka pertamanya adalah rakyat Malaysia. Di mana untuk merealisasikan impian Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, semua orang, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, perlulah melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia dalam pilihan raya yang akan datang, dan bukannya 30 atau 40 tahun dari sekarang.

Lawatan saya ke Serendah ini amat bermakna, kerana ia telah memberikan saya harapan yang rakyat Malaysia masih peduli mengenai keperluan untuk menyelamatkan negara kita demi anak-anak dan cucu-cucu kita dengan memastikan yang Malaysia tidak menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara, yang akan disambut empat dekad dari sekarang.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri