Saya meminta bantuan dari Ongkili dan juga Joseph Pairin untuk mendapatkan akses kepada 5,000 muka surat yang tidak diterbitkan bersama dengan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Tanpa Izin di Sabah yang diberikan hak mengundi
Saya telah menuliskan suatu permohonan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Maximus Ongkili, untuk memohon bantuan mendapatkan akses kepada 5,000 muka surat yang tidak diterbitkan bersama dengan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Tanpa Izin di Sabah yang mempunyai hak mengundi.
Semua usaha perlu dibuat untuk menamatkan mimpi ngeri yang telah berlanjutan selama 50 tahun ini sebelum ulang tahun ke-60 penubuhan Malaysia pada 16 September 2023!
Saya juga akan menulis permohonan kepada Joseph Pairin Kitingan, dalam kapasitinya sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan RCI Pendatang Tanpa Izin untuk mendapatkan salinan cadangannya kepada Jawatankuasa Utama yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk pelaksanaan – dan maklumat mengenai cadangan mana yang dilaksanakan dan yang mana tidak dilaksanakan.
Saya bersedia untuk bekerjasama dengan Joseph Pairin dan Ongkili untuk melihat mimpi ngeri rakyat Sabah telah berlanjutan selama 50 tahun ini diselesaikan sebelum ulang tahun ke-60 penubuhan Malaysia pada 16 September 2023.
Tetapi, adakah mereka bersedia untuk bekerjasama dengan saya?
Saya telah nasihatkan Joseph Pairin pada tahun 2014 untuk tidak menerima jawatan pengerusi Jawatankuasa Kerja untuk menyemak laporan RCI ini kerana dia sepatutnya menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan.
Saya mencuba, tanpa sebarang hasil, untuk meyakinkan Joseph Pairin, bersama dengan tiga Menteri Negeri Sabah PBS, dan juga empat Ahli Parlimen PBS, yang Sabah tidak boleh berlengah-lengah lagi terhadap masalah yang telah berlanjutan selama 40 tahun ini, memandangkan apa yang diperlukan adalah tindakan untuk menyelesaikan masalah ini melalui sebuah Jawatankuasa Pelaksana.
Namun, Perdana Menteri ketika itu tidak bersedia untuk memberikan kuasa penuh kepada Joseph Pairin untuk melaksanakan cadangan-cadangan Laporan RCI, apatah lagi untuk memberikan “tongkat ajaib” untuk menyelesaikan masalah ini.
Apa yang Perdana Menteri ketika itu bersedia untuk lakukan hanyalah setakat menggelar Joseph Pairin sebagai “patriot Malaysia yang sebenar”. Sedangkan dia sendiri pun tidak berani untuk menjadi “patriot Malaysia yang sebenar” dengan menyelesaikan sepenuhnya masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah ini.