Tragedi tiga serangkai PBS atas kegagalannya terhadap masalah pendatang tanpa izin di Sabah yang boleh mengundi
Presiden PBS, Maximus Ongkili, tepat apabila dia membangkitkan dalam perhimpunan delegasi tahunan PBS minggu lepas yang sebuah “parti BN” bertanggungjawab terhadap skim pemberian kerakyatan demi undi dan usaha perlu diambil untuk membuang mereka yang tidak layak dari senarai daftar pemilih.
Tetapi perkara ini hanya menekankan tragedi tiga serangkai PBS.
Tragedi pertama adalah Presiden penubuh PBS, Joseph Pairin Kitingan dan presiden semasa parti tersebut tidak berbuat apa-apa semasa PBS kembali ke Barisan Nasional pada tahun 2002 untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi yang telah berlanjutan selama 45 tahun ini, di mana Joseph Pairin menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah dari tahun 2004 sehingga 2018, malah dilantik lagi sebagai Jawatankuasa Kerja mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Tanpa Izin di Sabah di antara tahun 2015 sehingga 2018, dengan Ongkili sendiri menjadi seorang Menteri Kabinet penuh untuk 14 tahun di antara tahun 2004 sehingga 2018.
Tragedi kedua adalah ketiadaan sokongan dari PBS dan para pemimpin PBS terhadap kenyataan Ongkili yang mengatakan sebuah “parti BN” bertanggungjawab terhadap skim pemberian kerakyatan demi meraih undi dan usaha perlu diambil untuk membuang mereka yang tidak layak dari senarai daftar pemilih.
Tragedi ketiga pula adalah Ongkili akan terus lumpuh dalam cubaan menyelesaikan masalah ini walaupun dia kini ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Hal Ehwal Negeri Sabah dan Sarawak.
Saya masih ingat ketika mana saya menumpukan sebahagian besar ucapan saya di Parlimen pada bulan Mac 1986 mengenai Rancangan Malaysia ke-lima di Sabah dan juga masalah pelarian tanpa dokumen di negeri tersebut, saya jangkakan ketika itu terdapat kira-kira 300,000 pendatang tanpa izin Filipina di Sabah.
Saya menyeru Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas untuk menegakkan undang-undang, menghormati Rukunegara, bebaskan rakyat Sabah dari masalah yang datang akibat pendatang tanpa izin dengan menghantar pasukan polis dan pihak keselamatan tambahan, terutamanya polis marin, untuk melindungi rakyat Sabah dari ketidaktenteraman dalaman dan ancaman luar yang dibawa oleh pendatang tanpa izin.
Saya cadangkan di Parlimen pada tahun 1986 supaya pendatang tanpa izin ini dihantar semula ke negara mereka, memberikan amaran bahawa terdapat konspirasi secara haram untuk memberikan hak mengundi kepada mereka ini untuk mengubah peta politik Sabah, kerana memang sudah menjadi “rahsia yang terbuka” bahawa pendatang tanpa izin telah diberikan kad pengenalan biru dan didaftarkan dalam daftar pemilih.
Saya kira pada masa itu, 36 tahun yang lepas pada tahun 1986, daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah, 21 kerusi adalah kerusi majoriti Kadazan, 8 kerusi majoriti Cina, dan 19 kerusi majoriti Melayu.
Saya berikan amaran sekiranya masalah ini berterusan, aturan kerusi ini akan berubah kepada 16 kerusi majoriti Kadazan, 2 kerusi majoriti Cina, dan 30 kerusi majoriti Melayu/Filipina/Indonesia.
Semua kegusaran yang dibangkitkan di Parlimen pada tahun 1986 ini akhirnya berlaku, dengan perubahan asas demografi politik dan sosio-ekonomi di Sabah hasil daripada pemberian hak mengundi kepada pendatang tanpa izin, seperti yang dikatakan oleh Laporan RCI Pendatang Tanpa Izin di Sabah.
Bolehkah Ongkili, sebagai seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, membentangkan satu kenyataan Menteri di Parlimen apabila Dewan bersidang pada 18 Julai untuk memberitahu Dewan rancangannya untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin yang telah berlanjutan selama 45 tahun di Sabah ini?