Masanya telah tiba untuk Joseph Pairin Kitingan menjelaskan apa yang telah dilakukannya dalam empat tahun dari 2014 sehingga 2018 sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja tentang pendatang tanpa izin di Sabah untuk menyelesaikan masalah pendatang asing Sabah yang diberikan hak mengundi
Kelihatan seperti terdapat ramai “penghuni gua” yang menjawat jawatan tinggi di Sabah mengenai isu pendatang tanpa izin di Sabah yang ada dalam daftar pemilih.
Seorang bekas Menteri Kabinet telah ditanya oleh seorang bekas Perdana Menteri sama ada dia sebelum ini “hidup di dalam gua untuk 10 tahun yang lepas” kerana meminta Presiden PBS, Maximus Ongkili, untuk menamakan parti Barisan Nasional yang bergantung kepada “Projek IC” – satu skim memberikan kerakyatan untuk meraih undi.
Ongkili bukan sahaja merupakan Menteri Kabinet kepada bekas Perdana Menteri ini, kata seorang lagi Menteri Kabinetnya: “Saya sangat marah membaca berita itu, Datuk Max (Maximus) gila, dia buat kenyataan mengatakan parti dalam BN ada pengundi palsu, keluarkan IC palsu… kalau dia sebut BN kita akan buat laporan polis kerana ini fitnah.”
Pada tahun 2013, bekas Perdana Menteri ini telah menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat sama ada terdapat kebenaran terhadap dakwaan yang kad pengenalan dikeluarkan secara haram.
Walaupun bekas Perdana Menteri ini mengakui wujudnya “Projek IC”:, Menteri Dalam Negerinya yang kini merupakan Presiden UMNO menafikan perkara ini.
Jelas sekali yang UMNO dan Barisan Nasional benar-benar berpecah mengenai sama ada Projek IC di Sabah ini wujud atau tidak. Boleh pimpinan tertinggi UMNO dan BN menyelesaikan masalah ini?
Walaupun Suruhanjaya Siasatan Diraja ini tidak dapat memberikan dapatan yang muktamad mengenai “ketua politik” Projek IC, badan tersebut mendapati ada pendatang tanpa izin dalam daftar pemilih tetapi tidak tahu jumlahnya atau seteruk manakah masalah ini.
Apa yang dapat dikatakan oleh Laporan Jawatankuasa mengenai perkara ini adalah “terdapat cukup bukti untuk menunjukkan yang imigran yang bukan rakyat Malaysia, diberikan kad pengenalan biru secara haram oleh sindiket dan/atau individu tertentu dan mereka kemudiannya mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi di dalam daftar pemilih menggunakan kad pengenalan mereka.” (hal. 306 Laporan RCI) dan “Secara ringkasnya, dengan mempertimbangkan bukti yang ada, jawapan kepada perenggan terma rujukan (c) adalah memang ada mereka yang bukan rakyat yang didaftarkan dalam daftar pemilih, tetapi jumlah sebenarnya tidak dapat dipastikan.” (hal. 308)
Masanya telah tiba untuk Joseph Pairin Kitingan menjelaskan apa yang telah dilakukannya dalam empat tahun dari 2014 sehingga 2018 sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang pendatang tanpa izin di Sabah untuk menyelesaikan masalah pendatang asing Sabah yang diberikan hak mengundi.
Pairin amat mengenali masalah pendatang tanpa izin di Sabah ini, kerana dia telah aktif dalam politik selama mana masalah ini sendiri wujud.
Malah, tidak jauh dari kebenaran untuk dikatakan yang kebangkitan dan kejatuhan Pairin dalam politik Sabah berkaitan dengan masalah pendatang tanpa izin di Sabah – kenaikan kerjayanya sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 1985 dengan parti PBS yang baru ditubuhkan ketika itu menyebabkan kejutan dalam politik Malaysia, di mana Parti Berjaya ditendang keluar dari kekuasaan pada tahun 1985, yang disusuli oleh kejatuhannya sedekad kemudian, kerana kejayaan Projek IC dan pelbagai skim pemalsuan dan haram yang lain yang memberikan hak kerakyatan dan hak mengundi kepada pendatang tanpa izin.
Sekiranya tidak kerana masalah ini, Joseph Pairin mungkin tidak ditendang keluar dari pejabat Ketua Menteri dan sekurang-kurangnya setengah dozen Ketua Menteri Sabah selepasnya tidak akan memegang jawatan tersebut.
Joseph Pairin membawa PBS kembali ke dakapan Barisan Nasional pada tahun 2002 dan menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah dari tahun 2004 sehingga 2018 – dan pada tahun 2014, dia dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Tanpa Izin di Sabah.
Persoalan pertama saya kepada Pairin adalah, mengapa Jawatankuasa Kerja ini tidak menerbitkan kira-kira 5,000 muka surat laporan yang tidak diterbitkan sebelum ini pada 3 Disember 2014?
Adakah Jawatankuasa Kerja mempunyai akses kepada 5,000 muka surat yang hilang ini?
Laporan RCI ini sepatutnya menjadi laporan yang paling tebal dalam sejarah laporan RCI negara, tetapi ia hanya diterbitkan dengan 368 muka surat.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Skandal Video Lingam diterbitkan dalam bentuk empat jilid: Jil. 1 – 191 muka surat; Jil. 2 Nota Bukti – 1,187 muka surat; Jil. 3 Pengakuan Bersumpah – 513 muka surat; dan Jil. 4 Lampiran Bukti – 474 muka surat. Sejumlah 2,365 muka surat!
RCI Pendatang Tanpa Izin Sabah menerima 361 memorandum dan 177 bukti, dengan pendengaran awam dari 14 Januari sehingga September 2013 di mana 211 orang saksi memberikan keterangan kepadanya.
Di manakah memorandum, nota mengenai bukti, pengakuan bersumpah, dan lampiran bukti yang dihantar kepada RCI ini yang pastinya melebihi 5,000 muka surat – yang merupakan sebahagian penting dari Laporan RCI ini.
Mengapakah kerajaan menerbitkan kurang daripada 10 peratus daripada Laporan asal RCI ini sedangkan RCI Skandal Video Lingam dapat menerbitkan laporan menyeluruh yang melebihi 2,300 muka surat dengan semua nota bukti, pengakuan bersumpah, dan lampiran bukti?
Satu lagi persoalan untuk Joseph Pairin, mengapa tidak ada sesiapa pun yang tahu apa yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Kerja Laporan RCI ini? Apakah yang telah dicapai oleh Jawatankuasa Kerja dibawah Pairin ini?
Masanya juga telah tiba untuk adik Pairin, Jeffrey Kitingan, yang kini merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas mengenai pekerja asing tanpa dokumen di Sabah pada bulan Februari tahun ini, untuk memberikan laporan mengenai status terkini masalah ini di Sabah.
Jeffrey telah katakan dalam bulan Februari yang pendatang tanpa izin telah “menyorok dari radar kita”, dan pihak berkuasa tidak tahu di mana mereka berada, siapa mereka, atau apa yang mereka sedang lakukan – mendedahkan rakyat Malaysia kepada ancaman keselamatan dan juga risiko kesihatan.
Adakah jawatankuasa Joseph telah menyelesaikan masalah ini di Sabah?