Malaysia akan terus terjunam ke kancah rasuah melainkan SPRM menunjukkan tauladan kebertanggungjawaban dan ketelusan bermula dengan Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki
Malaysia akan terus terjunam ke kancah rasuah melainkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan tauladan kebertanggungjawaban dan ketelusan, bermula dengan Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki dan skandalnya.
Baru-baru ini, pakar ekonomi politik, Edmund Terence Gomez, yang mengatakan sudah tiba masanya untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempunyai hubungan yang terpisah dengan pihak Eksekutif kerajaan, terutamanya dalam hal ehwal pelantikan pesuruhjaya tertinggi badan anti-rasuah tersebut. Perkara ini berikutan kejadian di mana beberapa orang pemimpin politik terpalit baru-baru ini apabila seorang saksi memberikan keterangan mengenai lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semasa perbicaraan rasuah presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.
Walaupun cadangan Gomez ini tepat, perkara ini sukar untuk dicapai apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, tidak bertanggungjawab kepada sesiapa sekali pun, termasuklah kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di Jabatan Perdana Menteri.
Azam Baki sepatutnya hadir di hadapan Jawatankuasa ini pada bulan Januari tahun ini untuk memberikan penjelasan mengenai skandal berhubungan pemilikan sahamnya, tetapi mesyuarat Jawatankuasa ini ditunda pada saat akhir kerana Azam telah memberikan surat bantahan terhadap mesyuarat ini.
Pengerusi Jawatankuasa ini, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS – Kuala Krai) mengatakan yang Jawatankuasa tersebut sedang mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undangnya.
Enam bulan sudah berlalu dan rakyat Malaysia berhak untuk bertanya apakah yang sudah berlaku mengenai skandal ini.
Parlimen akan bersidang dalam bulan ini.
Adakah penjelasan penuh akan diberikan kepada Parlimen mengenai skandal ini, dan sama ada Parlimen tidak mampu berbuat apa-apa mengenai situasi di mana Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri pun tidak bertanggungjawab terhadap Parlimen?