Adakah Penny Wong berpeluang untuk menjadi Menteri Luar Negeri Malaysia sekiranya dia tidak berpindah ke Australia dan melepaskan kewarganegaraannya untuk kewarganegaraan Australia pada tahun 2001?
Adakah Penny Wong berpeluang untuk menjadi Menteri Luar Negeri Malaysia sekiranya dia tidak berpindah ke Australia dan melepaskan kewarganegaraannya untuk kewarganegaraan Australia pada tahun 2001?
Jawapannya, tidak.
Siapakah yang rugi dalam perkara ini, di mana seseorang boleh menjadi Menteri Luar Negeri di negara lain tetapi tidak berpeluang untuk menjadi menteri luar negeri atau memegang apa-apa jawatan Menteri Kabinet di Malaysia sekiranya mereka tidak melepaskan kewarganegaraan Malaysia mereka?
Jawapannya jelas sekali, dah kerana inilah kita semua sebagai rakyat Malaysia perlu memikirkan mengenai persoalan di manakah silapnya usaha pembinaan negara bangsa Malaysia dalam 65 tahun yang lepas, di mana kita telah gagal untuk merealisasikan visi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”; Wawasan 2020 untuk Bangsa Malaysia membentuk negara maju; Pelan Integriti Kebangsaan untuk berada dalam kalangan 30 negara paling kurang rasuah menjelang 2008; dan Rancangan Pembangunan Pendidikan untuk berada di atas kadar purata global dalam piawaian pendidikan antarabangsa menjelang 2025.
Sebelum tahun 1970, mustahil untuk Penny Wong bercita-cita untuk menjadi bakal Menteri Luar Negeri Malaysia, tetapi tidak selepas 1970, di mana lebih daripada sejuta rakyat Malaysia yang berbakat dari latar belakang pelbagai kaum menyertai Diaspora Pertama Malaysia untuk menjadikan negara lain hebat dan bukannya Malaysia.
Di manakah silapnya dalam proses pembinaan negara bangsa kita?
Kita telah meningkatkan pendapatan per kapita negara kita sebanyak 30 kali ganda dari 1970 hingga ke hari ini tetapi dalam pada masa yang sama, rasuah dan skandal kewangan telah meningkat 63,000 kali ganda dalam tempoh yang sama, seperti yang digambarkan skandal Bank Rakyat yang bernilai RM100 juta pada tahun 1979, skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) pada 1983 yang bernilai RM2.5 billion yang kemudiannya diikuti oleh skandal 1MDB dalam dekad yang lepas yang bernilai RM42 billion.
Dalam tempoh setengah abad yang lepas, Malaysia ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Vietnam.
Adakah kita akan ditinggalkan di belakang China dan Indonesia sebelum penghujung dekad ini dalam penerbitan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI)?
Adakah kita akan ditinggalkan dengan lebih banyak negara dari segi pembangunan ekonomi, mungkin kepada Indonesia dan Filipina, menjelang 2040 atau 2050 – jauh sebelum ulang tahun ke-100 Malaysia?
Bolehkah kita tetapkan semula dan kembali kepada dasar dan prinsip pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, hormat terhadap hak asasi manusia, meritokrasi, Islam sebagai agama Persekutuan dan kebebasan beragama untuk semua agama lain dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.
Adakah kita tersilap dalam usaha pembinaan negara bangsa kita dengan meneruskan Dasar Ekonomi Baharu pada tahun 1990 yang sepatutnya digantikan dengan dasar yang berasaskan kepada keperluan untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum, agama, atau kawan, apabila berlakunya rasuah, salah guna kuasa, dan pecah amanah yang berlanjutan sehingga membawa kepada negara kita menjadi “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” dengan skandal 1MDB yang bernilai berbillion dolar.
Di bawah Perjanjian Kemerdekaan 1957 dan Perjanjian Merdeka 1963, Malaysia hanya mempunyai masa hadapan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya, dan bukannya sebagai negara Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, atau sebagai negara Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Taoist.
Kerana inilah ada peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan mana-mana rakyat Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia dan jawatan tersebut tidak dikhususkan untuk hanya seorang Melayu atau Muslim.
Pada masa yang sama, sudah tentunya, ada realiti politik, malah Amerika Syarikat sekalipun mengambil masa 200 tahun untuk menyaksikan seorang berkulit hitam menjadi Presiden Amerika Syarikat dan kemudiannya untuk seorang beretnik India untuk menjadi Naib Presiden.
Saya tidak tahu sama ada kita akan mengambil masa 200 tahun atau lebih lama lagi sebelum kita dapat menyaksikan seorang bukan-Melayu sebagai Perdana Menteri Malaysia, tetapi di bawah Perjanjian Merdeka dan Malaysia, mana-mana rakyat Malaysia boleh bercita-cita untuk menjawat jawatan politik tertinggi dalam negara ini, tidak kiralah apa pun realiti politik dalam negara.
Kita perlu kembali kepada perjuangan untuk rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai pertamanya rakyat Malaysia, sebelum identiti mereka sebagai Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak.
Persoalan mengenai “Di manakah silapnya?” ini adalah persoalan yang perlu ditanyakan oleh setiap rakyat Malaysia, baik di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Johor, Selangor, atau mana-mana negeri lain; sama ada oleh parti politik, NGO, persatuan, pertubuhan belia, dan kelab pelajar, untuk bertanya, mengapa selepas enam dekad membina negara, kita masih gagal untuk memenuhi potensi kita untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan apakah caranya untuk kita bergerak ke hadapan.