Ismail Sabri dipuji kerana memastikan masalah Zii Jia dan Jin Wei dapat diselesaikan, kini beliau perlu bertindak pantas mengenai isu Azam Baki

Saya puji Perdana Menteri Ismail Sabri kerana memastikan masalah yang dihadapi pemain badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei dapat diselesaikan segera dengan pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membatalkan sekatan dua tahun terhadap mereka berkuatkuasa segera.

Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu juga perlu diberikan kredit untuk usaha beliau.

Kini negara, malah seluruh dunia menantikan tindakan Azam Baki mengenai skandal Azam Baki – untuk memastikan Perdana Menteri Malaysia tidak kelihatan lemah apabila berhadapan dengan salah seorang ketua agensi anti-rasuah yang paling teruk, yang telah mewujudkan krisis kepercayaan dalam agensi anti-rasuah negara kerana beliau tidak bersedia untuk menjadi contoh tauladan integriti, kejujuran, dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.

Sejak daripada permulaan penerbitan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) pada tahun 1995, Malaysia tidak pernah mengalami penurunan lima mata dan 11 kedudukan dalam dua tahun berturut-turut seperti yang disaksikan dalam TI CPI 2020 dan 2021.

Bagaimanakah Azam Baki boleh mengelakkan daripada bertanggungjawab mengenai kedua-dua laporan TI CPI ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri