Jadikan Impian Johor juga Impian Malaysia, untuk mengembalikan institusi yang kuat berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menegakkan sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen yang segar, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, akhbar yang bebas, kehormatan terhadap hak asasi manusia, sifat masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya Malaysia, tanpa rasuah dan dengan perkhidmatan awam yang bertanggungjawab, berintegriti, dan berkesan
Sebagai seorang rakyat Johor, saya mahu melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang ini sebagai permulaan proses untuk memperbetulkan kemunduran negara dalam setengah abad yang lepas, daripada hampir menjadi sebuah “harimau” ekonomi kepada ke arah menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara yang gagal.
Inilah Impian Johor.
Kita mesti jadikan Impian Johor juga Impian Malaysia, untuk mengembalikan institusi yang kuat berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menegakkan sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen yang segar, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, akhbar yang bebas, kehormatan terhadap hak asasi manusia, sifat masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya Malaysia, tanpa rasuah dan dengan perkhidmatan awam yang bertanggungjawab, berintegriti, dan berkesan.
Adakah perkara ini terlalu sukar untuk dicapai?
Saya tidak rasakan begitu. Kita perlu cuba untuk mencapainya, kerana lebih baik untuk kita mencuba dan gagal daripada tidak mencuba langsung.
Banyak perkara telah dicapai sejak daripada Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah pada 9 Mei 2018, walaupun pada masa yang sama masih banyak perkara yang salah yang masih perlu diperbetulkan, yang mungkin juga telah menjadi lebih buruk dalam dua tahun yang lepas.
Sebagai contoh, terdapat keyakinan awam terhadap kebebasan sistem kehakiman negara, yang merupakan satu aset yang bernilai untuk negara.
Kedua, PRN Johor ini akan menjadi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh sebuah akhbar utama di Hong Kong: “Dalam PRN Johor, adakah UMNO sedang mencari kestabilan atau “kad keluar penjara” untuk Najib?”
Dalam PRN Johor ini, DAP akan dituduh dengan pelbagai perkara.
Saya adalah antara orang yang paling banyak dimomokkan dengan pelbagai fitnah dalam sejarah politik negara. Kepada orang Melayu, saya dituduh sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Tetapi saya juga dituduh sebagai mengadaikan kepentingan dan hak orang Cina dan orang-orang bukan-Melayu.
Saya tidak bersalah dengan tuduhan yang bercelaru ini, yang merupakan produk berita dan maklumat palsu, tetapi inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang ahli politik yang jujur.
DAP perlu mampu untuk mengetepikan berita dan maklumat palsu dalam PRN Johor ini, yang akan merangkumi perkara seperti kegagalan untuk menunaikan janji pilihan raya Pakatan Harapan dalam tempoh 22 bulan menjadi kerajaan dan juga tuduhan yang kononnya DAP mengkhianati prinsip dan visinya.
Kekecewaan dan perasaan putus harapan dengan hasil 22 bulan kerajaan PH boleh difahami memandangkan rakyat meletakkan harapan yang tinggi selepas keputusan bersejarah pada 9 Mei 2018 dan saya sendiri pun kecewa juga kerana saya jangkakan yang PH boleh melakukan lebih banyak perkara lagi.
Saya berjumpa dengan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad pada pertengahan tahun 2019 dan menyampaikan kegusaran saya mengenai kadar pelaksanaan janji-janji pilihan raya PH. Saya berharap untuk berjumpa dengan PM sekali lagi selepas pertengahan penggal kerajaan PH, namun kerajaan PH ini tumbang selepas 22 bulan.
Tetapi, kita perlu mohon rakyat untuk menjadi lebih realistik – untuk menyedari hakikat bahawa tidak mungkin di mana-mana pun untuk kita laksanakan dalam tempoh 22 bulan, perkara yang dijanjikan pelaksanaannya dalam tempoh lima tahun.
Mandat PH untuk memenuhi janji pilihan rayanya adalah untuk tempoh lima tahun. Sekiranya dalam setengah penggal pertama, pelaksanaan janji ini agak perlahan akibat daripada rintangan, bantahan, atau sabotaj daripada mana-mana pihak, perkara ini dapat ditambah baik dalam setengah kedua penggal Pakatan Harapan dengan memecut pelaksanaan janji-janji ini. Tetapi perkara ini kini mustahil apabila kerajaan PH ditumbangkan selepas 22 bulan.
Saya berikan hanya satu contoh. Satu isu yang sering dipergunakan terhadap DAP adalah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Dipersatukan (UEC).
Dalam pemukiman DAP pada bulan Mac 2019, pemimpin DAP bertanya kepada Mahathir mengenai isu pengiktirafan UEC ini dan beliau telah menyatakan yang hasrat kerajaan PH adalah untuk mengiktiraf UEC selepas Jawatankuasa Khas UEC membentangkan laporannya.
Tetapi, kerajaan PH tumbang pada bulan Februari 2020 hasil daripada konspirasi Langkah Sheraton sebelum kerajaan PH dapat memenuhi janji untuk mengiktiraf UEC ini dalam tempoh mandat lima tahun yang diberikan rakyat.
Dalam dua tahun yang lepas di bawah kerajaan pintu belakang ini, tidak ada langsung isu UEC dibangkitkan, tetapi penyokong DAP masih menyalahkan DAP kerana tidak melaksanakan pengiktirafan UEC.
Satu lagi isu yang akan digunakan untuk menyerang DAP dalam PRN Johor ini adalah DAP kini bukan lagi sebuah parti pembangkang kerana kita kini dilihat sebagai sebahagian daripada Kerajaan Ismail Sabri selepas menandatangani memorandum persefahaman (MOU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) di antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan para pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September 2021.
Saya akan menyokong penuh pembatalan MOU ini sekiranya kerajaan Ismail Sabri mengingkari dan gagal untuk melaksanakan termanya. Tetapi perkara ini belum berlaku lagi.
Saya tidak nafikan yang kerajaan Ismail Sabri ini terbukti sebagai kerajaan yang tidak kompeten, malah paling tidak berguna dalam sejarah negara, tetapi perkara ini adalah perkara berasingan, kerana perlu ada persetujuan daripada semua parti, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang, untuk bekerjasama demi kepentingan negara, seperti usaha untuk mengurangkan peningkatan mendedak kes dan kematian akibat Covid-19 yang dicatatkan sebelum ini, atau demi usaha untuk membawa reformasi institusi dan parlimen seperti rang undang-undang yang bakal dibentangkan dalam sidang akan datang untuk menangani masalah “katak politik” di dalam negara.
Saya tidak memohon maaf kerana menyokong pelaksanaan MOU CSR ini demi kepentingan negara walaupun saya tidak menerima manfaat daripada perkara ini langsung.
Terdapat isu-isu yang kita perlu jelaskan kepada para pengundi di Johor, untuk menjadikan Impian Johor juga Impian Malaysia, untuk mengembalikan institusi yang kuat berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menegakkan sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen yang segar, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, akhbar yang bebas, kehormatan terhadap hak asasi manusia, sifat masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya Malaysia, tanpa rasuah dan dengan perkhidmatan awam yang bertanggungjawab, berintegriti, dan berkesan, supaya kita dapat menamatkan kemunduran taraf negara kita yang berterusan selama setengah abad yang lepas bagi membolehkan Malaysia mengambil tempatnya di pentas dunia sebagai sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.