Kabinet perlu menolak kenyataan SPRM mengenai kejatuhan lima markah dan 11 anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah TI 2021 berbanding dengan 2019, dua tahun terburuk dalam sejarah TI CPI dan juga memecat Azam Baki atas kegagalan dan prestasi buruk beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Kabinet perlu menolak kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kejatuhan lima markah dan 11 anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2021 berbanding dengan 2019, dua tahun terburuk dalam sejarah 27 tahun penerbitan TI CPI dan juga memecat Azam Baki atas kegagalan dan prestasi buruk beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Masanya telah tiba untuk negara melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu yang mempunyai KPI (penunjuk prestasi utama) antaranya untuk meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam TI CPI tahunan.

SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa agensi itu akan mengkaji hasil penemuan TI-M berkaitan skor CPI 2021 dan akan memberi cadangan dalam masa terdekat selain menyeru rakyat untuk “meneruskan jalinan kerjasama dalam usaha pencegahan rasuah”.

SPRM mesti diingatkan supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang hanya sekadar bersifat untuk menyedapkan hati.

Dalam TI CPI 2021 yang dikeluarkan semalam, Malaysia menduduki tempat ke-62 dengan skor 48 mata, turun 11 anak tangga dan turun lima mata berbanding TI CPI 2019 – prestasi dua tahun terburuk SPRM dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini sejak Transparency International memulakan siri CPI tahunannya pada 1995, seperti berikut:

Tahun Skor Kedudukan Negara
1995 5.28 23 41
1996 5.32 26 54
1997 5.01 32 52
1998 5.3 29 85
1999 5.1 32 99
2000 4.8 36 90
2001 5 36 91
2002 4.9 33 102
2003 5.2 39 133
2004 5 39 145
2005 5.1 39 158
2006 5 44 163
2007 5.1 43 179
2008 5.1 47 180
2009 4.5 56 180
2010 4.4 56 178
2011 4.3 60 183
2012 49 54 176
2013 50 53 177
2014 52 50 175
2015 50 54 168
2016 49 55 176
2017 47 62 180
2018 47 61 180
2019 53 51 180
2020 51 57 180
2021 48 62 180

[Jadual 1]

Skor Malaysia telah jatuh di bawah 50 mata atau bersamaan 5 mata daripada 10 sebelum 2012 dalam 10 daripada 27 tahun yang lalu, dan lapan daripada sepuluh tahun ini adalah selepas 2009.

Prestasi Malaysia dalam TI CPI 2021 tidak mengambil kira skandal Azam yang menggegarkan negara selama hampir sebulan, kerana ia merupakan perkembangan yang terlalu baharu untuk dijadikan input dalam TI CPI 2021.

Ketua-ketua dalam SPRM harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk negara dalam TI CPI selama dua tahun berturut-turut - 2020 dan 2021.

Pertama, Azam telah membuktikan bahwa beliau tidak boleh menjadi contoh integriti, kejujuran dan akauntabiliti dalam isu pegangan sahamnya dan dakwaan konflik kepentingan yang pertama kali dibuat secara terbuka tiga bulan lalu.

Saya masih berfikiran terbuka mengenai isu ini tetapi keengganan beliau untuk hadir menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan dan keangkuhan beliau sejak sebulan lepas selepas peletakan jawatan ahli akademik Edmund Terence Gomez daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM pada akhir tahun lalu telah membuktikan bahawa beliau tidak layak untuk menduduki jawatan tertinggi dalam agensi kerajaan.

Kini terdapat bukti prestasi hambar beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak pelantikannya pada Mac 2020 seperti yang ditunjukkan dalam TI CPI 2020 dan TI CPI 2021 yang merupakan dua tahun terburuk dalam usaha pencegahan rasuah negara sejak tiga dekad lalu.

Adakah Azam bersedia untuk hadir menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk disoal mengenai prestasi yang lemah dan kegagalannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mempertahankan dirinya berhubung prestasi buruk dalam TI CPI 2020 dan TI CPI 2021?

Saya mengeluarkan kenyataan ini beberapa jam sebelum mesyuarat Kabinet hari ini, supaya Menteri yang bergaji tinggi dalam Kabinet bersaiz gergasi tidak akan bertindak seperti kisah tiga ekor monyet yang mempunyai mata tetapi tidak melihat, telinga tetapi tidak mendengar dan mulut tetapi tidak bercakap seperti yang mereka lakukan pada mesyuarat Kabinet minggu lepas berhubung skandal Azam.

Selepas dua tahun terburuk dalam TI CPI untuk 2020 dan 2021, rakyat Malaysia menjangkakan Kabinet akan bertindak.

Atau adakah Kabinet hari ini sekali lagi akan berkelakuan seperti kisah tiga ekor monyet itu.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri