Satu lagi krisis yang perlu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet esok – daripada TI CPI 2019 yang terbaik dalam 25 tahun kepada TI CPI 2021 yang paling teruk dalam 27 tahun!

Mesyuarat Kabinet esok perlu mengadakan perbincangan khas mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2021 yang telah diterbitkan yang menunjukkan negara kita telah jatuh lima anak tangga dalam indeks itu, selepas turun enam anak tangga tahun lepas.

Rakyat Malaysia menantikan kenyataan daripada kerajaan esok selepas mesyuarat Kabinet tentang mengapa negara menghadapi satu lagi krisis keyakinan dengan kemerosotan TI CPI 2019 yang terbaik dalam 25 tahun kepada TI CPI 2021 yang terburuk dalam 27 tahun!

Skor Malaysia dalam TI CPI 2021 adalah 48/100, penurunan lima mata berbanding TI CPI 2019.

Prestasi Malaysia dalam TI CPI 2021 tidak mengambil kira skandal Azam yang menggegarkan negara selama hampir sebulan, kerana ia merupakan perkembangan yang terlalu baharu untuk dijadikan input dalam TI CPI 2021.

Skor dan kedudukan Malaysia akan menjadi lebih rendah jika skandal Azam dimasukkan sepenuhnya ke dalam TI CPI 2021.

Adakah mana-mana pihak yang akan dipertanggungjawabkan susulan prestasi mengejutkan Malaysia dalam TI CPI 2021.

Di negara lain, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meletakkan jawatannya selepas laporan TI CPI 2021 yang begitu teruk dikeluarkan tetapi perkara seumpama ini tidak berlaku di Malaysia.

Selama hampir sebulan, Malaysia dilanda kelumpuhan kerajaan dan parlimen akibat skandal Azam di mana ketua pegawai anti-rasuah negara itu gagal menjadi contoh integriti, kejujuran dan akauntabiliti berhubung dakwaan pegangan saham yang dihadapinya.

Harapan bahawa Malaysia boleh menjadi salah satu daripada 30 negara teratas dunia dalam soal integriti menjelang 2030 di bawah kerajaan Pakatan Harapan telah dimusnahkan oleh Langkah Sheraton pada 26 Februari 2020 dan kini kita terpaksa pula menerima keputusan corot dalam TI CPI 2021.

Negara telah dijanjikan bahawa di bawah bekas rejim UMNO-BN pada dekad lalu bahawa Malaysia akan mencapai sasaran untuk berada dalam 30 negara teratas dunia dalam soal integriti dan pembanterasan rasuah.

Mengkaji kedudukan dan markah TI CPI untuk siri 24 tahun TI CPI dari 1995-2018, tiada alasan untuk sesiapa percaya bahawa sasaran Malaysia berada dalam kedudukan 30 negara teratas TI CPI 2020 boleh dicapai.

Negara-negara yang telah turun dalam senarai penarafan TI CPI dalam siri pertama pada tahun 1995, seperti China, Thailand, India dan Indonesia, pantas mengejar kedudukan Malaysia, yang telah mengalami kemunduran sejak 1995.

Mujurlah, trajektori ini dihentikan apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih, dan dalam TI CPI 2019, Malaysia mencapai prestasi TI CPI terbaik dalam tempoh 25 tahun dengan peningkatan enam mata untuk skor TI CPI dan kenaikkan 10 anak tangga dalam ranking TI CPI – kedudukan ke-51 dan skor 53 daripada 100.

Kini kita kembali terjerumus ke dalam kancah rasuah seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan perkara buruk bakal berlaku akibat daripada skandal Azam dan kemerosotan sistem integriti dalam kehidupan awam.

Adakah Laporan TI CPI 2021 akan menjadi agenda utama Jemaah Menteri esok, bersama-sama tindakan berdendam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap bintang badminton negara Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei yang menunggu penyelesaian menang-menang oleh Kabinet?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri