Apakah nasib Malaysia dalam TI CPI 2021 yang akan diterbitkan hari ini di Berlin

Saya bangun pagi ini dengan berita tergempar dalam hal anti-rasuah di AFP, “Parti Komunis menendang keluar 3 pegawai kanan China kerana rasuah” yang menyatakan tiga pegawai kanan China – termasuklah bekas pengawal selia industri perbankan – telah dibuang daripada Parti Komunis kerana dakwaan rasuah dan kini sedang disiasat.

Pembuangan ini berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa di China berikrar untuk “tidak berbelas kasihan” dalam kempen anti rasuah mereka, yang kini telah menjatuhkan ahli politik dan taikun perniagaan yang berpengaruh sebelum berlangsungnya sebuah mesyuarat politik yang penting yang mungkin akan menentukan penggal ketiga untuk Presiden Xi Jinping.

Lebih daripada sejuta orang pegawai telah pun ditangkap dalam kempen anti-rasuah di China.

Tiga pegawai kanan yang terbaru ditangkap ini adalah Cai Esheng, bekas naib pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Bank China, dan juga bekas pegawai mahkamah agung, Meng Xiang, dan bekas timbalan pengarah pengurusan makanan nasional, Xu Ming, yang semuanya telah dibuang dari parti kerana “pencabulan disiplin dan undang-undang yang serius”, kata badan pemerhati rasuah China.

Suruhanjaya Semakan Disiplin Pusat China mengatakan yang ketiga-tiga orang ini disyaki menerima rasuah dan “menerima aset bernilai besar secara haram” dan juga menggunakan kedudukan mereka untuk membantu orang lain melindungi kepentingan peribadi mereka.

Pegawai-pegawai ini dituduh menerima jamuan mewah dan mencabuli prinsip-prinsip parti, tambah suruhanjaya itu lagi.

Suruhanjaya tersebut secara khususnya menuduh Cai terlibat dengan “kemerosotan politik yang menyeluruh”, “mengganggu urusan pasaran kewangan” dan “transaksi yang melibatkan wang dan seks”.

Kes ketiga-tiga orang ini telah dihantar ke pendakwa raya, kata suruhanjaya tersebut – biasanya perkara ini merupakan petanda yang dakwaan jenayah akan berlaku.

Suruhanjaya ini pada minggu lepas telah memberikan amaran yang ia tidak akan menunjukkan “belas kasihan” terhadap rasuah dalam parti pemerintah, berjanji untuk meneruskan usaha penghapusan rasuah sebelum kongres parti pada 20 Oktober, di mana Xi dijangkakan untuk diberikan kuasa untuk penggal ketiga sebagai Presiden.

Mereka yang disabitkan dengan kesalahan rasuah akan kehilangan kekayaan dan keahlian mereka, dan berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Bagaimana pula dengan usaha anti-rasuah di Malaysia?

Selama hampir sebulan, terdapat kelumpuhan dalam kerajaan dan di Parlimen mengenai isu Azam Baki, di mana Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah kehilangan kepercayaan rakyat apabila beliau gagal untuk menjadi contoh tauladan utama integriti, kejujuran, dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam, sehingga golongan muda dalam negara, tanpa mengira kaum, agama, atau politik, telah bersatu dalam satu demonstrasi “Tangkap Azam Baki” di Kuala Lumpur yang mendapat sokongan penuh rakyat Malaysia.

Malaysia terus menjadi bahan ketawa dunia – di manakah tempat lain di dunia di mana ketua agensi anti-rasuah negara sendiri menjadi tumpuan skandal anti-rasuah terbesar negara?

Lewat hari ini, Transparency International (TI) akan menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021.

Apakah kedudukan Malaysia agaknya.

Saya telah katakan sebelum ini yang kedudukan Malaysia dalam TI CPI 2019 adalah yang terbaik dalam 25 sejak indeks ini mula diterbitkan pada tahun 1995, kerana ia menandakan era baharu usaha anti-rasuah di Malaysia yang memberikan harapan untuk Malaysia menjadi salah satu daripada 30 negara teratas di dunia dari ukuran integriti awam menjelang 2030.

Markah CI TPI Malaysia untuk tahun 2019 adalah 53 daripada 100, hanya kurang sedikit sahaja daripada markah tertinggi yang pernah dicatatkan dalam CI TPI 1996, 5.32 per 10 yang meletakkan Malaysia di tempat ke-26 daripada 54 buah negara ketika itu.

Malaysia patut menyasarkan bukan sahaja untuk mengatasi markah kita dalam CI TPI 1996, tetapi menyasarkan untuk mencapai objektif berada dalam kalangan 30 negara teratas di dunia sebelum tahun 2030.

Malangnya, bencana melanda usaha anti-rasuah di Malaysia.

TI CPI 2019 diterbitkan pada 23 Januari 2020. Sebulan kemudian, pada 26 Februari 2020, kerajaan Pakatan Harapan telah digulingkan selepas 22 bulan memalui konspirasi Langkah Sheraton, membawa masuk dua kerajaan pintu belakang yang tidak sah.

Dalam TI CPI 2020 yang diterbitkan pada 29 Januari 2021, markah Malaysia jatuh daripada 53 mata kepada 51 mata, yang mengakibatkan penurunan enam mata dalam kedudukan dari tempat ke-51 ke tempat ke-57.

Seorang rakyat Malaysia yang terlibat secara rapat dengan TI CPI yang lalu memberi amaran bahawa perkara yang lebih buruk akan berlaku.

Beliau berkata: “Ia mengambil masa untuk menunjukkan penurunan dengan ketara kerana beberapa data (tinjauan) yang digunakan adalah dari tahun 2018/2019. Tahun depan kita boleh melihat perubahan besar.”

Jika dia betul, maka kita mempunyai sebab untuk bimbang kerana kita berdepan dengan persoalan sama ada Malaysia sedang menuju ke arah skor dan kedudukan TI CPI terendah dalam TI CPI 2021 yang akan didedahkan lewat hari ini.

Salah satu perkara yang membimbangkan saya apabila Transparency International mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah tahunannya setiap tahun ialah bagaimana Malaysia berhadapan dengan dua negara, China dan Indonesia, yang pada masa lalu dianggap sebagai negara yang sangat korup.

Malah, dalam siri CPI tahunan pertama TI dari 1995, China dan Indonesia berada di kedudukan ke-40 dan ke-41, dua terakhir daripada senarai 41 negara yang dikaji.

China memperoleh 2.16 mata manakala Indonesia memperoleh 1.94 daripada 10 mata pada 1995. Malaysia menduduki tempat ke-23 dengan markah 5.28 daripada 10 mata.

China dan Indonesia kini jauh daripada status negara paling korup di dunia, yang diduduki oleh lima paling korup – Venezuela dan Yaman dengan skor 15 daripada 100 mata dalam TI CPI 2020, Syria dengan 14 mata dan Somalia dan Sudan Selatan kedua-duanya dengan 12 mata daripada 180 negara yang dikaji.

Kedua-dua China dan Indonesia telah meningkat dengan ketara dalam tempoh 26 tahun kebelakangan ini dan China kini berada di kedudukan ke-78 dengan skor 42 manakala Indonesia di kedudukan ke-102 dengan skor 37.

Walaupun kedua-dua China dan Indonesia telah meningkat dengan ketara dalam skor TI CPI mereka, Malaysia telah merosot dengan ketara, dengan skor 51 dan kedudukan 57 daripada 180 negara.

Kedudukan TI CPI Malaysia jatuh ke tahap terendah No. 62 daripada 180 negara pada 2017 manakala skor TI CPI jatuh ke tahap terendah 4.3 daripada 10 pada 2011.

Negara telah dijanjikan – di bawah rejim UMNO-BN dalam dekad yang lalu – bahawa Malaysia akan mencapai sasaran untuk berada dalam 30 negara teratas dalam TI CPI 2020.

Mengkaji kedudukan dan markah TI CPI untuk siri 24 tahun TI CPI dari 1995-2018, tiada alasan untuk sesiapa percaya bahawa sasaran Malaysia berada dalam kedudukan 30 negara teratas TI CPI 2020 boleh dicapai.

Daripada rekod TI CPI dari 2010-2018, berkemungkinan China akan mengatasi Malaysia dalam siri TI CPI sebelum 2030 dan Indonesia mengatasi Malaysia selepas 2030.

Negara-negara yang berada di kedudukan rendah dalam senarai TI CPI siri pertama pada tahun 1995, seperti China, Thailand, India dan Indonesia, pantas mengejar kedudukan Malaysia, yang telah mengalami kemunduran sejak 1995.

Nasib baik, trajektori ini dihentikan apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih, dan dalam TI CPI 2019, walaupun China meningkatkan kedua-dua kedudukan dan markah TI CPI-nya kepada tempat ke-80 dan 41 mata daripada 100, Malaysia mencapai prestasi TI CPI terbaik dalam 25 tahun dengan peningkatan satu tahun sebanyak enam mata untuk skor TI CPI dan lompatan 10 anak tangga dalam indeks TI CPI – kedudukan di tempat ke-51 dan skor 53 daripada 100.

Malaysia bersedia untuk era baharu anti-rasuah di Malaysia dengan mencapai skor dan penarafan TI CPI yang lebih baik setiap tahun daripada TI CPI 2019, dan memulakan Malaysia di landasan untuk menjadi salah satu daripada 30 negara terbaik dunia dalam integriti awam sebelum 2030.

Tetapi kerajaan Pakatan Harapan berumur pendek, kerana ia telah digulingkan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang membawa masuk dua Kerajaan pintu belakang yang tidak sah.

Kini kita kembali ke kancah rasuah, seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan TI CPI 2021 berkemungkinan besar akan mencatatkan “perubahan besar” ke arah yang lebih buruk – dengan Malaysia mencatatkan kedudukan dan markah terburuk dalam sejarah.

Kita nantikan dengan penuh bimbang laporan yang diterbitkan hari ini.

Laporan TI CPI 2021 perlu menjadi agenda utama Kabinet esok, ditambah lagi dengan krisis anti-rasuah Azam Baki, dan juga tindakan berdendam memalukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap jaguh badminton negara Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei yang menantikan penyelesaian yang memuaskan daripada Kabinet.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri