Sebuah SPRM yang berdendam seperti yang didedahkan oleh Sivarasa adalah satu perkara yang amat tidak boleh diterima dan Ismail Sabri perlu menghentikan SPRM daripada terus membalas dendam peribadi terhadap Sivarasa kerana membangkitkan isu mengenai Azam di Parlimen

Sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdendam seperti yang didedahkan oleh Sivarasa adalah satu perkara yang amat tidak boleh diterima dan Ismail Sabri perlu menghentikan SPRM daripada terus membalas dendam peribadi terhadap Sivarasa kerana membangkitkan isu mengenai Azam di Parlimen.

Sivarasa mendakwa yang SPRM mengambil tindakan balas terhadap pusat khidmat beliau selepas beliau membangkitkan isu pemilikan saham Azam Baki di Dewan Rakyat.

Sivarasa mendedahkan yang pengurus pusat khidmat beliau, KR Naveen, yang juga merupakan anak saudara beliau, telah dipanggil oleh pihak SPRM pada hari Jumaat lepas (21 Jan) dan dimaklumkan yang beliau akan didakwa atas tuduhan rasuah mengenai satu insiden yang berlaku empat tahun yang lepas.

Beliau mengatakan: “Perkara yang kononnya merupakan kesalahan rasuah ini timbul daripada kejadian pada sekitar bulan Ogos/September 2017. Pada bulan Ogos, saya telah membangkitkan isu dengan Jabatan Imigresen mengenai seorang ahli perniagaan Bangladesh yang bernama Monomiah Siddikur Rahman yang telah mendapatkan permit kerja secara korup untuk pekerja kebersihan dan kakitangan dari Bangladesh untuk bekerja di hotel dengan menggunakan dokumen yang dipalsukan dan saya telah meminta Ketua Pengarah Imigresen untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan.

“Tiba-tiba pada 21 September 2017, tiga orang pegawai pusat khidmat saya, Naveen, Joshua Kalaivesen, dan Nico Kam ditangkap oleh SPRM, direman selama empat hari, dan disiasat atas dakwaan yang mereka cuba mendapatkan wang daripada Monomiah untuk tidak membangkitkan isu ini.”

Sivarasa mengatakan yang dakwaan ini salah, berniat jahat, dan tidak berasas.

Mengapakah kes ini dibangkitkan semula selepas empat tahun setengah?

Ismail Sabri perlu memastikan yang SPRM tidak digunakan untuk membalas dendam peribadi terhadap Sivarasa selepas beliau membangkitkan isu pemilikan saham Azam Baki di Parlimen pada 4 Disember 2021.

Saya mencadangkan yang Sivarasa membuat laporan dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat mengenai “dendam peribadi” SPRM terhadap beliau ini selepas beliau membangkitkan isu mengenai pemilikan saham Azam Baki memandangkan perkara ini merupakan satu pencabulan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 di mana sesiapa yang didapati bersalah boleh dipenjarakan oleh Parlimen sekiranya mereka gagal membuktikan yang mereka tidak menghina Parlimen.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri