Bilakah Perdana Menteri Ismail Sabri yang hanya sekarang kelihatan peduli mengenai bencana banjir bulan lepas akan menyedari yang rakyat kini sedang bimbang mengenai skandal tentang Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki
Bilakah Perdana Menteri Ismail Sabri yang hanya sekarang kelihatan peduli mengenai bencana banjir bulan lepas akan menyedari yang rakyat kini sedang bimbang mengenai skandal tentang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Sidang Parlimen Khas sehari mengenai bencana banjir semalam tidak membuktikan Ismail benar-benar prihatin dengan bencana banjir, kerana beliau tidak datang kembali ke Parlimen untuk penggulungan Sidang Khas semalam.
Bolehkah Ismail Sabri memberitahu rakyat Malaysia apa yang beliau lakukan yang lebih penting berbanding dengan hadir semula ke Parlimen untuk penggulungan Sidang Khas mengenai bencana banjir?
Apa yang dibuktikan semalam ialah Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang sangat lambat bertindak balas terhadap kemelut yang dihadapi negara.
Apakah pendirian Ismail Sabri mengenai krisis No. 1 di negara ini – skandal Azam Baki – yang menjadi berita utama dalam negara selama lebih tiga minggu?
Adakah Perdana Menteri benar-benar percaya kepada Azam Baki – sama ada dia telah berbohong atau tidak, sama ada Suruhanjaya Sekuriti telah benar-benar membersihkan namanya atau tidak, sama ada kesnya telah dirujuk kepada Peguam Negara atau tidak atau sama ada dia telah melakukan penghinaan terhadap Parlimen atau tidak – adakah beliau ini contoh terbaik yang berintegriti, berwibawa dan bertanggungjawab dalam perkhidmatan awam?
Jika ya, ada suatu perkara yang amat rosak dengan Malaysia!
Bagaimanakah Malaysia kini berada di satu peringkat yang amat menyedihkan selepas setengah abad penubuhan negara, selepas bertukar ganti sembilan orang Perdana Menteri, sebuah negara yang memulakan hidup dengan impian sebagai “tempat selamat penuh keamanan, keharmonian, dan kegembiraan” dan juga sebagai “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dicitakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.
Dalam setengah abad yang lepas, Malaysia telah gagal menjadi "sinar cahaya" kepada rakyat Malaysia, bagaimanakah kita boleh menjadi "sinar cahaya" kepada seluruh dunia?
Daripada hampir menjadi sebuah "harimau" ekonomi, kita telah melihat satu demi satu negara mengatasi kita – Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam.
Adakah kita akan meneruskan trajektori kemerosotan negara ini pada dekad akan datang dengan lebih banyak negara di belakang kita mengatasi Malaysia seperti Indonesia dan Filipina?
Apakah usaha yang sedang dilakukan untuk menyokong usaha Malaysia mengambil tempatnya sebagai negara hebat bertaraf dunia dan bukannya negara sakit yang membongkok di bawah beratnya sendiri, di mana pelantikan dutanya ditolak oleh negara lain, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini?
Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia bimbang tentang krisis Azam ini, kerana rakyat Malaysia tidak mahu negara itu kembali menjadi sebuah kleptokrasi dengan rasuah yang berleluasa sehingga memusnahkan potensi Malaysia untuk pulih menjadi negara hebat bertaraf dunia!
Malaysia mempunyai Kabinet bersaiz gergasi, mengesahkan kajian antarabangsa bahawa secara purata, semakin maju sesebuah negara, semakin kecil kabinetnya.
Kami mempunyai Menteri-menteri dengan kehebatan intelektual yang mengagumkan yang boleh melihat singa di Malaysia dan mengeluarkan teori aneh bahawa orang-utan di Malaysia akan "membunuh anda dahulu" apabila mereka bertemu dengan manusia, dan bukannya sebaliknya.
Malah, ada juga yang berpendapat bahawa rasuah tidak menjadi kesalahan dengan syarat yang melakukan rasuah adalah orang Islam.
Di Dewan Rakyat United Kingdom minggu ini, seorang Ahli Parlimen Konservatif melintas lantai Dewan Rakyat untuk duduk bersama Ahli Parlimen Parti Buruh Keir Starmer, mengisytiharkan dalam surat kepada Perdana Menteri Britain Boris Johnson bahawa dia "tidak layak untuk memimpin dan menjadi kerajaan untuk negara ini”.
Tidak ada sesiapa pun di UK yang memanggilnya “katak” yang melompat parti kerana kepentingan sendiri, berbeza dengan situasi di Malaysia – sebaliknya orang ramai menerima pertukaran partinya sebagai satu tindakan berasaskan prinsip politik dan bukan kepentingan harta benda peribadi.
Malaysia masih mempunyai perjalanan yang panjang sebelum kita dapat menyertai kumpulan negara-negara hebat bertaraf dunia dan bukannya untuk kekal sebagai sebuah negara yang tiada kehebatan yang akan terus gagal akibat kleptokrasi dan kakistokrasi.
Apakah nasib Malaysia menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2063?