Suruhanjaya Sekuriti adalah mangsa kelima skandal Azam, hilang semua kredibiliti dan legitimasi – kita tidak boleh membenarkan lebih banyak terkorban akibat skandal Azam, tidak kira Parlimen, Speaker Parlimen, MoU, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Peguam Negara atau Polis!

Skandal Azam telah mengorban satu lagi mangsa – Suruhanjaya Sekuriti – yang telah kehilangan semua kredibiliti dan legitimasi setelah menjadi mangsa kelima selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki; Kabinet dan Perdana Menteri Ismail Sabri.

Kita tidak boleh membiarkan skandal Azam ini mengorban lebih banyak entiti tidak kira Parlimen, Speaker Parlimen, memorandum persefahaman (MoU) keyakinan-pembekalan-reformasi (CSR), Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Peguam Negara atau Polis!

Kabinet semalam telah membuktikan yang saya betul – bahawa hanya orang dungu yang akan menganggap kenyataan Suruhanjaya Sekuriti pada cuti umum Thaipusam pada petang Selasa sebagai membersihkan sepenuhnya Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada sebarang pelanggaran undang-undang dan pengisytiharan bahawa Azam tidak bersalah.

Para menteri membuktikan bahawa mereka telah melakukan lebih teruk berbanding tiga monyet bijak – telinga tidak mendengar, mata tidak melihat dan mulut tidak bercakap – dengan melangkah lebih jauh, membenarkan perkara yang tidak wajar!

Oleh itu, tiada pengumuman segera selepas mesyuarat Kabinet tentang apa yang diputuskan oleh mereka berhubung skandal Azam, tetapi lebih banyak berbelit-belit sehingga kenyataan kedua Suruhanjaya Sekuriti dikeluarkan kira-kira jam 6 petang yang bercanggah dengan kenyataannya 24 jam sebelumnya; daripada "tidak dapat memastikan secara konklusif bahawa pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku" kepada "SC mencapai keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) SICDA 1991”.

Bagaimana SC boleh melakukan keajaiban dalam masa 24 jam untuk beralih daripada "tidak dapat mewujudkan pelanggaran secara muktamad" kepada "sampai pada keputusan bahawa tiada pelanggaran" adalah sangat pelik.

Apa yang patut kita bimbangkan ialah skandal ini telah mengorbankan satu lagi mangsa yang sekali lagi memburukkan nama Malaysia di mata dunia.

Satu perkara yang jelas – Azam Baki telah kehilangan semua kuasa, legitimasi dan kredibiliti untuk menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana jelas bahawa beliau tidak layak untuk menjadi tokoh utama integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam!

Bolehkah Azam Baki mengembalikan integriti dan akauntabilitinya selepas terperangkap dalam skandalnya?

Kenyataan kedua daripada Suruhanjaya Sekuriti telah mengundang lebih banyak skandal dan kontroversi membabitkan Azam Baki - seperti kenyataan Azam sendiri bahawa akaun pelaburannya telah digunakan oleh adiknya untuk membeli saham dalam dua syarikat pada 2015 dan bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan dalam hal berkenaan.

Saya boleh bayangkan bahawa Azam sedang menghadapi tekanan yang luar biasa, tetapi bolehkah Azam bayangkan tekanan yang lebih hebat yang sedang dialami oleh SPRM pada masa yang sama?

Jika beliau menyayangi SPRM dan mahu SPRM memainkan peranannya "untuk menggalakkan integriti dan akauntabiliti pentadbiran sektor awam dan swasta dengan membentuk badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab" (Akta SPRM 2009), beliau hanya mempunyai satu pilihan – letak jawatan atau bercuti sehingga beliau disiasat sepenuhnya dan beliau boleh terus menjadi contoh integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran sektor awam dan swasta dan bukan untuk mengheret lebih banyak agensi dan institusi ke dalam kancah kebencian dan fitnah sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Perdana Menteri akhirnya membuka mulut berhubung skandal Azam apabila beliau berkata lewat malam tadi bahawa pembangkang harus menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC), yang membersihkan Azam Baki daripada sebarang salah laku dalam pemilikan saham syarikat korporat.

Adakah Ismail Sabri terlalu dungu sehingga tidak dapat melihat bahawa kenyataan kedua Suruhanjaya Sekuriti telah mencetuskan lebih banyak kontroversi yang menjejaskan integriti dan akauntabiliti lebih ramai pegawai, agensi dan institusi?

Saya telah ditanya sama ada kemelut Azam Baki akan membawa kepada berakhirnya Memorandum Persefahaman (MoU) keyakinan-pembekalan-reformasi (CSR) yang ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan empat pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September 2021.

Sama ada MoU CSR perlu ditamatkan sebelum Julai 2022 harus berdasarkan sama ada syarat MoU CSR dipatuhi dan sama ada kerajaan Ismail Sabri telah bertindak melampaui batas sehingga menyukarkan pelaksanaan MoU CSR diteruskan.

MoU CSR bukanlah suatu bentuk pengesahan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional yang secara asasnya berbeza daripada visi parti-parti dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP, Amanah dan UPKO untuk melihat sebuah Malaysia bersatu, sokongan PH terhadap prinsip pembinaan negara yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia 1963 dan Rukun Negara 1970 menekankan perlunya konsensus nasional bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya di mana tiada ruang untuk hegemoni oleh mana-mana kaum atau agama, sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjunjung doktrin pengasingan kuasa, kedaulatan undang-undang, nilai kerohanian dan nilai moral yang menolak dan menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa, menghormati hak asasi manusia, kebebasan akhbar, tadbir urus yang baik dan kerajaan yang berkesan dan cekap.

Kandungan MoU CSR adalah dokumen awam dan tiada klausa rahsia.

Sekiranya mana-mana pihak dalam MoU CSR gagal mematuhi syaratnya, maka mana-mana pihak berhak untuk menamatkan MoU tersebut.

Sebagai contoh, saya faham bahawa kerajaan Ismail Sabri tidak mahu mematuhi salah satu syarat penting dalam MoU CSR, dan jika ya, ini akan mencetuskan keadaan di mana salah satu pihak perlu mempertimbangkan sama ada terdapat sebarang keperluan dan tujuan dalam meneruskan MoU.

Dikatakan bahawa tidak wujud sebarang MoU CSR dalam setengah abad pertama negara ini terbentuk dan parti Pakatan Harapan telah tidak lagi menjadi parti Pembangkang kerana mereka telah diserap ke dalam kerajaan Ismail Sabri.

Ini tidak benar sama sekali.

MoU CSR tidak wujud dalam tempoh setengah abad pertama penubuhan negara kerana Malaysia berada di bawah pemerintahan hegemoni politik UMNO yang diktator, perkauman dan korup selama beberapa dekad sehingga Malaysia menderita di peringkat antarabangsa dengan skandal 1MDB yang disifatkan oleh Peguam Negara AS pada masa itu sebagai "kleptokrasi paling teruk".

Pengkritik MoU CSR gagal menyedari bahawa keputusan bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang menamatkan hegemoni politik UMNO dan seterusnya memaksa pelaksanaan MoU CSR.

Ismail Sabri adalah Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara sehinggakan MoU CSR itu dilaksanakan.

Sudah tentu, kita tidak sepatutnya menjadi hamba kepada MoU CSR.

Lima peristiwa yang membolehkan MoU CSR itu wujud dan diperlukan:

  1. Berakhirnya hegemoni politik UMNO pada 9 Mei 2018 dan tidak ada mana-mana parti yang mempunyai majoriti mudah di Parlimen, wujudlah satu situasi di mana MOU CSR ini diperlukan. MOU ini merupakan satu perkara yang tidak pernah didengari sebelum ini dalam enam dekad sejarah negara kerana hegemoni politik UMNO.
  2. Kita berjaya menghentikan angka-angka Ahli Parlimen PH di Parlimen daripada digunakan dalam “Perebutan Kuasa” parti-parti kerajaan untuk menjadi Perdana Menteri kerana tidak kiralah apa pun kombinasinya, PN atau BN tidak akan sama sekali menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
  3. MOU CSR ini adalah usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia untuk menghentikan peningkatan mendadak jangkitan dan kematian akibat Covid-19. Terdapat 24,599 kes dan 393 kematian pada 26 Ogos 2021, lima hari selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Sekiranya trend ini berterusan, kita mungkin akan mencapai sejumlah lima ke 10 juta kes Covid-19 terkumpul dan 100,000 – 200,000 kematian akibat Covid-19 menjelang 31 Disember, dan bukannya 2.75 juta kes dan 31,500 kematian yang dicatatkan.
  4. Pakatan Harapan mengesa kerajaan PN memperuntukkan RM45 bilion untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
  5. Konsensus politik yang minimum untuk permulaan reformasi institusi di negara ini.

Telah dipersetujui dalam MoU CSR bahawa perlu ada reformasi parlimen seperti penubuhan lebih banyak jawatankuasa pilihan parlimen dan untuk meminda perintah tetap parlimen untuk menjadikan jawatankuasa pilihan parlimen berfungsi dengan lebih bermakna.

Skandal Azam akan menjadi ujian bagi MoU CSR sama ada jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri boleh berfungsi secara bermakna.

Saya jarang bersetuju dengan mantan Perdana Menteri, Najib Razak, yang telah membawa Malaysia kepada keburukan kleptokrasi, bahawa kita telah menerima satu lagi tamparan hebat dalam percubaan kita untuk bertahan bagi mencapai status negara hebat bertaraf dunia sebelum Ulang tahun ke-100 Malaysia pada 2063 – keputusan Massachusetts Institute of Technology (MIT) dari AS dan Tsinghua University of China memilih Indonesia dan bukan Malaysia untuk menubuhkan kampus universiti bersama.

Kita nampaknya terus terjerumus ke dalam kancah kakistokrasi selepas menjadi kleptokrasi – seperti digambarkan baru-baru ini oleh keputusan Universiti MIT-Tsinghua, skandal Azam, bencana banjir dan prestasi buruk Malaysia dalam pandemik Covid-19 selama dua tahun.

Adakah kita akan menjadi negara yang gagal dalam beberapa dekad akan datang?

Apakah pendirian UMNO, Bersatu dan PAS mengenai skandal Azam?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri