Adakah para menteri yang terlebih dibayar semua akan berpura-pura mempunyai telinga yang tidak mendengar, mata yang tidak melihat, dan mulut yang tidak bersuara dalam mesyuarat Kabinet gergasi hari ini mengenai isu Azam?

Adakah Suruhanjaya Sekuriti telah mencipta sejarah dengan menamatkan sebuah penyiasatan yang akan menimbulkan beribu lagi penyiasatan?

Semasa mengisytiharkan yang Suruhanjaya Sekuriti (SC) “tidak berjaya untuk menentukan dengan kepastikan bahawa satu pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) telah berlaku” mengenai kes pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, SC telah meninggalkan tanda tanya mengenai di bawah keadaan bagaimanakah yang SC dapat “menentukan dengan kepastian” sama ada berlaku pelanggaran SICDA atau tidak.

Rakyat Malaysia berhak untuk tahu mengapa SC gagal untuk “menentukan dengan kepastian” sama ada pelanggaran peruntukan SICDA telah berlaku dalam kes Azam Baki ini.

Kenyataan SC amatlah tidak memuaskan dan tidak meyakinkan.

SC belum lagi membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada apa-apa salah laku di bawah SICDA dan oleh itu telah merendahkan autoriti, keabsahan, dan kredibiliti Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, memandangkan beliau masih gagal untuk menjadi tauladan integriti dan akauntabiliti seperti yang diperlukan dalam Akta SPRM 2009.

Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam telah gagal untuk menjadi “lebih bersih daripada bersih”, dan melainkan beliau dapat menjelaskan perkara ini dengan segera, beliau perlu meletakkan jawatan atau bercuti sehingga kes ini dapat dijelaskan secara memuaskan.

Pengarah Eksekutif Pusat Melawan Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, telah menggesa SC untuk menjelaskan bagaimana badan tersebut “gagal untuk menentukan” sama ada Azam telah melanggar peruntukan undang-undang mengenai pemilikan sahamnya dengan menerbitkan kepada orang awam dapatan siasatan SC.

Beliau mengatakan: “Perkara ini mengukuhkan kepercayaan kami sejak dari awal lagi yang bahawa hanya sebuah siasatan menyeluruh yang bebas sahaja yang akan mampu memberikan gambaran sebenar, kerana hanya siasatan sebegini sahaja yang boleh mendedahkan sebarang pelanggaran undang-undang atau pekeliling deklarasi aset pegawai perkhidmatan awam dan juga untuk menentukan sumber dana yang digunakan.”

Peguam dan wakil rakyat, Sivarasa Rasiah, telah meminta pihak Polis untuk menyiasat Azam selepas SC memutuskan yang badan tersebut gagal untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran undang-undang perdagangan saham.

Sivarasa mengatakan yang siasatan polis perlulah melibatkan semakan ke akaun bank, penyata bank, dan juga “siapa yang memberikan wang kepada remisier”.

Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, telah mempersoalkan bagaimana SC mampu untuk menjalankan tanggungjawab statutorinya sekiranya SC tidak mampu untuk menyiasat dengan kepastian sama ada Azam telah melanggar peruntukan Seksyen 25(4) SICDA sedangkan Azam telah mengaku secara terbuka yang beliau membenarkan adiknya berdagang saham menggunakan akaunnya?

Hari ini, kita berhadapan dengan satu lagi persoalan – sama ada para menteri yang terlebih dibayar semua akan berpura-pura mempunyai telinga yang tidak mendengar, mata yang tidak melihat, dan mulut yang tidak bersuara dalam mesyuarat Kabinet gergasi hari ini mengenai isu Azam?

Adakah Jemaah Menteri akan membawa usul menghina Parlimen terhadap Azam di Parlimen esok atas keengganan beliau untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membersihkan dakwaan yang dibuat terhadap beliau?

Adakah Kabinet akan mengambil tindakan yang pantas dan berkesan untuk menamatkan krisis keyakinan yang terburuk dalam sejarah agensi pencegahan rasuah negara – yang disebabkan oleh pegawai Nombor 1 agensi tersebut yang tidak bersedia untuk menjadi tauladan baik integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam?

Adakah Kabinet sedar mengenai kerosakan terhadap maruah negara yang disebabkan oleh skandal SPRM oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM ini?

Adakah Perdana Menteri Ismail Sabri mempunyai pendapat mengenai perkara ini, sekiranya ya, apakah pendapat beliau?

Apakah pula pendapat bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengenai perkara ini?

Menarik untuk kita dapatkan pendapat empat orang bekas Perdana Menteri negara dalam empat tahun yang lepas mengenai isu ini!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri