Perdana Menteri Ismail Sabri tidak boleh membiarkan Parlimen terus lumpuh, sebaliknya perlu menjadualkan sidang Parlimen Khas pada hari Khamis, 27 Januari untuk membincangkan isu konflik kepentingan Azam Baki

Perdana Menteri Ismail Sabri tidak boleh membiarkan Parlimen terus lumpuh, sebaliknya perlu menjadualkan sidang Parlimen Khas pada hari Khamis, 27 Januari untuk membincangkan isu konflik kepentingan Azam Baki, kerana tidak ada sesiapa pun, termasuklah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh menyekat Parlimen daripada membuat keputusan mengenai perkara-perkara yang berkepentingan terhadap negara.

Banyak isu mengenai konflik kepentingan Azam Baki yang berlaku hari ini.

Pertama, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh mencabar pendirian Speaker, Azhar Azizan Harun bahawa sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak boleh dibuka kepada umum dan media menurut peruntukan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Kemudian Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, mengemukakan usul tergempar kepada Parlimen untuk membahaskan isu mengenai Azam Baki ini.

Tetapi yang paling mengejutkan ialah berita penangguhan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dijadualkan untuk menyiasat isu mengenai Azam Baki pada hari Rabu ini. Sidang mesyuarat ini ditangguh selepas bantahan Azam Baki atas alasan beliau telah memfailkan saman fitnah yang mungkin dipertimbangkan oleh mahkamah, dan bahawa beliau telah pun disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Aduan SPRM.

Perkara ini amatlah mengejutkan kerana kita sedang melihat Parlimen dilumpuhkan buat pertama kali dalam sejarah negara.

Azam perlu hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membersihkan namanya daripada dakwaan konflik kepentingan. Apa yang dia takut?

Prosiding Jawatankuasa ini sepatutnya dibuka kepada orang ramai dan media, tetapi perkara ini hanya boleh dilakukan apabila Speaker dalam sidang Parlimen Khas pada 20 Januari ini mendapat kelulusan Dewan untuk berbuat demikian.

Kini tanggungjawab berada dalam tangan Perdana Menteri.

Adakah beliau akan membiarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM terus menyekat Parlimen – mencetuskan kelumpuhan Parlimen dan menjunamkan negara ke dalam suatu krisis kepercayaan yang amat teruk dalam usaha pencegahan rasuah negara.

Adakah Malaysia memang telah disumpah menjadi sebuah kleptokrasi?

Azhar dilantik menjadi Speaker sebagai penyekat reformasi Parlimen. Kini Perdana Menteri yang melantiknya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, beliau harus merebut peluang menjadi Speaker reformasi dan bukannya terus menjadi penyekat reformasi.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri