Malaysia akan mencatatkan prestasi melawan Covid-19 yang lebih baik tanpa pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 tahun lepas

Saya terkejut dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang masih cuba untuk mempertahankan keputusan beliau untuk mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021. Tindakan ini telah menyekat semak imbang Parlimen terhadap tindakan kerajaan sehingga bulan Ogos yang akhirnya menjadikan Malaysia salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 dalam dua tahun yang lepas.

Muhyiddin cuba mempertahankan keputusan beliau ini dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar dari Abu Dhabi, The National, di mana beliau mendakwa kuasa-kuasa tambahan daripada darurat tersebut diperlukan untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Sekiranya benar begitu, bolehkah Muhyiddin jelaskan mengapa kita tidak kembali ke paras kes Covid-19 seperti sebelum darurat diisytiharkan selepas setahun kemudian?

Pada 11 Januari 2021, semasa darurat diisytiharkan untuk melawan wabak Covid-19, terdapat 2,322 kes baharu dan empat kematian akibat Covid-19, tetapi semalam, kita mempunyai lebih banyak kes dan kematian – 3,010 kes dengan 12 kematian akibat Covid-19.

Pada 1 Ogos 2021, hari terakhir darurat Covid-19, kadar kes harian telah meningkat sehingga ke 17,150 kes dengan 160 kematian akibat Covid-19, peningkatan kes harian sebanyak lapan kali ganda dan peningkatan kematian empat puluh kali ganda berbanding dengan sebelum darurat.

Apa jenis darurat untuk melawan Covid-19 jika ini hasilnya?

Mengikut logik Muhyiddin, ada kes yang kuat untuk darurat diteruskan lagi.

Mengapa Muhyiddin tidak meletak jawatan apabila beliau gagal melanjutkan darurat palsu ini?

Malaysia akan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam memerangi Covid-19 sekiranya darurat tidak diisytiharkan pada 11 Januari tahun lepas.

Mungkin Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kesihatan, Sains dan Inovasi boleh menyiasat dan melaporkan kepada Parlimen tentang bagaimana pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 telah menjejaskan perang negara menentang pandemik Covid-19 dalam tempoh setahun yang lalu.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri