Gelombang ketiga DAP di Sarawak
Jawatankuasa negeri Sarawak baharu yang dipilih semalam akan bertanggungjawab untuk melancarkan gelombang ketiga DAP di Sarawak untuk berjuang demi sebuah Sarawak yang lebih baik dan Malaysia yang lebih baik.
Gelombang pertama DAP di Sarawak bermula di bawah pimpinan pengasas Pengerusi DAP Sarawak, Chong Siew Chiang, mengambil masa 18 tahun dari 1978 hingga 1996, dan akhirnya, mencapai kejayaan apabila tiga pemimpin parti diundi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak – Wong Ho Leng (Bukit Assek ), Wong Sing Nang (Pelawan) dan Wong Sing Ai (Kidurong).
Perjuangan DAP Sarawak untuk menghantar wakil di parlimen tidak begitu sukar kerana dua Ahli Parlimen Kuching (Sim Kuang Yang) dan Sibu (Ling Sie Ming) telah dipilih pada 1982.
Gelombang Kedua DAP dari 1996 hingga 2021, yang mengambil masa 25 tahun, menyaksikan DAP memenangi 12 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum negeri Sarawak ke-10 pada 2011 di bawah pimpinan Wong Ho Leng.
Ia berakhir dengan prestasi DAP Sarawak yang agak teruk pada pilihan raya umum Sarawak ke-12 pada 2021 di mana dua pemimpin parti telah dipilih untuk menjadi ADUN Sarawak - Chong Chieng Jen (Padungan) dan Violet Yong (Pending).
Gelombang pertama DAP Sarawak bermula dari sifar, gelombang kedua DAP bermula dari tiga dan gelombang ketiga DAP akan bermula dari dua. Apakah pencapaian yang mampu dikecapi oleh gelombang ketiga DAP Sarawak – sama ada ia boleh membentuk kerajaan negeri Sarawak atau menjadi sebahagian daripadanya?
Inilah cabaran gelombang ketiga DAP di Sarawak di bawah pimpinan Chong Chieng Jen.
Saya kecewa dengan keputusan pilihan raya umum negeri Sarawak bulan lepas kerana selain Pandungan dan Pending, saya telah menjangkakan DAP akan memenangi Kota Sentosa, Bukit Assek, Pelawan, Tanjong Batu dan Pujut.
Saya dapat memahami kekecewaan rakyat kerana Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan tidak melakukan lebih banyak dalam tempoh 22 bulan mentadbir sebelum ia digulingkan secara tidak demokratik.
Tetapi saya tidak bersetuju dengan mereka yang mencadangkan bahawa DAP harus keluar daripada Kerajaan Pakatan Harapan tanpa cuba berusaha menjayakannya dahulu.
Kita mesti tabah dalam perjuangan kita untuk menjadikan Malaysia yang lebih baik dan Sarawak yang lebih baik – bukan untuk kepentingan kita sendiri, tetapi demi anak-anak kita dan cucu-cucu kita.
Kita telah mencapai kemajuan yang besar walaupun kita juga mengalami kemunduran yang besar.
Rakyat Malaysia belum menyedari sepenuhnya kepentingan bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 apabila kita menamatkan hegemoni politik UMNO.
Kini kebanyakan orang lebih bijak selepas peristiwa itu dan mendakwa mereka telah menjangkakan keputusan pilihan raya umum ke-14.
Jika anda bertanya kepada saya pada pagi 9 Mei 2018, saya akan katakan yang saya tidak pernah menyangka UMNO akan ditumbangkan pada hari itu.
Menurut sumber dalaman Roman Bose dalam bukunya (Tommy Thomas pernah menggambarkan Romen Bose sebagai pakar propaganda Najib), Najib Razak tidak pernah menjangka akan disingkirkan daripada jawatan perdana menteri pada hari itu. Malah, sehingga akhir hari pengundian, Najib menjangkakan hegemoni politik UMNO pulih dengan parti itu memenangi majoriti dua pertiga di Parlimen.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 menghasilkan senario politik baharu – yang masih sedang cuba mencari titik keseimbangan politik baharu di mana suara rakyat diberikan kepentingan dalam membentuk masa hadapan negara – yang telah menyaksikan empat orang Perdana Menteri bersilih ganti dalam tempoh lima tahun.
Pengajarannya untuk rakyat Malaysia adalah untuk menyedari yang perjuangan politik untuk menjadikan Malaysia negara hebat bertaraf dunia ini adalah satu perjuangan jangka panjang yang penuh dengan cabaran dan memerlukan kecekalan.
Setengah abad diperlukan untuk memecahkan hegemoni politik UMNO.
Adakah kita memerlukan setengah abad lagi sebelum Ulang Tahun Malaysia yang ke-100 pada 2063 untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia?
Rakyat Sarawak bersama-sama rakyat Malaysia yang berfikiran serupa mesti berada di barisan hadapan untuk menggerakkan rakyat Malaysia untuk menerajui penetapan semula dasar negara dalam setengah abad akan datang untuk membawa pembaharuan institusi supaya Malaysia boleh menjadi negara hebat bertaraf dunia.
Tidak mungkin ada fajar baharu untuk Sarawak jika tidak ada fajar baharu untuk Malaysia.
Bilakah fajar baharu di Malaysia boleh berlaku? Tidak dalam satu atau dua tahun, malah bukan juga dalam satu atau dua dekad, mungkin dalam lebih tiga dekad apabila kita mengamalkan dasar “Malaysian First” untuk seluruh negara, dan dasar “Sarawak First” untuk Sarawak!
Saya ingin menyifatkan pertempuran politik dari 1957 – 2018 sebagai “Pertempuran Pertama” yang menamatkan hegemoni politik UMNO yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara kleptokrasi.
“Pertempuran Kedua” adalah dari 2018 hingga 2063 untuk Sarawak mendapat fajar baharu dan untuk Malaysia menjadi negara hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 Malaysia pada 2063.
Pilihan raya umum Sarawak pada 18 Dis. 2021 adalah paluan pembukaan untuk Pertempuran Kedua ini untuk Malaysia dan Sarawak menjadi entiti bertaraf dunia.
Saya tidak akan berada di sini untuk melihat keputusan “Pertempuran Malaysia Kedua” pada tahun 2063, tetapi saya menyeru para belia Sarawak untuk bangkit dan membantu memimpin belia Malaysia bagi memastikan negara kita dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk memastikan Sarawak mendapat sinar fajar baharu kerana Malaysia juga turut mendapat sinar fajar baharu.