Lebih ramai rakyat Malaysia perlu bimbang mengenai arah hala tuju pembinaan negara bangsa dalam setengah abad yang lepas dan perlu beriltizam untuk mengambil tindakan untuk mengelakkan berlakunya Diaspora Malaysia Kedua dengan memenuhi takdir negara untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan pemikiran dan komitmen untuk Utamakan Malaysia
Saya telah mengesyorkan lima buku untuk bacaan semua Ahli-ahli Parlimen dan rakyat Malaysia, bukannya untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan penulisan di dalam buku-buku ini, tetapi untuk memahami bagaimana Malaysia telah mengambil langkah yang salah dalam usaha pembinaan negara bangsa dalam setengah abad yang lepas dan kita semua kini perlu mengambil tindakan untuk memperbetulkan kesilapan ini bagi mengelakkan berlakunya Diaspora Malaysia Kedua dengan memenuhi takdir negara untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan pemikiran dan komitmen untuk Utamakan Malaysia.
Lima buku ini adalah
- What’s In A Name – Nazir Razak
- Capturing Hope – Mahathir Mohamad
- Final Reckoning – Romen Bose
- Paradise Lost – Dennis Ignatius
- My Story: Justice in the Wilderness – Tommy Thomas
Rakyat Malaysia masih belum betul-betul mendalami kepentingan bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, di mana kita telah menamatkan hegemoni politik UMNO.
Kini, hampir semua orang telah tersedar selepas kejadian ini dan mendakwa yang mereka memang telah menjangkakan keputusan PRU-14 ini.
Sekiranya anda bertanya kepada saya pada pagi 9 Mei 2018, saya akan katakan yang saya tidak jangka yang UMNO akan ditumbangkan pada hari tersebut.
Menurut catatan Romen Bose dalam bukunya (Tommy Thomas pernah menggambarkan Romen Bose sebagai pakar propaganda Najib), Najib Razak tidak menjangkakan yang beliau akan ditumbangkan pada hari itu. Malah, sehingga tamat waktu mengundi, Najib menjangkakan pemulihan hegemoni UMNO dengan memenangi majoriti dua pertiga di Parlimen.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 menghasilkan senario politik baharu – yang masih sedang cuba mencari titik keseimbangan politik baharu di mana suara rakyat diberikan kepentingan dalam membentuk masa hadapan negara – yang telah menyaksikan empat orang Perdana Menteri bersilih ganti dalam tempoh lima tahun.
Pengajarannya untuk rakyat Malaysia adalah untuk menyedari yang perjuangan politik untuk menjadikan Malaysia negara hebat bertaraf dunia ini adalah satu perjuangan jangka panjang yang penuh dengan cabaran dan memerlukan kecekalan.
Kita mengambil masa selama setengah abad untuk memecahkan hegemoni politik UMNO.
Adakah kita memerlukan setengah abad lagi sebelum Ulang Tahun Malaysia yang ke-100 pada 2063 untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia?
Terdapat banyak perkara negatif di dalam negara.
Seperti yang dikatakan oleh Dennis Ignatius di dalam bukunya:
“Melihat banyak peristiwa yang tersingkap dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dapat difahami jika masa depan negara tampak suram. Ramai yang sangat meluat dan kecewa sehinggakan mereka tidak mahu ada kaitan lagi dengan politik kerana mereka telah membuat kesimpulan bahawa sistem itu tidak dapat dibaiki, tiada apa yang akan berubah tidak kira siapa yang mereka undi. Tidak sedikit yang mencadangkan kepada saya bahawa negara kita kini berada di ambang keruntuhan yang tidak mampu untuk diselamatkan; ada juga yang berkira-kira untuk meninggalkan negara ini. Berkali-kali, semasa saya mengajukan soalan kepada orang ramai tentang soal masa depan negara dalam pelbagai perhimpunan sosial dan mesyuarat, majoriti daripada mereka menggelengkan kepala mereka, menunjukkan rasa putus. Tidak sukar untuk memahami rasa putus asa yang dialami mereka.
"Tetapi masa lalu kita tidak semestinya akan mencorakkan masa depan kita. Kitalah yang mencorakkan masa depan, ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh diubah. Ia akan ditentukan oleh pilihan yang kita buat dan keputusan yang kita ambil pada masa hadapan. Semua itu mampu untuk dilaksanakan; PRU14 membuktikannya. Melihat ke hadapan, saya melihat adanya harapan dan kekecewaan. Bagaimana ini akhirnya akan tersingkap, saya fikir, akan menentukan rupa masa depan kita." (hlm.298)
Malaysia memerlukan penetapan semula untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk menjadi sebuah “tempat kedamaian, harmoni, dan kegembiraan” dan “menjadi sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.
Tidak ada sebab mengapa kita tidak dapat mencapai wawasan ini kerana Malaysia berada pada pertemuan empat tamadun besar – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat – dan kita boleh mencapai matlamat ini dengan memanfaatkan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun besar ini.
Jika rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, tidak dapat membezakan antara yang betul dan yang salah, ia bukan sahaja menjadi kegagalan sistem pendidikan negara dan pembinaan negara sejak setengah abad yang lalu, lebih teruk lagi – gelap masa depan Malaysia.
Baru-baru ini, rakyat Malaysia berhadapan dengan ujian yang hebat – pandemik Covid-19 selama dua tahun, bencana banjir “setahun dalam seabad”, dan krisis kepercayaan terburuk dalam agensi pencegahan rasuah negara, SPRM – dan ketiga-tiga ujian ini menunjukkan yang rakyat Malaysia mampu membezakan di antara perkara yang betul dan salah.
Lebih ramai rakyat Malaysia perlu berada di barisan hadapan untuk menggerakkan rakyat untuk menuntut usaha menetapkan semula dasar-dasar negara dalam setengah abad yang akan datang untuk membawa reformasi institusi supaya negara kita boleh menjadi sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.
Kita tidak boleh berputus asa. Kita telah dibebankan dengan sekatan yang berat tetapi pada masa yang sama kita juga telah berjaya mencapai beberapa kejayaan.
Di bawah perjanjian Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963, Malaysia hanya mempunyai masa hadapan sebagai sebuah negara dengan masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya, dan bukannya sebagai sebuah negara Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, atau sebagai sebuah negara Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao.
Itulah sebabnya terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia bahawa mana-mana rakyat Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia, dan jawatan itu bukan semata-mata untuk orang Melayu atau Islam.
Sudah tentu realiti politik masih berbeza, malah di Amerika Syarikat, negara tersebut telah mengambil masa lebih dari 200 tahun untuk melantik seorang lelaki kulit hitam menjadi Presiden Amerika Syarikat dan seorang wanita etnik India untuk menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat.
Saya tidak pasti sama ada negara ini akan mengambil masa 200 tahun atau lebih untuk seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia, tetapi perjanjian Merdeka dan Malaysia menetapkan bahawa mana-mana rakyat Malaysia boleh bercita-cita untuk menjawat jawatan politik tertinggi di negara ini, walau apa pun bentuk realiti politiknya.
Kita mesti kembali ke barisan hadapan supaya rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu, sebelum identiti lain mereka, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban.
Selama setengah abad, kita telah mengalami kemerosotan, ditewaskan oleh negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam.
Kita mesti berada di barisan hadapan dengan kepercayaan bahawa Malaysia akan bangkit dan tidak lagi menjadi negara biasa-biasa, jika tidak negara seperti Indonesia dan Filipina akan mengatasi kita dalam dekad yang akan datang.
Kita perlu memahami kepentingan Memorandum Persefahaman (MoU) keyakinan-pembekalan-pembaharuan (CSR) yang ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan empat pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September 2021.
Pengkritik telah menuduh pemimpin Pakatan Harapan tidak lagi menjadi pemimpin Pembangkang, bahawa mereka telah diserap ke dalam kerajaan, sambil membangkitkan bahawa tidak wujud sebarang MoU CSR sejak setengah abad yang lalu.
Mereka gagal menyedari bahawa keputusan bersejarah Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menamatkan hegemoni politik UMNO lah yang telah mewujudkan situasi di mana MOU CSR diperlukan.
Ini kerana Ismail Sabri adalah Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara sehingga mewujudkan situasi di mana MoU CSR amat diperlukan oleh kerajaan.
Enam peristiwa yang membolehkan MoU CSR itu wujud dan diperlukan:
- Berakhirnya hegemoni politik UMNO pada 9 Mei 2018 dan tidak ada mana-mana parti yang mempunyai majoriti mudah di Parlimen, wujudlah satu situasi di mana MOU CSR ini diperlukan. MOU ini merupakan satu perkara yang tidak pernah didengari sebelum ini dalam enam dekad sejarah negara kerana hegemoni politik UMNO.
- MOU ini tidak membantu memajukan kerjaya politik mana-mana pemimpin PH dan MOU CSR ini sendiri adalah satu dokumen terbuka tanpa sebarang klausa rahsia. Sebarang dakwaan yang mengatakan MOU CSR ini mempunyai klausa rahsia adalah tuduhan tidak berasas dan mendedahkan mana-mana orang yang membuat pertuduhan seperti itu kepada tuduhan sebagai seorang penipu yang tidak menghormati kebenaran.
- Kita berjaya menghentikan angka-angka Ahli Parlimen PH di Parlimen daripada digunakan dalam “Perebutan Kuasa” parti-parti kerajaan untuk menjadi Perdana Menteri kerana tidak kiralah apa pun kombinasinya, PN atau BN tidak akan sama sekali menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
- MOU CSR ini adalah usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia untuk menghentikan peningkatan mendadak jangkitan dan kematian akibat Covid-19. Terdapat 24,599 kes dan 393 kematian pada 26 Ogos 2021, lima hari selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Sekiranya trend ini berterusan, kita mungkin akan mencapai sejumlah lima ke 10 juta kes Covid-19 terkumpul dan 100,000 – 200,000 kematian akibat Covid-19 menjelang 31 Disember, dan bukannya 2.75 juta kes dan 31,500 kematian yang dicatatkan.
- Pakatan Harapan mengesa kerajaan PN memperuntukkan RM45 bilion untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
- Konsensus politik yang minimum untuk permulaan reformasi institusi di negara ini.
Tetapi kita tidak boleh menjadi hamba MoU CSR. Jika Ismail Sabri melanggar perjanjian itu, maka pemimpin Pakatan Harapan mesti menyemak semula MoU CSR itu.
Penting juga untuk rakyat Malaysia sedar bahawa kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan bukanlah suatu kegagalan atau bencana yang tidak dapat dielakkan.
Terdapat sebab yang sah untuk berasa tidak berpuas hati dengan kelajuan pelaksanaan reformasi institusi atau kelajuan pelaksanaan ikrar pilihan raya, kerana saya sendiri tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan kerana saya percaya ia boleh dilakukan dengan lebih baik.
Tetapi adalah mustahil bagi mana-mana kerajaan untuk memenuhi manifesto pilihan raya dalam tempoh lima tahun atau 60 bulan atau dalam 22 bulan kerana kerajaan PH telah digulingkan dengan cara yang tidak demokratik, tidak berperlembagaan dan tidak sah oleh konspirasi Langkah Sheraton.
Saya bertemu Mahathir pada pertengahan 2019 dan menyatakan kebimbangan saya tentang kelajuan dalam memenuhi manifesto pilihan raya PH. Saya berhasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri selepas tempoh setengah penggal kerajaan PH, namun kerajaan PH telah ditumbangkan terlebih dahulu hanya selepas 22 bulan.
Mandat PH untuk memenuhi janji-janji manifesto ini adalah lima tahun. Sekiranya dalam setengah penggal yang pertama, pelaksanaan janji-janji ini perlahan, untuk apa-apa sebab sekalipun, perkara ini boleh ditambah baik dalam setengah penggal kedua dengan mempercepatkan pelaksanaannya. Tetapi perkara ini kini mustahil selepas kerajaan PH ditumbangkan selepas 22 bulan mentadbir.