Azam Baki boleh dipenjarakan kerana menghina Parlimen sekiranya beliau ingkar sapina Parlimen untuk hadir memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 19 Januari ini untuk membersihkan pertuduhan konflik kepentingan yang dihadapinya
Saya mengesyorkan agar semua Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia membaca empat buku yang diterbitkan baru-baru ini:
- What’s In A Name – Nazir Razak
- Capturing Hope – Mahathir Mohamad
- Final Reckoning – Romen Bose
- Paradise Lost – Dennis Ignatius
Mantan Peguam Negara – yang menulis buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang juga harus dibaca – semalam menulis ulasan buku tentang apa yang disifatkannya sebagai "pendedahan mengemparkan oleh pengampu Najib", berkata buku oleh Romen Bose itu, yang disifatkannya sebagai "pakar propaganda" Najib tidak boleh diketepikan begitu sahaja, "terutamanya kerana pengarang, tanpa disedari atau sebaliknya, mendedahkan banyak rahsia negara dan politik dan kemungkinan perbuatan jenayah", yang mana antaranya telah menjadi buah mulut orang ramai.
Saya ingin memulakan dengan petikan daripada buku Dennis Ignatius "Paradise Lost" (walaupun saya tidak bersetuju bahawa Tanah Melayu pada tahun 1957 dan Malaysia pada tahun 1963 adalah “syurga” seperti yang dimaksudkan buku tersebut):
“Melihat banyak peristiwa yang tersingkap dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dapat difahami jika masa depan negara tampak suram. Ramai yang sangat meluat dan kecewa sehinggakan mereka tidak mahu ada kaitan lagi dengan politik kerana mereka telah membuat kesimpulan bahawa sistem itu tidak dapat dibaiki, tiada apa yang akan berubah tidak kira siapa yang mereka undi. Tidak sedikit yang mencadangkan kepada saya bahawa negara kita kini berada di ambang keruntuhan yang tidak mampu untuk diselamatkan; ada juga yang berkira-kira untuk meninggalkan negara ini. Berkali-kali, semasa saya mengajukan soalan kepada orang ramai tentang soal masa depan negara dalam pelbagai perhimpunan sosial dan mesyuarat, majoriti daripada mereka menggelengkan kepala mereka, menunjukkan rasa putus. Tidak sukar untuk memahami rasa putus asa yang dialami mereka.
"Tetapi masa lalu kita tidak semestinya akan mencorakkan masa depan kita. Kitalah yang mencorakkan masa depan, ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh diubah. Ia akan ditentukan oleh pilihan yang kita buat dan keputusan yang kita ambil pada masa hadapan. Semua itu mampu untuk dilaksanakan; PRU14 membuktikannya. Melihat ke hadapan, saya melihat adanya harapan dan kekecewaan. Bagaimana ini akhirnya akan tersingkap, saya fikir, akan menentukan rupa masa depan kita." (hlm.298)
Izinkan saya memetik satu lagi petikan, kali ini daripada buku Nazir Razak:
“Ketika kami masih muda, saya dan abang-abang saya pernah datang ke pejabat ayah saya dengan permintaan: kami memintanya membina kolam renang di kawasan Seri Taman. Abang sulung saya Najib adalah ketuanya, mengumpulkan kami yang lain untuk menyakinkan tentang perkara itu, berdiri di hadapan meja ayah saya di bilik kerjanya. Ayah saya mendengar cadangan kami dengan teliti dan kemudian dengan tenang menolaknya. ‘Bagaimana rupanya,’ dia bertanya sambil mengangkat kening, ‘jika Perdana Menteri membelanjakan wang awam untuk membina kolam renang untuk keluarganya?” (hlm.51)
Daripada kolam renang kepada 1MDB “kleptokrasi yang paling teruk”, Malaysia telah kehilangan arah untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, atau menggunakan kata-kata Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman, “syurga keamanan, keharmonian dan kebahagiaan” dan “suar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Malaysia memerlukan penetapan semula untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia dan tidak ada sebab mengapa kita tidak dapat mencapai wawasan ini kerana Malaysia berada pada pertemuan empat tamadun besar – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat – dan kita boleh mencapai matlamat ini dengan memanfaatkan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun besar ini.
Tiada apa-apa yang dapat menggambarkan dengan lebih baik bahawa Malaysia telah kehilangan arah apabila keturunan dari tamadun hebat yang telah wujud sejak 6,000 tahun dahulu boleh memanggil penjenayah rasuah yang telah disabitkan bersalah sebagai "kebanggaan negara" Malaysia!
Jika rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, tidak dapat membezakan antara yang betul dan yang salah, ia bukan sahaja menjadi kegagalan sistem pendidikan negara dan pembinaan negara sejak setengah abad yang lalu, lebih teruk lagi – gelap masa depan Malaysia.
Saya tidak fikir begitu. Tiga ujian hebat yang dialami Malaysia baru-baru ini – pandemik Covid-19 yang berlarutan selama dua tahun, bencana banjir besar yang jarang sekali berlaku dan krisis keyakinan terburuk agensi antirasuah negara, SPRM – menunjukkan bahawa rakyat Malaysia boleh membezakan antara perkara betul dan salah dan masa depan Malaysia sebenarnya cerah.
DAP sejak setengah abad yang lalu telah berada di barisan hadapan untuk menuntut pembaharuan bagi mewujudkan rakyat yang bersatu padu dan inklusif, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah; akhbar yang bebas, badan kehakiman yang bebas, Parlimen yang bertenaga, perkhidmatan awam yang cekap dan pasukan polis yang bertanggungjawab.
Kita sekali lagi mesti berada di barisan hadapan untuk menggerakkan rakyat Malaysia untuk menerajui penetapan semula dasar negara dalam setengah abad akan datang untuk membawa pembaharuan institusi sedemikian supaya Malaysia boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Saya pada dasarnya bukanlah orang yang sering muncul dan dianggap penting dalam media arus perdana, tetapi semua itu berubah selepas 2018. Namun selepas peristiwa Langkah Sheraton pada 2020, saya kembali dipinggirkan media arus perdana.
Kita tidak boleh berputus asa. Kita telah mengharungi pelbagai halangan yang besar tetapi kita juga sempat mengecapi kemajuan yang besar.
Negara berada dalam krisis yang mendalam dan akibatnya DAP menghadapi krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Untuk mengatasi kemelut ini, parti mesti melakukan lima perkara.
Pertama, kita mesti kembali ke barisan hadapan untuk meneruskan misi nasional kita dan berada di barisan hadapan untuk perubahan institusi di Malaysia.
Malaysia hanya boleh wujud sebagai negara berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya dan bukan sebagai negara yang hanya dimiliki oleh orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak atau sebagai negara hanya untuk orang Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh atau Tao.
Ini adalah perjanjian Merdeka dan Malaysia.
Itulah sebabnya terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia bahawa mana-mana rakyat Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia, dan jawatan itu bukan semata-mata untuk orang Melayu atau Islam.
Sudah tentu realiti politik masih tidak membenarkannya, malah di Amerika Syarikat, negara tersebut telah mengambil masa lebih dari 200 tahun untuk melantik seorang lelaki kulit hitam menjadi Presiden Amerika Syarikat dan seorang wanita etnik India untuk menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat.
Saya tidak pasti sama ada negara ini akan mengambil masa 200 tahun atau lebih untuk seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia, tetapi perjanjian Merdeka dan Malaysia menetapkan bahawa mana-mana rakyat Malaysia boleh bercita-cita untuk menjawat jawatan politik tertinggi di negara ini, walau apa pun bentuk realiti politiknya.
Kita mesti kembali ke barisan hadapan supaya rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu, sebelum identiti lain mereka, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban.
Selama setengah abad, kita telah mengalami kemerosotan, ditewaskan oleh negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam.
Kita mesti berada di barisan hadapan dengan kepercayaan bahawa Malaysia akan bangkit dan tidak lagi menjadi negara biasa-biasa, jika tidak negara seperti Indonesia dan Filipina akan mengatasi kita dalam dekad yang akan datang.
Kedua, kita mesti menyedarkan rakyat Malaysia betapa pentingnya sejarah Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018 apabila kita berjaya menamatkan hegemoni politik UMNO.
Kini kebanyakan orang berfikiran bahawa mereka menjadi lebih bijak selepas peristiwa itu dan mendakwa mereka telah menjangkakan keputusan pilihan raya umum ke-14.
Jika anda bertanya kepada saya pada pagi 9 Mei 2018, saya akan katakan yang saya tidak pernah menyangka UMNO akan ditumbangkan pada hari itu.
Menurut kenyataan orang dalam Roman Bose yang dinukilkan dalam bukunya, Najib Razak menjangkakan kejayaan UMNO untuk mendapatkan semula majoriti dua pertiga parlimen sehingga tamat hari pengundian pada 9 Mei 2018.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 menghasilkan senario politik baharu – yang masih sedang cuba mencari titik keseimbangan politik baharu di mana suara rakyat diberikan kepentingan dalam membentuk masa hadapan negara – yang telah menyaksikan empat orang Perdana Menteri bersilih ganti dalam tempoh lima tahun.
Pengajarannya untuk rakyat Malaysia adalah untuk menyedari yang perjuangan politik untuk menjadikan Malaysia negara hebat bertaraf dunia ini adalah satu perjuangan jangka panjang yang penuh dengan cabaran dan memerlukan kecekalan.
Kita mengambil masa selama setengah abad untuk memecahkan hegemoni politik UMNO.
Adakah kita memerlukan setengah abad lagi sebelum Ulang Tahun Malaysia yang ke-100 pada 2063 untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia?
Ketiga, kita mesti menerangkan kepada rakyat Malaysia supaya mereka memahami akan kepentingan Memorandum Persefahaman (MoU) keyakinan-pembekalan-pembaharuan (CSR) yang ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan empat pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September 2021.
Pengkritik telah menuduh pemimpin Pakatan Harapan tidak lagi menjadi pemimpin Pembangkang, bahawa mereka telah diserap ke dalam kerajaan, sambil membangkitkan bahawa tidak wujud sebarang MoU CSR sejak setengah abad yang lalu.
Mereka gagal menyedari bahawa keputusan bersejarah Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menamatkan hegemoni politik UMNO lah yang telah mewujudkan situasi di mana MOU CSR diperlukan.
Ini kerana Ismail Sabri adalah Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara sehingga mewujudkan situasi di mana MoU CSR amat diperlukan oleh kerajaan.
Enam peristiwa yang membolehkan MoU CSR itu wujud dan diperlukan:
- Berakhirnya hegemoni politik UMNO pada 9 Mei 2018 dan tidak ada mana-mana parti yang mempunyai majoriti mudah di Parlimen, wujudlah satu situasi di mana MOU CSR ini diperlukan. MOU ini merupakan satu perkara yang tidak pernah didengari sebelum ini dalam enam dekad sejarah negara kerana hegemoni politik UMNO.
- MOU ini tidak membantu memajukan kerjaya politik mana-mana pemimpin PH dan MOU CSR ini sendiri adalah satu dokumen terbuka tanpa sebarang klausa rahsia. Sebarang dakwaan yang mengatakan MOU CSR ini mempunyai klausa rahsia adalah tuduhan tidak berasas dan mendedahkan mana-mana orang yang membuat pertuduhan seperti itu kepada tuduhan sebagai seorang penipu yang tidak menghormati kebenaran.
- Kita berjaya menghentikan angka-angka Ahli Parlimen PH di Parlimen daripada digunakan dalam “Perebutan Kuasa” parti-parti kerajaan untuk menjadi Perdana Menteri kerana tidak kiralah apa pun kombinasinya, PN atau BN tidak akan sama sekali menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
- MOU CSR ini adalah usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia untuk menghentikan peningkatan mendadak jangkitan dan kematian akibat Covid-19. Terdapat 24,599 kes dan 393 kematian pada 26 Ogos 2021, lima hari selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Sekiranya trend ini berterusan, kita mungkin akan mencapai sejumlah lima ke 10 juta kes Covid-19 terkumpul dan 100,000 – 200,000 kematian akibat Covid-19 menjelang 31 Disember, dan bukannya 2.75 juta kes dan 31,500 kematian yang dicatatkan.
- Pakatan Harapan mengesa kerajaan PN memperuntukkan RM45 bilion untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
- Konsensus politik yang minimum untuk permulaan reformasi institusi di negara ini.
Tetapi kita tidak boleh menjadi hamba MoU CSR. Jika Ismail Sabri melanggar perjanjian itu, maka pemimpin Pakatan Harapan mesti menyemak semula MoU CSR itu.
Keempat, untuk menyedarkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan bukanlah suatu kegagalan atau bencana yang tidak dapat dielakkan.
Terdapat sebab yang sah untuk berasa tidak berpuas hati dengan kelajuan pelaksanaan reformasi institusi atau kelajuan pelaksanaan ikrar pilihan raya, kerana saya sendiri tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan kerana saya percaya ia boleh dilakukan dengan lebih baik.
Tetapi adalah mustahil bagi mana-mana kerajaan untuk memenuhi manifesto pilihan raya dalam tempoh lima tahun atau 60 bulan atau dalam 22 bulan kerana kerajaan PH telah digulingkan dengan cara yang tidak demokratik, tidak berperlembagaan dan tidak sah oleh konspirasi Langkah Sheraton.
Saya bertemu Mahathir pada pertengahan 2019 dan menyatakan kebimbangan saya tentang kelajuan dalam memenuhi manifesto pilihan raya PH. Saya berhasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri selepas tempoh setengah penggal kerajaan PH, namun kerajaan PH telah ditumbangkan terlebih dahulu hanya selepas 22 bulan.
Mandat PH untuk memenuhi janji-janji manifesto ini adalah lima tahun. Sekiranya dalam setengah penggal yang pertama, pelaksanaan janji-janji ini perlahan, untuk apa-apa sebab sekalipun, perkara ini boleh ditambah baik dalam setengah penggal kedua dengan mempercepatkan pelaksanaannya. Tetapi perkara ini kini mustahil akibat konspirasi Langkah Sheraton.
Kelima, kita mesti mengambil langkah yang lebih berkesan untuk menepis serta menjawab pembohongan dan kepalsuan, maklumat salah dan penipuan bahawa DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam yang kini disertai dengan pembohongan bahawa DAP kononnya telah mengkhianati hak dan kepentingan kaum Cina.
Kita mesti pada setiap masa perlulah melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu, sebelum identiti lain, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia – walaupun kita perlu mengambil masa setengah abad lagi untuk Malaysia berhenti untuk sekadar menjadi negara biasa-biasa sahaja.