Perjuangan untuk Malaysia yang Baharu dan Lebih Baik ini adalah perjuangan yang belum selesai dan rakyat Malaysia perlu memilih sama ada untuk memperkukuhkan komitmen terhadap perjuangan ini atau menyerahkan nasib negara kepada golongan pelampau perkauman dan keagamaan dan juga kleptokrat

Seorang wakil rakyat yang sedang menjalankan program pengajian di peringkat sarjana di sebuah universiti tempatan bertanya kepada saya semalam mengenai pendapat saya terhadap Dasar Ekonomi Baharu.

Saya pertama kali bercakap mengenai Dasar Ekonomi Baharu dalam ucapan saya di Parlimen, 51 tahun yang lepas pada bulan Februari 1971, di mana saya mengisytiharkan yang DAP menyokong dasar afirmatif untuk membantu golongan miskin, tetapi dasar ini mestilah diasaskan kepada keperluan dan bukannya kaum.

Saya mengatakan yang DAP berdedikasi terhadap “penghapusan kemiskinan dan kemunduran ekonomi tanpa mengira kaum” dan kami mahu mencipta “sebuah masyarakat Malaysia tanpa perbezaan kelas yang diasaskan kepada prinsip setiakawan, kerjasama, dan khidmat untuk semua, di mana tidak ada eksploitasi sesama manusia, di antara kelas ekonomi, atau di antara kaum”.

Saya mengatakan yang DAP menyokong apa-apa tindakan yang akan meningkatkan taraf hidup orang miskin Melayu, tetapi kami membantah keras penggunaan DEB sebagai cara untuk mengayakan lagi golongan Melayu yang sudah memang kaya dan berkuasa, sedangkan yang miskin terus dieksploitasi.

Saya wujudkan perkataan “UMNO-Putra” dalam tahun lapan-puluhan, untuk menggambarkan penyalahgunaan DEB untuk memberikan manfaat kepada golongan yang kaya dan berkuasa dalam kalangan orang Melayu dengan mengorbankan kepentingan golongan Melayu miskin, dan dengan mengabaikan orang bukan-Melayu yang miskin.

Kita kini dapat menilai hasil DEB ini selepas setengah abad. Walaupun pada mulanya diniatkan untuk hanya 20 tahun, dasar ini yang menjadi kunci kekayaan kepada golongan UMNO-Putra ini terbukti mustahil untuk ditamatkan dan berlanjutan selama setengah abad.

Marilah kita biarkan para pengkaji sejarah dan ahli sosiologi di masa hadapan untuk mengkaji sama ada wujud sebarang hubungan di antara DEB dengan, pertamanya, kemunduran negara ke kancah polarisasi perkauman dan keagamaan yang melampau dalam abad ke-21 dan keduanya, kemunduran negara menjadi sebuah kleptokrasi. Tetapi hakikat di mana kita ketinggalan di belakang negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam dalam setengah abad yang lepas adalah satu perkara yang tidak dapat disangkal.

Pada kadar sedia ada, kita mungkin akan diatasi oleh negara seperti Indonesia dan Filipina dalam dekad yang akan datang dari segi daya saing antarabangsa, kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa, tadbir urus yang baik, dan mempunyai kerajaan yang berkesan dan efisien sekiranya kita tidak berubah.

Prestasi buruk negara kita dalam dua tahun yang lepas dalam mengendalikan wabak Covid-19 ini sepatutnya menjadi seruan bangkitan untuk kita semua.

Dalam empat bulan yang lepas, kita telah kalah dengan Indonesia dari segi jumlah kes harian dan kematian akibat Covid-19, walaupun Indonesia mempunyai lapan kali ganda lebih ramai penduduk berbanding dengan Malaysia.

Selama empat bulan, Indonesia mencatatkan kes harian dalam julat tiga angka dan sejak 22 Disember, mencatatkan 10 atau kurang lagi kematian akibat Covid-19 sedangkan kita terus bergelut dalam bulan-bulan yang lepas dengan antara 2,500 ke 4,500 kes dan tidak pernah sekali pun mencatatkan kematian dalam julat satu angka.

Saya berterima kasih kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana menjadi tetamu khas program ini, dan juga atas kehadiran ramai lagi rakyat Malaysia, termasuklah mantan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, dan juga Ahli-ahli Parlimen DAP dan Pakatan Harapan ke program ini.

Syed Saddiq dan Musa mengingatkan saya kepada hari-hari muda saya pada tahun enam-puluhan semasa saya bermula dengan kerja-kerja politik. Saya menjadi seorang Ahli Parlimen semasa saya berusia 28 tahun, tetapi Syed Saddiq lebih bernasib baik – beliau menjadi seorang Menteri semasa berusia 26 tahun.

Syed Saddiq ada bersama dengan Liew Chin Tong – yang juga hadir hari ini – dan saya semasa saya berjumpa dengan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, pada pertengahan tahun 2019, untuk menyampaikan kebimbangan saya mengenai pelaksanaan manifesto pilihan raya oleh kerajaan Pakatan Harapan, di mana Mahathir telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa semakan pelaksanaan manifesto.

Saya sedar terdapat banyak kekecewaan dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan dan saya sendiri pun kecewa dengan prestasinya kerana saya percaya yang kerajaan PH boleh melakukan dengan lebih baik lagi.

Namun, tidak adil untuk kita adili kerajaan Pakatan Harapan – yang kemudiannya ditumbangkan oleh konspirasi Langkah Sheraton dengan cara yang tidak sah dan tidak demokratik – dengan prestasi 22 bulan semata-mata sedangkan kerajaan ini diberikan mandat selama lima tahun untuk memenuhi janji-janji pilihan rayanya.

Pakatan Harapan perlu dinilai sama ada gagal atau tidak selepas lima tahun, bukannya selepas 22 bulan di mana ia merupakan sebuah kerajaan baharu yang masih sedang mencuba mencari arah selepas setengah abad negara di bawah kerajaan hegemoni UMNO.

Namun, lebih tidak adil untuk menuduh kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan dan DAP sebagai telah mengkhianati prinsip dan objektif kami sedangkan perkara ini hanya satu momokan politik yang tidak berasaskan kepada fakta langsung.

Memandangkan kerajaan Pakatan Harapan mempunyai 60 bulan untuk melaksanakan manifesto pilihan rayanya, saya bercadang untuk berjumpa dengan Perdana Menteri untuk berbincang mengenai perkara ini di pertengahan penggal kerajaan, namun malangnya, kerajaan Pakatan Harapan tidak dapat kekal selama setengah penggal pun apabila ia ditumbangkan oleh konspirasi Langkah Sheraton.

Sekiranya dalam setengah penggal pertama, kerajaan Pakatan Harapan ini telah perlahan dalam melaksanakan janji-janji pilihan rayanya kerana terdapat banyak kerja-kerja persediaan yang diperlukan, – memandangkan terdapat banyak sekatan dan bantahan, malah sabotaj dari sesetengah pihak – pelaksanaan manifesto ini boleh dipercepatkan dalam setengah kedua penggal lima tahun kerajaan PH. Tetapi perkara ini kini mustahil kerana kerajaan PH telah ditumbangkan.

Perjuangan untuk Malaysia yang Baharu dan Lebih Baik ini adalah perjuangan yang belum selesai dan rakyat Malaysia perlu memilih sama ada untuk memperkukuhkan komitmen terhadap perjuangan ini atau menyerahkan nasib negara kepada golongan pelampau perkauman dan keagamaan dan juga kleptokrat.

Baru-baru ini, seorang ahli politik ada mengatakan yang orang Melayu terpecah kepada tiga parti Melayu – UMNO, PAS, dan Bersatu – dan bahawa inilah masanya untuk orang Cina di Malaysia untuk menjadi “kingmaker”.

Saya tidak percaya dengan pemikiran bersifat perkauman seperti itu, apa yang kita mahukan adalah untuk menghidupkan semula harapan dan visi untuk sebuah Malaysia yang baharu dan lebih baik, dengan membuka perspektif rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, untuk “Utamakan Malaysia” dan bukannya berfikir mengenai permainan politik sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban.

Kita mahu lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, untuk muncul ke hadapan sebagai mendahulukan identiti Malaysia, untuk berjuang demi idea dan visi Malaysia baharu yang lebih untuk semua rakyat Malaysia dan bukannya meneruskan politik perkauman.

Kita tidak boleh berputus asa dan berputus harap selepas kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan selepas 22 bulan, sebaliknya kita perlu komited semula kepada tugas yang belum selesai untuk membina sebuah Malaysia Baharu yang lebih baik untuk anak-anak kita dan anak-anak kepada anak kita – untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sebelum ulang tahun negara ke-100 pada tahun 2063.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri