Menjadi satu perkara yang memalukan negara untuk Parlimen hanya bersidang pada hari Khamis depan dalam satu sidang khas sedangkan kerajaan enggan untuk bertanggungjawab atas sikap tidak peduli dan respons yang lambat semasa kemuncak bencana banjir bulan lepas sedangkan Parlimen sedang bersidang semasa itu dan kini pula kerajaan enggan untuk bertanggungjawab dengan perkara memalukan dalam agensi pencegahan rasuah negara
Tidak ada tanda-tanda yang Perdana Menteri, Ismail Sabri, akan menyelamatkan reputasi kepimpinannya daripada menjadi sebuah kakistokrasi dengan mendapatkan persetujuan Kabinet esok untuk memanggil sidang khas Parlimen minggu hadapan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dalam program anti-rasuah kerajaan dan untuk membahaskan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPK) Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mengenai isu konflik kepentingan Azam Baki.
Menjadi satu perkara yang memalukan negara untuk Parlimen hanya bersidang pada hari Khamis depan dalam satu sidang khas sedangkan kerajaan enggan untuk bertanggungjawab atas sikap tidak peduli dan respons yang lambat semasa kemuncak bencana banjir bulan lepas sedangkan Parlimen sedang bersidang semasa itu dan kini pula kerajaan enggan untuk bertanggungjawab dengan perkara memalukan dalam agensi pencegahan rasuah negara.
Sidang Khas Parlimen Khamis hadapan tidak akan dapat menebus kelalaian teruk kerajaan pada bulan lepas dalam bertanggungjawab dengan sikap tidak peduli dan respons yang lambat semasa kemuncak bencana banjir “sekali dalam seabad” yang melanda negara, di mana mangsa banjir terpaksa menunggu di atas bumbung rumah untuk diselamatkan di lapan negeri, yang sehingga kini telah mengorbankan 54 nyawa dengan dua lagi yang masih hilang dan mengesankan 125,000 rakyat.
Kini, kerajaan memburukkan lagi keadaan dan membuktikan yang ia sedang menjunam ke arah menjadi sebuah kakistokrasi apabila kerajaan enggan untuk bertanggungjawab kepada Parlimen mengenai “skandal memalukan sekali dalam seabad” yang sedang berlaku dalam agensi anti-rasuah.
Adakah Malaysia akan menjadi negara yang mempunyai sebegitu banyak perkara yang memalukan dan nama negara kita akan terus diburukkan lagi?
Setakat ini, kita sudah malu dengan dua perkara – menjadi sebuah kleptokrasi dan mempunyai seorang penjenayah yang tersabit bersalah merasmikan persidangan antarabangsa.
Adakah kita akan dimalukan lagi dengan perkara-perkara seperti berikut:
- Penjenayah tersabit kesalahan rasuah muncul sebagai hero pencegahan rasuah negara dan dianggap sebagai “Kebanggaan Negara”;
- Negara kembali menjadi kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-15;
- Penjenayah yang tersabit kesalahan rasuah menjadi Perdana Menteri ke-10;
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kehilangan semua kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam usaha pencegahan rasuahnya;
- Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) yang terburuk untuk Malaysia.
Rakyat yang patriotik pastinya akan risau dengan masa hadapan negara.