Memandangkan SPRM berdepan krisis keyakinan terburuk dalam sejarah 55 tahun agensi anti-rasuah, Ismail Sabri perlu melanjutkan sesi Parlimen khas kepada dua hari dengan hari kedua dikhususkan untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap program pencegahan rasuah oleh kerajaan

Perdana Menteri, Ismail Sabri, mahu mengadakan sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Januari ini bagi membahaskan isu bencana banjir yang melanda pelbagai kawasan di Malaysia.

Adalah memalukan apabila kerajaan tidak bersedia untuk mengadakan mesyuarat khas mengenai banjir semasa bencana itu melanda negara pada tahap yang paling buruk ketika Parlimen masih bersidang sebelum ini.

Ketika ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menghadapi krisis keyakinan yang paling teruk dalam sejarah 55 tahun agensi anti-rasuah negara (yang bermula pada 1967 sebagai Badan Pencegah Rasuah di bawah pengarah pertamanya Harun Hashim) .

Ismail Sabri sepatutnya melanjutkan sesi mesyuarat khas Parlimen kepada dua hari, dengan hari kedua pada 21 Januari dikhususkan untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap usaha pencegahan rasuah oleh kerajaan.

Selepas itu, barulah Parlimen Malaysia dan Perdana Menteri boleh dikatakan telah berjaya menangani isu-isu besar yang dihadapi negara.

Mantan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM telah mengesahkan kenyataan saya semalam bahawa Lembaga Pengarah telah bertindak ultra vires dalam membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada dakwaan konflik kepentingan kerana Lembaga Pengarah tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Seksyen 13 Akta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mantan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM itu berkata:

"Semasa saya menjadi pengerusi, saya sedar hakikat bahawa saya diletakkan dalam kapasiti menasihat semata-mata. Perkara dilakukan atas dasar hal yang perlu diketahui saja, jadi isu di luar skop kami benar-benar di luar jangkauan kami.”

Beliau berkata, peranan lembaga penasihat itu adalah untuk menasihati suruhanjaya itu mengenai sebarang aspek masalah rasuah di Malaysia dan dasar serta strategi suruhanjaya itu dalam usaha membanteras rasuah, seperti yang termaktub di bawah Akta SPRM 2009.

Lembaga itu juga diamanahkan, antara lain untuk meneliti dan mengesahkan cadangan daripada suruhanjaya supaya ia menjadi cekap dan berkesan.

Adalah melucukan untuk mengatakan bahawa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM sekurang-kurangnya telah membersihkan Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada dakwaan konflik kepentingan sedangkan badan itu tidak diberi kuasa di bawah undang-undang untuk berbuat demikian.

Tambahan pula, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM telah membersihkan nama Azam dengan cara yang begitu menakjubkan – tanpa sebarang siasatan yang sewajarnya atau memanggil individu yang berkenaan untuk memberi keterangan, sebaliknya bergantung sepenuhnya terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya tersebut!

Mantan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM itu mengeluarkan kenyataan paling tajam:

"Semuanya adalah gurauan. Anda panggil mereka ini pesuruhjaya, tetapi mereka hanya pegawai kerajaan. Pesuruhjaya sepatutnya menjadi lembaga pesuruhjaya, yang sepatutnya menjadi badan pentadbir, tetapi ia tidak pernah wujud,"

Terdapat krisis keyakinan berganda - krisis keyakinan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dan satu lagi krisis keyakinan terhadap kebergunaan dan nilai lima jawatankuasa yang dianggap "bebas" yang memantau integriti dan prestasi SPRM.

Krisis keyakinan berganda terhadap program pencegahan rasuah kerajaan ini wajar ditangani dan diselesaikan pada hari kedua mesyuarat khas Parlimen, sebaik-baiknya pada 21 Januari 2022.

Saya terkejut apabila PAS bertindak membela Azam Baki, dengan mengatakan bahawa penjelasan yang diberikan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dalam satu sidang media baru-baru ini sudah memadai untuk menutup isu tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri adalah Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Abdul Latiff bin Abdul Rahman.

Adakah arahan daripada PAS yang menjadi punca Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri tidak bermesyuarat atau memanggil Azam Baki untuk menghadap SSC bagi membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri