Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM bertindak secara ultra vires dalam membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada dakwaan konflik kepentingan sedangkan badan itu tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak secara ultra vires dalam membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada dakwaan konflik kepentingan sedangkan Lembaga Pengarah tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Seksyen 13 Akta SPRM 2009 menetapkan enam fungsi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM dan tiada satu pun daripadanya memberi kuasa untuk membersihkan Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada dakwaan konflik kepentingan.

Enam fungsi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM ketika itu ialah:

  1. Untuk menasihati Suruhanjaya tentang apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia;
  2. Untuk menasihati Suruhanjaya tentang dasar dan strategi Suruhanjaya dalam usahanya untuk membanteras rasuah;
  3. Untuk menerima, meneliti dan menyokong cadangan daripada Suruhanjaya ke arah perjalanan cekap dan berkesan Suruhanjaya;
  4. Untuk meneliti dan menyokong keperluan sumber Suruhanjaya untuk memastikan keberkesanannya;
  5. Untuk meneliti laporan tahunan Suruhanjaya sebelum dikemukakan kepada Jawantankuasa Khas Mengenai Rasuah; dan
  6. Untuk mengemukakan ulasannya tentang perjalanan oleh Suruhanjaya sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah.

Pengakuan tidak bersalah Azam bukanlah jawapan kepada dakwaan konflik kepentingan yang telah dibuat secara terbuka terhadapnya lebih dua bulan lalu.

Perlu ada mekanisme penyiasatan yang betul dan memuaskan mengenai dakwaan konflik kepentingan sebelum Azam dibersihkan daripada dakwaan tersebut.

Azam silap apabila mendakwa bahawa beliau hanya bertanggungjawab kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM kerana beliau akhirnya bertanggungjawab juga kepada rakyat Malaysia melalui Parlimen dan perantara lain atas integriti dan prestasinya.

Sedih melihat SPRM terpaksa menempuh krisis keyakinan yang paling teruk hari ini, malah lebih teruk berbanding zaman 1MDB apabila Malaysia bertukar menjadi kleptokrasi.

Azam harus bercuti dan menyerahkan dirinya kepada siasatan penuh oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, di mana Azam, adiknya, pihak yang terkait dalam dakwaan konflik kepentingan Azam diberi peluang sepenuhnya untuk membela diri mereka.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri