Mengapakah Azam tidak bersedia untuk mengatakan yang beliau bersedia untuk hadir memberikan kenyataan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membersihkan nama beliau daripada pertuduhan konflik kepentingan yang mula timbul sejak dua bulan yang lepas

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah memberitahu Lembaga Pengarah pada 24 November bahawa akaun dagangannya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada tahun 2015.

Abu Zahar berkata Lembaga Pengarah berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Mengapakah Azam tidak bersedia untuk mengatakan yang beliau bersedia untuk hadir memberikan kenyataan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membersihkan nama beliau daripada pertuduhan konflik kepentingan yang mula timbul sejak dua bulan yang lepas.

Tambahan pula, adakah adiknya bersedia untuk hadir memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen?

Pastinya pengesahan mengenai ketiadaan sebarang konflik kepentingan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah lebih berkredibiliti dan bernilai daripada keputusan sebuah jawatankuasa SPRM sendiri.

Selain itu, SPRM perlu memohon maaf kepada profesion perubatan kerana telah menyiarkan iklan mengenai doktor yang korup pada suatu masa di mana SPRM sendiri berhadapan dengan persoalan yang serius tentang integritinya sendiri.

Video kesedaran ‘anti rasuah’ yang disiarkan SPRM di Twitter menggambarkan contoh bagaimana rasuah boleh berlaku di klinik untuk mendapatkan sijil perubatan (MC).

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai betul dalam kritikannya terhadap video yang dikatakan sebagai "penghinaan terhadap kemurnian dan imej profesion perubatan".

Mengapa SPRM tidak mengeluarkan video yang menggambarkan rasuah dalam kalangan Menteri atau Ahli Parlimen?

Saya secara amnya kecewa dengan sidang media "dedah segalanya" SPRM hari ini, kerana ia telah meninggalkan banyak persoalan yang tidak terjawab.

Saya telah berkata bahawa rakyat Malaysia dan dunia bimbang Malaysia akan kembali menjadi kleptokrasi dan saya telah meminta sidang media SPRM untuk memberitahu rakyat Malaysia apa yang SPRM lakukan untuk menghalang Malaysia mundur sebagai kleptokrasi dan apa jangkaan SPRM mengenai Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2021 untuk Malaysia, yang dijangkakan diterbitkan lewat bulan ini.

Semalam, seorang pegawai penguat kuasa kanan SPRM didakwa di mahkamah atas kesalahan penyelewengan RM25 juta wang tunai yang merupakan bukti yang berkaitan dengan kes rasuah besar.

Terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada pegawai kanan SPRM itu bersalah.

Tetapi jika SPRM menghadapi masalah untuk menyemai nilai integriti dalam kalangan pegawai SPRM, bagaimanakah SPRM menjangkakan akan berjaya menerapkan nilai integriti dalam kalangan penduduk Malaysia?

Bukankah nilai integriti dan anti-rasuah ini perlu diajar dari peringkat sekolah rendah lagi?

Badan pemantau pilihan raya, Bersih, telah mengkritik Putrajaya kerana melantik Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi Boustead Holdings Bhd, atas alasan pelantikan itu tidak beretika kerana ia cuba mendapatkan sokongan.

Bersih berkata pelantikan itu menimbulkan kemungkinan penyalahgunaan sistemik yang hanya akan mengorbankan pembangunan negara dan prestasi ekonomi agensi kerajaan, terutamanya penyalahgunaan kewangan berskala besar seperti skandal 1MDB.

Apakah pendirian SPRM mengenai pelantikan Redzuan?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri