Penjelasan Ismail Sabri mengenai tiada rancangan rombakan Kabinet dialu-alukan tetapi mengapa beliau masih berdiam diri mengenai pertuduhan konflik kepentingan Ketua Pesuruhjaya SPRM?
Penjelasan Perdana Menteri, Ismail Sabri, mengenai tiada rancangan rombakan Kabinet dialu-alukan tetapi perkara ini menonjolkan kegagalan beliau yang sehingga kini masih berdiam diri mengenai pertuduhan konflik kepentingan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, yang telah timbul sejak lebih dari dua bulan yang lepas.
Isu Azam Baki telah menjadi tumpuan orang ramai sejak lebih seminggu selepas peletakan jawatan Edmund Terence Gomes daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM dan ramai personaliti telah meminta Ismail Sabri untuk membuka mulut mengenai pertuduhan ini.
Mustahil Ismail Sabri tidak menyedari seruan ini.
Seorang Perdana Menteri yang komited kepada kerajaan yang mengutamakan akauntabiliti, ketelusan dan integriti tidak akan membiarkan dakwaan berkenaan konflik kepentingan pegawai utama dalam suruhanjaya antirasuah seperti ini untuk terus berlegaran walaupun untuk satu hari.
Mengapa Ismail Sabri berdiam diri dalam isu itu selama lebih dua bulan, sedangkan SPRM berada di bawah kawalannya?
Adakah Ismail Sabri berputus asa dengan usaha membanteras rasuah kerajaannya?
Dilaporkan bahawa Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Abu Zahar Ujang, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Borhan Dolah dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki akan mengadakan sidang media yang akan "dedah segalanya" lewat hari ini.
Persoalan pertama yang mesti dijawab oleh trio SPRM ini adalah mengapa mereka tidak mengadakan sidang media "dedah segalanya" dua bulan lepas semasa dakwaan konflik kepentingan terhadap Azam mula-mula timbul pada 26 Okt. 2021.
Saya mengalu-alukan penjelasan Ismail Sabri semalam bahawa tidak akan ada rombakan Kabinet akan berlaku, tetapi SPRM masih perlu menjawab soalan yang saya kemukakan semalam: Adakah SPRM akan meluluskan pelantikan penjenayah rasuah yang disabitkan kesalahan sebagai Menteri Kabinet?
Saya mengharapkan jawapan daripada SPRM pada sidang media hari ini.
Rakyat Malaysia dan dunia bimbang Malaysia akan kembali menjadi kleptokrasi.
Biarkan sidang media SPRM ini memberitahu rakyat Malaysia apa yang SPRM lakukan untuk menghalang Malaysia mundur menjadi kleptokrasi dan apa yang SPRM jangkakan daripada Indeks Persepsi Rasuah Ketelusan Antarabangsa 2021 berkenaan dengan Malaysia, sebagaimana TI CPI 2021 dijangka akan dikeluarkan akhir bulan ini.
Semalam, seorang pegawai penguat kuasa kanan SPRM didakwa di mahkamah atas kesalahan penyelewengan RM25 juta wang tunai yang merupakan bukti yang berkaitan dengan kes rasuah besar.
Terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada pegawai kanan SPRM itu bersalah.
Tetapi jika SPRM menghadapi masalah untuk menyemai nilai integriti dalam kalangan pegawai SPRM, bagaimanakah SPRM menjangkakan akan berjaya menerapkan nilai integriti dalam kalangan penduduk Malaysia?
Bukankah nilai integriti dan anti-rasuah ini perlu diajar dari peringkat sekolah rendah lagi?
Badan pemantau pilihan raya, Bersih, telah mengkritik Putrajaya kerana melantik Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi Boustead Holdings Bhd, atas alasan pelantikan itu tidak beretika kerana ia cuba mendapatkan sokongan.
Bersih berkata pelantikan itu menimbulkan kemungkinan penyalahgunaan sistemik yang hanya akan mengorbankan pembangunan negara dan prestasi ekonomi agensi kerajaan, terutamanya penyalahgunaan kewangan berskala besar seperti skandal 1MDB.
Sidang media “dedah segalanya” SPRM adalah forum yang sesuai untuk SPRM menjelaskan perkara ini dan perkembangan lain berkaitan rasuah di Malaysia.