Sekiranya Azam tidak bersedia untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Ismail Sabri perlu tamatkan pelantikan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan ambil tindakan segera untuk memindahkan SPRM daripada Jabatan Perdana Menteri ke Parlimen

Sekiranya Azam tidak bersedia untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjawab mengenai pertuduhan berat terhadap beliau yang dibuat dua bulan yang lepas, Ismail Sabri perlu tamatkan pelantikan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan ambil tindakan segera untuk memindahkan SPRM daripada Jabatan Perdana Menteri ke Parlimen.

Cadangan ini perlu dibentangkan Ismail Sabri untuk kelulusan Kabinet dalam mesyuarat Kabinet esok – atau tidak ada mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung esok?

Kesunyian Ismail Sabri mengenai perkara yang melibat akauntabiliti, ketelusan, dan integriti SPRM dan pegawai-pegawainya selama dua bulan ini merupakan satu titik hitam untuk Kerajaan Ismail Sabri, yang menunjukkan bukan sahaja ketiadaan keseriusan dalam melawan rasuah, tetapi juga sebuah kerajaan yang lemah di mana Perdana Menteri dan Menteri-menterinya takut dengan pegawai awam.

Adakah perkara ini terjadi kerana SPRM mungkin mempunyai bukti-bukti mengenai ketiadaan integriti dalam kalangan Jemaah Menteri?

Azam perlu menjelaskan kepada orang awam mengapa beliau tidak berani untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjelaskan pertuduhan berat yang telah berbangkit terhadap beliau yang menjejaskan komitmen integriti beliau.

Masanya telah tiba untuk memindahkan SPRM daripada menjadi sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah badan yang bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen, yang merupakan satu langkah utama untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai satu badan utama pencegahan rasuah.

Dengan pemindahan ini, perlu ada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Penyalahgunaan Kuasa untuk memantau kerja-kerja SPRM.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri