Pakatan Harapan perlu menyelesaikan empat kegagalan komunikasi sebelum PRU15 sekiranya kita tidak mahu terkesan dengan empat persepsi salah ini
Pakatan Harapan perlu menyelesaikan empat kegagalan komunikasi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya kita tidak mahu terkesan dengan empat persepsi salah ini.
Pertamanya adalah imej kerajaan Pakatan Harapan.
Tun Dr. Mahathir Mohamad, di dalam bukunya mengenai 22 bulan sebagai perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan telah mengatakan yang terdapat tuduhan yang DAP mengawal kerajaan PH.
Beliau menulis (m. 112):
“Dap dianggap sebagai 'parti Cina' yang mewakili orang Cina Malaysia dengan kepentingan etnosentrik yang sempit – itulah persepsi yang dicipta oleh tentera siber UMNO dan walaupun saya berhujah, mereka berpegang pada idea bahawa Kerajaan (dan dengan itu negara) entah bagaimana telah berada di bawah kawalan 'Cina' –perkara ini adalah satu pemikiran yang bersifat rasis, tetapi ia merupakan bahagian penting dalam strategi mereka untuk melemahkan Kerajaan. Tidak kira bagaimana kita menjelaskannya, mereka akan mengulangi bahawa Malaysia memerlukan ‘Kerajaan Melayu-Islam’, dan DAP adalah anti-Islam dan berniat untuk menghancurkan orang Melayu, dan sebagainya. Perkara berlaku secara berterusan. Semua ini adalah propaganda, dan ia datang dari pihak yang kalah dalam pilihan raya umum, tetapi rakyat Malaysia yang tidak begitu celik mengenai politik mudah termakan umpan politik ini”.
Dalam bab “The DAP bogey” (m. 138), Mahathir menulis:
“…Saya bersusah payah memberikan representasi yang saksama dalam Kabinet untuk semua lima rakan kongsi dalam gabungan itu.
Orang ramai menerima perkara ini pada mulanya. Orang Melayu menerima perkara ini – di mana ia dilihat sebagai sebuah kerajaan yang seimbang yang mewakili kepentingan pelbagai bahagian masyarakat majmuk di Malaysia, dan juga hakikat di mana kita tidak pernah ada kerajaan Melayu-Islam di Malaysia. Bagaimanapun, Najib dan UMNO mula memomokkan yang kononnya DAP akan “memusnahkan orang Melayu”. Perkara ini pula disambut oleh orang Melayu. Mengapa? Kerana selama beberapa generasi lamanya, orang dalam UMNO dan kerajaan telah mendakwa yang DAP adalah musuh. Ahli DAP adakah komunis, cauvinis pro-China, dan lain-lain lagi, dan kini mereka berada dalam Kerajaan: sudah tentu sekali mereka sedang merancang untuk memusnahkan orang Melayu – begitulah yang didakwanya. Pemikiran sebegini masuk akal bagi orang Melayu, tetapi DAP tidak pernah mengawal kerajaan Pakatan Harapan dan tidak pernah merancang untuk memusnahkan sesiapa. DAP tidak boleh berbuat apa-apa tanpa persetujuan Kabinet. Mereka akan bentangkan kertas kerja di Kabinet dan kita semua bahaskan. Kabinet telah menolak banyak cadangan mereka, yang merupakan satu perkara biasa dalam kerajaan. Tetapi orang Cina di Malaysia sering digunakan sebagai kambing hitam dan kerana itulah mudah untuk orang Melayu percaya yang kononnya DAP mengawal Kerajaan”.
Dalam halaman 145, Mahathir menulis:
“Tuduhannya bukan sahaja kononnya DAP mengawal Pakatan Harapan, tetapi kononnya saya juga di bawah kawalan Lim Guan Eng, yang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet saya. Tuduhan ini tidak masuk akal dan merupakan satu penghinaan terhadap saya dan orang Melayu”.
Tetapi Mahathir hanya menunjukkan sebahagian daripada gambaran menyeluruh. Di mana dalam kalangan orang bukan-Melayu pula, terutamanya golongan Cina, terdapat tuduhan yang bertentangan yang mengatakan Pakatan Harapan ini merupakan kerajaan Melayu atau kerajaan Mahathir, dan DAP telah kononnya mengkhianati hak dan kepentingan orang bukan-Melayu, terutamanya kepentingan orang Cina.
Inilah kegagalan komunikasi pertama kerajaan Pakatan Harapan, yang Mahathir sendiri telah akui gagal ditepis oleh kerajaan PH.
Kegagalan komunikasi kedua PH adalah kegagalan untuk menepis tuduhan yang kerajaan PH selama 22 bulan ini telah gagal untuk memenuhi manifesto pilihan rayanya.
Pertama, mustahil untuk mana-mana kerajaan memenuhi manifesto yang sepatutnya mengambil masa lima tahun dalam masa 22 bulan, memandangkan kerajaan PH telah ditumbangkan dengan cara yang tidak demokratik dan tidak sah hanya selepas 22 bulan berkuasa.
Ada sebab-sebab yang sah untuk rakyat Malaysia berasa tidak gembira dengan kelajuan pelaksanaan reformasi institusi atau pelaksanaan janji pilihan raya, dan inilah sebabnya saya berjumpa dengan Mahathir pada pertengahan tahun 2019 untuk menyampaikan kebimbangan saya mengenai kadar di mana janji-janji ini dipenuhi. Saya berancang untuk bertermu dengan Perdana Menteri selepas tempoh setengah penggal kerajaan PH, namun kerajaan PH telah ditumbangkan terlebih dahulu hanya selepas 22 bulan.
Mandat PH untuk memenuhi janji-janji manifesto ini adalah lima tahun. Sekiranya dalam setengah penggal yang pertama, pelaksanaan janji-janji ini perlahan, untuk apa-apa sebab sekalipun, perkara ini boleh ditambah baik dalam setengah penggal kedua dengan mempercepatkan pelaksanaannya. Tetapi perkara ini kini mustahil akibat konspirasi Langkah Sheraton.
Kegagalan komunikasi PH yang ketiga adalah kegagalan untuk menyakinkan rakyat mengenai kepentingan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 untuk menamatkan hegemoni politik UMNO.
Sebelum 9 Mei 2018, tidak ramai yang menjangkakan UMNO boleh ditumbangkan dan hegemoni politik UMNO dapat ditamatkan sehingga menyebabkan peranan parti-parti lain dalam Barisan Nasional menjadi hanya boneka.
Hasilnya, Malaysia kini berada dalam senario politik baharu – yang masih sedang cuba mencari titik keseimbangan politik baharu di mana suara rakyat diberikan kepentingan dalam membentuk masa hadapan negara – yang telah menyaksikan empat orang Perdana Menteri bersilih ganti dalam tempoh lima tahun.
Pengajarannya untuk rakyat Malaysia adalah untuk menyedari yang perjuangan politik untuk menjadikan Malaysia negara hebat bertaraf dunia ini adalah satu perjuangan jangka panjang yang penuh dengan cabaran dan memerlukan kecekalan.
Kita mengambil masa selama setengah abad untuk memecahkan hegemoni politik UMNO.
Kita mungkin memerlukan setengah abad lagi untuk mencapai Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia – kerana perkara ini tidak mungkin dicapai dalam masa setahun dua, atau sedekad dua.
Selama setengah abad, kita berada dalam trajektori kemunduran, kalah dengan pelbagai negara – Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam. Rakyat Malaysia perlu menamatkan trajektori kemunduran ini dan berusaha untuk menjadi sebuah negara hebat dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia.
Perkara ini akan memakan masa berdekad lamanya dan tidak ada sasaran yang lebih baik daripada ulang tahun ke-100 penubuhan negara pada tahun 2063.
PH telah gagal untuk menepis dengan berkesan pertuduhan yang kononnya PH telah diserap ke dalam kerajaan Ismail Sabri dan bukan lagi sebuah barisan Pembangkang.
Tidak ada perkara yang jauh lebih salah lagi. Kita perlu sampaikan secara efektif, fakta-fakta berikut mengenai MOU CSR:
- Kerana berakhirnya hegemoni politik UMNO pada 9 Mei 2018 dan tidak ada mana-mana parti yang mempunyai majoriti mudah di Parlimen, wujudlah satu situasi di mana MOU CSR ini diperlukan. MOU ini merupakan satu perkara yang tidak pernah didengari sebelum ini dalam enam dekad sejarah negara kerana hegemoni politik UMNO.
- MOU ini tidak membantu memajukan kerjaya politik mana-mana pemimpin PH dan MOU CSR ini sendiri adalah satu dokumen terbuka tanpa sebarang klausa rahsia. Sebarang dakwaan yang mengatakan MOU CSR ini mempunyai klausa rahsia adalah tuduhan tidak berasas dan mendedahkan mana-mana orang yang membuat pertuduhan seperti itu kepada tuduhan sebagai seorang penipu yang tidak menghormati kebenaran.
- Kita berjaya menghentikan angka-angka Ahli Parlimen PH di Parlimen daripada digunakan dalam “Perebutan Kuasa” parti-parti kerajaan untuk menjadi Perdana Menteri kerana tidak kiralah apa pun kombinasinya, PN atau BN tidak akan sama sekali menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
- MOU CSR ini adalah usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia untuk menghentikan peningkatan mendadak jangkitan dan kematian akibat Covid-19. Terdapat 24,599 kes dan 393 kematian pada 26 Ogos 2021, lima hari selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Sekiranya trend ini berterusan, kita mungkin akan mencapai sejumlah lima ke 10 juta kes Covid-19 terkumpul dan 100,000 – 200,000 kematian akibat Covid-19 menjelang 31 Disember, dan bukannya 2.75 juta kes dan 31,500 kematian yang dicatatkan.
- Pakatan Harapan menuntut kerajaan PN untuk memperuntukan RM45 billion untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan wabak Covid-19.