Johor dan Malaysia tidak boleh membiarkan sifat “tidak tahu malu” menjadi standard moral pemimpin politik yang tidak merasakan rasa bersalah atau malu setelah menjadikan negara terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi
Terdapat 239 calon pada pilihan raya umum negeri Johor pada 12 Mac 2022 yang bersaing untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kebanyakannya tidak berpeluang untuk menang, sebaliknya peranan mereka hanyalah untuk memecahkan undi bagi membolehkan calon UMNO menang.
Ini adalah senario yang menggembirakan UMNO, yang telah memaksa untuk diadakan pilihan raya umum negeri Johor apabila tumpuan utama sepatutnya adalah untuk mempertahankan kehidupan dan mata pencarian rakyat untuk membolehkan kehidupan dan ekonomi dibuka semula selepas lebih daripada dua tahun berhadapan dengan wabak Covid-19 yang membawa maut.
Para pemimpin UMNO mahu Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan awal, dan memaksa mengadakan pilihan raya umum negeri Johor selepas kemenangan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka oleh UMNO adalah cara mereka untuk mencapai objektif ini – sudah tentu mereka mahu PRN Johor pada 12 Mac ini untuk menjadi acara pembuka kepada Pilihan Raya Umum ke-15.
Motif tersembunyi pemimpin UMNO jelas. Walaupun tiada seorang pun daripada "kluster mahkamah" UMNO yang menjadi calon dalam pilihan raya umum negeri Johor, jelas sekali bahawa "kluster mahkamah" UMNO yang memimpin usaha PRN ini kerana mereka mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 awal supaya mereka dapat terlepas daripada hukuman penjara atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa semasa mereka dalam kerajaan.
Inilah sebabnya Najib Razak, protagonis seorang lagi dalam skandal 1MDB, berkempen begitu keras dalam pilihan raya umum Johor untuk menyebarkan mesejnya "Apa Malunya BOSSku", mempromosikan konsep tidak bermoral bahawa pemimpin politik tidak perlu mempunyai standard moral kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti.
Pengundi Johor harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di New York dalam perbicaraan jenayah seorang pegawai bank Malaysia Roger Ng atas dakwaan rasuah dalam skandal 1MDB yang bernilai berbillion dolar.
Selama bertahun-tahun, saya tertanya-tanya mengapa bintang-bintang terkenal hadir ke parti hari jadi ke-31 salah satu daripada dua protagonis skandal 1MDB, Jho Low – parti yang disifatkan oleh Wall Street Journal sebagai “parti yang paling liar pernah dilihat di (Las) Vegas” .
Jawapannya diberikan dalam perbicaraan jenayah Roger Ng di New York minggu lalu.
Jho Low membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam satu malam daripada dana 1MDB dengan mengadakan pesta ulang tahun ke-31 mewah yang dihadiri bintang utama – yang dibayar "caj selebriti" untuk hadir – Leonard DiCaprio (AS$250,000), Paris Hilton (AS$100,000), Megan Fox ($AS250,000) dan Kim Kardashian (AS$50,000).
Invois telah dikeluarkan untuk menunjukkan bahawa parti Jho Low di Las Vegas menelan kos AS$3.6 juta atau kira-kira RM10 juta dalam satu malam.
Sekiranya perbelanjaan ini datang daripada kekayaan Jho Low sendiri, ia akan menjadi perkara yang berbeza, tetapi dia membelanjakan dana 1MDB, yang perlu dibayar balik oleh rakyat Malaysia sekarang dan juga oleh generasi yang akan datang.
Roger Ng didakwa menyeleweng AS$35 juta dalam bentuk "sogokan rahsia".
Sama ada Roger bersalah atau tidak, atau dia dijadikan kambing hitam seperti yang dikemukakan oleh peguamnya di mahkamah New York, hakikatnya tiada penafian sama sekali bahawa skandal 1MDB bukanlah khayalan semata-mata yang kononnya tidak pernah wujud. Malah, bekas Peguam Negara AS Jeff Sessions menyifatkannya sebagai "kleptokrasi yang paling teruk".
Peguam Roger Ng telah mengakui bahawa skandal 1MDB adalah "mungkin satu-satunya rompakan terbesar dalam sejarah dunia" dan sebab itulah amat mengejutkan apabila protagonis seorang lagi dalam skandal 1MDB, Najib Razak, langsung tidak menunjukkan rasa kesal dengan perkara ini, sebaliknya terus berkempen dalam PRN Johor untuk membuka jalan untuk beliau kembali sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11 dalam PRU15.
Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya Malaysia selama 65 tahun, kita mengadakan pilihan raya di mana sebuah parti politik utama mengangkat sifat "tidak tahu malu" sebagai satu nilai moral, di mana pemimpin politiknya tidak perlu mempunyai standard moral atau rasa bersalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kleptokrasi, di mana pemimpin politik tidak dapat membezakan antara yang betul dan salah, dan membezakan antara rasuah dan salah guna kuasa dan apa yang bukan.
Adakah ini akan menjadi nasib Malaysia – jauh daripada menjadi negara hebat bertaraf dunia tetapi ditakdirkan untuk menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal?
Inilah intipati pilihan raya umum negeri Johor pada 12 Mac.
Saya percaya bahawa semua tamadun dan agama besar di dunia mahu pemimpin mereka, malah rakyat mereka. untuk mempunyai standard moral dan boleh membezakan antara yang benar dan salah – mempunyai perasaan malu apabila mereka kehilangan kompas moral mereka – dan bukan untuk berakhir sebagai sebuah masyarakat di mana pemimpin politik tidak mempunyai rasa malu terhadap rasuah dan salah guna kuasa mereka.