Seruan kepada pengundi Skudai untuk mencipta sejarah di Johor dan Malaysia dengan mengejar Impian Malaysia untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia di mana pemimpinnya mengutamakan identitinya sebagai rakyat Malaysia, bukan hanya sebagai seorang Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan

Ada pihak yang menganggap pencalonan Marina Ibrahim di kerusi majoriti pengundi Cina di Skudai sebagai cubaan “bunuh diri” dan pasti akan gagal.

Seruan kepada pengundi Skudai untuk mencipta sejarah di Johor dan Malaysia dengan mengejar Impian Malaysia untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia di mana pemimpinnya mengutamakan identitinya sebagai rakyat Malaysia, bukan hanya sebagai seorang Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

Saya telah mendedikasikan 55 tahun hidup saya kepada politik Malaysia dalam mengejar Impian Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang bersatu padu yang merupakan sebuah negara hebat bertaraf dunia dalam pelbagai bidang yang diceburi umat manusia.

Selama setengah abad yang lalu, Malaysia telah tewas dalam satu demi satu bidang kepada negara lain dalam kemerosotan negara kita, dan yang terkini adalah dalam arena anti-rasuah.

Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan yang menamatkan hegemoni UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 adalah satu usaha untuk memulihkan kemerosotan negara dan meneruskan perjalanan kita untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia tetapi ia telah ditumbangkan oleh Langkah Sheraton yang tidak demokratik dan tidak sah, konspirasi ini menamatkan mandat lima tahun kerajaan Pakatan Harapan.

Sejak itu, terdapat kerajaan Muhyiddin selama 17 bulan dan kerajaan Ismail Sabri selama enam bulan, dan negara berada dalam keadaan paling teruk berbanding kerajaan hegemoni UMNO pada setengah abad sebelumnya.

Perkara ini dicerminkan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2019, 2020 dan 2021.

TI CPI 2019 di bawah kerajaan PH adalah prestasi TI CPI terbaik Malaysia dalam tempoh 25 tahun dengan peningkatan enam mata dalam masa setahun untuk markah TI CPI dan 10 kedudukan dalam carta TI CPI, dengan kedudukan ke-51 dan markah 53 per 100.

Tetapi apabila kerajaan PH dijatuhkan secara tidak demokratik dan tidak sah, TI CPI 2020 dan 2021 daripada dua kerajaan pintu belakang menyaksikan kejatuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan kejatuhan lima markah dan 11 kedudukan dalam masa dua tahun – dua tahun terburuk dalam sejarah 27 tahun penerbitan TI CPI sejak 1995.

Kini kita kembali ke kancah rasuah seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan perkara yang terburuk masih belum tiba kerana Azam-gate dan kemerosotan sistem integriti dalam kehidupan awam masih belum diambil kira.

Kita telah diatasi oleh banyak negara sejak permulaan TI CPI pada tahun 1995, seperti Taiwan dan Korea Selatan, tetapi pada kadar trajektori kita dalam bidang anti-rasuah dalam tempoh 23 bulan yang lalu, kedua-dua negara yang dianggap paling korup dalam TI CPI 1995 – China dan Indonesia – mungkin mengatasi Malaysia sebelum akhir dekad ini.

Kita mesti menyemak keadaan kemerosotan negara dan mengubah nasib negara untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia dan bukannya terus dengan trajektori kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal di mana semua rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan akan menderita.

Perkara ini hanya boleh berlaku jika semakin ramai rakyat Malaysia mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu sebelum sebagai seorang Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

DAP, dalam 55 tahun perjuangan politiknya, telah memperjuangkan hak dan maruah semua rakyat Malaysia. Parti politik manakah, misalnya, telah melahirkan seorang pemimpin yang telah mengorbankan kedudukannya sebagai ahli Parlimen malah dipenjarakan kerana mempertahankan kehormatan dan maruah seorang lagi rakyat Malaysia yang berbangsa lain? Tidak ada parti politik seperti itu kecuali DAP, dan orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP.

Dalam 55 tahun saya dalam politik Malaysia, saya telah difitnah dari satu hujung spektrum ke hujung yang lain.

Saya telah dituduh sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Tiada rakyat Malaysia boleh menjadi ‘Malaysian First’ jika dia anti mana-mana kaum atau agama di Malaysia kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya. Untuk menjadi Malaysian First, kita mesti menerima dan menghormati semua kaum, agama, bahasa dan budaya yang bertemu di Malaysia.

Tetapi anehnya, saya juga pernah dituduh menjual hak dan kepentingan orang Cina di Malaysia juga. Pendirian saya tentang Jawi telah dijadikan contoh.

Saya tidak tahu mengapa ada orang yang terlalu mudah percaya untuk mempercayai pembohongan dan fitnah seperti itu. Pendirian saya tentang Jawi selama beberapa dekad tidak berubah sama sekali – bahawa ia bukan mata pelajaran wajib yang wajib dipelajari oleh semua orang tetapi pilihan sama ada seseorang mahu mempelajarinya. Saya belajar Jawi apabila saya ditahan di Muar buat kali pertama di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan saya berkata ia tidak menggugat identiti saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Perkara ini kemudian diputarbelitkan untuk mengatakan yang saya telah mengisytiharkan bahawa mereka yang tidak tahu Jawi bukan rakyat Malaysia.

Era maklumat mempunyai kelebihan dan kekurangannya dan rakyat Malaysia perlu berwaspada dengan pembohongan, fitnah dan berita palsu terutamanya dari mereka yang kaya dan mampu menggaji tentera siber yang bersedia untuk menabur sebarang pembohongan, fitnah dan berita palsu demi wang.

Logikkah, selepas lebih lima dekad memperjuangkan dasar integrasi dan bukannya asimilasi, termasuklah ditahan selama 35 bulan, saya akan menyokong pendidikan wajib tulisan Jawi?

Begitu juga dengan calon DAP Skudai, Marina Ibrahim, yang akan dituduh mahu mewajibkan pengajian tulisan Jawi.

Saya telah mengadakan perbincangan dengannya dan beliau tidak teragak-agak untuk menyokong pendirian DAP bahawa tulisan Jawi tidak seharusnya dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah dan tetapi harus menjadi pilihan sama ada seseorang itu mahu mempelajarinya atau tidak.

Marina akan diserang dalam isu ini kerana dua tahun lalu, beliau tidak bersetuju dengan pemimpin DAP di Pahang kerana memfailkan semakan kehakiman yang mencabar kerajaan negeri yang memerlukan semua papan tanda untuk ada tulisan Jawi kerana beliau fikir ada jalan lain yang perlu diterokai terlebih dahulu – tetapi beliau tidak teragak-agak untuk menerima pendirian parti bahawa Jawi tidak sepatutnya menjadi mata pelajaran wajib di sekolah.

Selepas 62 tahun usaha pembinaan negara, sudah tiba masanya untuk lebih ramai rakyat Malaysia menganggap diri mereka sebagai “Malaysian First” dan bukannya sekadar Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

DAP berpegang kepada Impian Malaysia, di mana rakyat Malaysia melihat diri mereka pertamanya sebagai rakyat Malaysia, dan bukannya hanya sekumpulan orang Melayu, Cina, India, Iban, atau Kadazan. Sekiranya kita mempunyai mentaliti mengutamakan identiti Malaysia kita ini, kita akan mampu untuk mendapatkan semula kedudukan kita di pentas antarabangsa sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia. Sekiranya tidak, kita akan menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal, sebuah negara yang memilih pemimpin yang tidak dapat membezakan di antara perkara yang benar dan yang salah, yang akhirnya menjadi pemimpin yang korup, pencuri, dan juga penyangak.

Oleh itu, pilihan raya di Skudai ini amatlah penting untuk Johor, Malaysia, dan juga masa hadapan negara, dan saya seru kepada semua pengundi di Skudai untuk membawa kemenangan bersejarah kepada Impian Malaysia untuk mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara hebat yang bertaraf dunia!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri