Adakah pengundi Johor menerima skandal 1MDB – yang dikatakan sebagai “rompakan terbesar dalam sejarah dunia”?
Minggu lepas, rakyat Malaysia dimaklumkan mengenai bagaimana dua orang protagonis skandal 1MDB membelanjakan jutaan ringgit dalam satu malam daripada dana 1MDB dengan mengadakan majlis hari jadi ke-31 yang amat mewah, dengan bintang terkenal seperti Leonardo DiCaprio (AS$100,000), Megan Fox (AS$250,000), dan Kim Kardashian (AS$50,000) yang dibayar “caj selebriti” untuk hadir.
Invois menunjukkan parti Las Vegas Jho Low ini memakan belanja sebanyak AS$3.6 juta.
Perkara utama invois ini termasuklah 65 botol Champagne Cristal bernilai $100,000, bayaran tip sebanyak $39,995, dan bayaran kepada para selebriti untuk menghadiri parti ini.
Wall Street Journal menggambarkan majlis ini sebagai “parti yang paling liar di Las Vegas”.
Minggu ini pula, kita mengetahui yang bekas pegawai bank Goldman Sachs telah menggunakan wang yang diterima daripada 1MDB untuk membeli rumah bernilai AS$10 juta di London untuk kekasihnya yang mengugut untuk mendedahkan kepada pihak berkuasa mengenai penglibatan dia dalam skandal 1MDB.
Semua cerita-cerita ini datang daripada perbicaraan jenayah pegawai bank Malaysia, Roger Ng, atas tuduhan rasuah dalam skandal 1MDB yang bernilai berbillion dollar di New York. Dia dituduh menyeleweng AS$35 juta sebagai “sogokan rahsia” dan perbicaraan ini dijangkakan berterusan untuk beberapa minggu.
Sama ada Roger bersalah atau tidak, atau sama ada dia dijadikan kambing hitam seperti yang dikatakan oleh peguamnya di mahkamah di New York, hakikatnya, rakyat Malaysialah yang akan menanggung perbelanjaan mewah parti liar 1MDB dan perbelanjaan-perbelanjaan lainnya.
Tidak ada penafian sama sekali yang mengatakan 1MDB ini hanyalah rekaan atau tidak pernah wujud sama sekali. Malah, bekas Peguam Negara AS, Jeff Sessions juga telah menggambarkannya sebagai “kleptokrasi dalam bentuk terburuk”.
Kerana itulah lebih mengejutkan lagi apabila seorang lagi protagonis 1MDB ini tidak menunjukkan rasa bersalah langsung kerana menyebabkan skandal 1MDB ini, sebaliknya kini sedang berkempen di PRN Johor untuk membuka jalan kembali baginya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 atau ke-11 dalam PRU15.
Kerana inilah, salah satu isu yang perlu ditentukan oleh pengundi di Johor dalam PRN Johor pada 12 Mac ini adalah sama ada mereka menerima skandal 1MDB, yang telah digambarkan sebagai “rompakan terbesar dalam sejarah dunia” dan sama ada mereka dapat membezakan di antara perkara yang betul dan yang salah dan dapat mengenal pasti apakah itu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.