Sekiranya benar hanya kira-kira 1,000 orang yang telah mendaftar untuk mengundi secara pos sedangkan ada 200,000 orang pengundi Johor di Singapura, saya seru Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melanjutkan tarikh tutup pendaftaran ini seminggu lagi, atau ia akan menjadi kegagalan sistem IT terbesar di dunia
Telah dilaporkan hanya kira-kira 1,000 orang pengundi telah mendaftar sebagai pengundi pos dari Singapura sedangkan ada 200,000 orang pengundi Johor di negara tersebut – kadar pendaftaran setengah peratus yang mengejutkan.
Sekiranya perkara ini benar, perkara ini layak dikira sebagai kegagalan sistem IT terbesar di dunia.
Saya menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melanjutkan kempen pendaftaran pengundi pos secara atas talian ini untuk seminggu lagi ke hari Jumaat depan, 25 Februari. Perkara ini tidak sepatutnya menjadi sebarang masalah dalam era internet terutamanya memandangkan pengundi Johor di Singapura diberikan kurang daripada 10 hari untuk mendaftar.
Proses pendaftaran pengundi pos oleh SPR ini penuh dengan pelbagai gangguan dan isu teknikal.
Mantan ADUN Pekan Nenas, Yeo Tung Siong, telah menerima aduan mengenai isu-isu teknikal ini daripada lebih dari 10 orang pengundi Johor yang bekerja di Singapura dalam dua hari yang lepas.
Mantan ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin, telah mencadangkan kepada SPR untuk menambah baik sistem pengundian pos dari luar negara untuk PRN Johor ini memandangkan terdapat diaspora Malaysia yang besar terutamanya di Singapura.
Beliau mencadangkan SPR supaya membenarkan rakyat Malaysia untuk mengundi di kedutaan Malaysia dengan kedutaan-kedutaan di luar negara ini menjadi stesen mengundi di mana pengundi berdaftar boleh mengutip kertas mengundi mereka dan mengundi di situ.
Inilah cadangan-cadangan yang memerlukan tindakan SPR untuk memastikan terdapat kadar keluar mengundi maksima dalam PRN Johor pada 12 Mac 2022 ini.