200,000 pengundi Johor di Singapura perlu mengundi untuk memastikan rakyat Johor, yang mewakili rakyat Malaysia, tidak tertipu dua kali, pertamanya dengan skandal 1MDB, dan kedua dengan mengangkat dalang skandal 1MDB sebagai “Bossku” menjadi Perdana Menteri ke-10 atau ke-11
Dalam Bahagian Pertama Surat Terbuka saya kepada 200,000 orang pengundi Johor di Singapura semalam, saya meminta mereka untuk mendaftar sebagai pengundi pos memandangkan esok, 18 Februari, adalah hari terakhir untuk pendaftaran undian pos ini.
Saya juga telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memanjangkan tempoh pendaftaran undian pos ini untuk seminggu lagi, daripada tarikh tutup pada 18 Februari kepada 25 Februari, tetapi sama ada SPR akan bersetuju atau tidak, masih tidak diketahui lagi.
Saya harap, akan ada berita baik daripada Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini atau esok mengenai pelanjutan tempoh pendaftaran pengundi pos ke hari Jumaat depan.
Tetapi, untuk selamat, 200,000 pengundi Johor di Singapura perlu melawat laman web SPR dan mendaftar untuk menjadi pengundi pos menjelang hari esok, terutamanya memandangkan negara kita sedang dilanda gelombang penularan Omikron, dengan kedua-dua Malaysia dan Singapura mencatatkan rekod baharu kes harian semalam – 27,831 kes di Malaysia dan 16,883 kes di Singapura.
Semalam, seorang pegawai MCA Johor mengatakan yang MCA menyasarkan untuk memenangi enam kerusi di Johor kerana pengundi tidak lagi marah dengan Najib Razak dan skandal 1MDB.
200,000 pengundi Johor, dan juga pengundi-pengundi yang berfikiran waras dari dalam negeri, tidak mungkin akan berbangga dengan Najib dan skandal 1MDB – yang sebelum ini digelar sebagai “kleptokrasi yang terburuk” oleh Peguam Negara AS, Jeff Sessions – kerana rakyat Malaysia yang ada sekarang dan juga generasi akan datang akan terpaksa menanggung berbillion ringgit hutang 1MDB yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia.
Perbicaraan jenayah Roger Ng, yang bermula di New York minggu ini, memberikan pendedahan kepada pengkhianatan amanah dan juga rasuah dengan berbillion ringgit pinjaman 1MDB yang dirompak di bawah pemerintahan Najib – bagaimana salah seorang protagonis skandal 1MDB menabur jutaan wang 1MDB untuk membayar Paris Hilton, Kim Kardashian, dan Megan Fox untuk berparti bersamanya, dengan invois yang ditunjukkan semasa perbicaraan itu menunjukkan AS$250,000 dibelanjakan untuk “bayaran selebriti” untuk memastikan kehadiran Leonardo DiCaprio, dan kos parti Las Vegas sebanyak AS$3.6 juta, di mana AS$100,000 dibelanjakan untuk 65 botol Champagne Cristal, semuanya dibayar oleh rakyat Malaysia.
Peguam Roger Ng sendiri telah mengakui yang skandal 1MDB ini “mungkin merupakan satu-satunya rompakan terbesar dalam sejarah dunia”, dan pembayar cukai di Malaysia dan generasi masa kini dan yang akan datang yang perlu membayar untuk “rompakan tunggal terbesar dalam sejarah dunia” ini.
Lebih daripada AS$4 bilion dana kerajaan Malaysia telah dicuri.
Mungkin ada yang boleh memuji kedua-dua protagonis 1MDB ini atas “kehebatan bakat jenayah” mereka dalam melaksanakan “rompakan terbesar dalam sejarah dunia” tetapi kita tidak boleh lupa yang kitalah yang akan menanggung kos rompakan ini.
Mana-mana rakyat Malaysia yang berfikiran waras tidak boleh berbangga dengan pengkhianatan amanah dan korupsi sebesar ini dan kerana inilah 200,000 pengundi Johor di Singapura perlu membuatkan undi mereka didengari dengan jelas.
Singapura adalah satu-satunya negara Asia yang berada dalam kedudukan 10 teratas sejak daripada permulaan penerbitan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) pada tahun 1995.
Saya tidak mengharapkan Malaysia menjadi salah satu daripada 10 negara teratas, tetapi saya berharap untuk melihat Malaysia sekurang-kurangnya berada dalam kalangan 30 negara teratas di dunia.
Adakah kita di Malaysia ini tidak mampu untuk mencapai sasaran ini?
Sedangkan sasaran untuk Malaysia menjadi salah satu daripada 30 negara teratas dalam TI CPI ini adalah sasaran rasmi Plan Integriti Nasional yang dilancarkan oleh Perdana Menteri kelima, Abdullah Badawi, pada tahun 2004 untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam TI-CPI dari tempat ke-37 pada tahun 2003 ke sekurang-kurangnya tempat ke-30 dan mencapai 6.5 markah menjelang 2008.
Tetapi, Malaysia telah jatuh ke tempat ke-62 dengan 48 per 100 mata pada tahun 2021!
Dan melihat kepada keadaan dalam negara, TI-CPI 2022 mungkin akan mencatatkan kedudukan yang lebih buruk!
Kerana inilah 200,000 pengundi Johor di Singapura perlu mengundi sebagai pengundi pos menjelang esok dan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Johor pada 12 Mac, kerana kita perlu lakukan segalanya yang boleh untuk mengundurkan kemunduran nasional yang berlarutan dalam setengah abad yang lebih dan selamatkan Malaysia daripada nasib menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal.
200,000 pengundi Johor di Singapura perlu mengundi untuk memastikan rakyat Johor, yang mewakili rakyat Malaysia, tidak tertipu dua kali, pertamanya dengan skandal 1MDB, dan kedua dengan mengangkat dalang skandal 1MDB sebagai “Bossku” menjadi Perdana Menteri ke-10 atau ke-11 dalam Pilihan Raya Umum ke-15.