Pilihan raya umum negeri Johor akan menentukan sama ada Malaysia boleh melakukan pemulihan nasional untuk menghentikan kemerosotan sejak setengah abad yang lepas dan menandakan permulaan tugas berat untuk menjadi Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke 100 negara pada tahun 2063

Saya dilahirkan, dibesarkan dan bersekolah di Batu Pahat, Johor walaupun sepanjang kerjaya politik saya, saya dituduh lahir di China dan berenang ke Malaysia ketika saya berusia 18 tahun.

Selepas bersekolah menengah di Batu Pahat, saya bekerja di Singapura sebagai wartawan selama hampir lima tahun.

Saya tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk politik di Singapura walaupun saya telah dipilih sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan Singapura.

Tetapi selama saya tinggal dan bekerja di Singapura, saya tidak pernah berasa selesa di Singapura kerana saya mahu kembali ke Malaya.

Saya percaya inilah perasaan yang sama 200,000 pengundi Johor di Singapura, yang berada di Singapura bekerja untuk gaji yang lebih baik tetapi masih berjiwa rakyat Malaysia, bukannya Singapura.

Kami mengagumi Singapura atas kejayaannya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia tetapi negara tersebut juga mempunyai kelemahannya.

Kami juga percaya bahawa Malaysia boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia tetapi dengan cara yang berbeza, walaupun kejayaan Singapura sedikit sebanyak juga dibanggai kita kerana sumbangan bakat rakyat Malaysia kepada kejayaan ini.

Rakyat Malaysia mahu berbangga sebagai rakyat Malaysia sebagaimana rakyat Singapura berbangga menjadi rakyat Singapura.

Pada masa kini, banyak perkara yang menghalang rakyat Malaysia untuk berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Mari kita lihat apa yang sedang berlaku di New York dan Johor Baru.

Di New York, perbicaraan rompakan berbilion dolar dana kerajaan Malaysia, Dana 1MDB, telah bermula dan dijangka berlangsung selama enam minggu.

Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sach di Malaysia, didakwa bersubahat untuk mengubah wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah dalam menguruskan dana 1MDB Malaysia.

Perbicaraan itu mendedahkan peranan Goldman dalam skandal antarabangsa yang membawa kepada hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak.

“Defendan melihat peluang untuk membuat berjuta-juta dolar dengan menipu, dan dia mengambilnya,” Brent Wible, seorang peguam dengan Jabatan Kehakiman AS, berkata dalam satu kenyataan pembukaan.

Ng telah mengaku tidak bersalah dan peguamnya berkata beliau adalah "kambing hitam" untuk salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah Wall Street.

Skandal itu berpunca daripada bon yang bernilai kira-kira AS$6.5 bilion yang diuruskan Goldman untuk 1MDB, yang dilancarkan oleh Najib untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, dijual dari tahun 2009 hingga 2014.

Pendakwa raya AS berkata Goldman memperoleh bayaran sebanyak AS$600 juta daripada perjanjian itu, tetapi kira-kira AS$4.5 bilion dana yang diperoleh telah diseleweng.

Bank itu pada tahun 2020 membayar denda sebanyak AS$2.3 bilion, mengembalikan AS$600 juta keuntungan yang diperoleh secara haram, dan bersetuju agar anak syarikat Malaysianya mengaku bersalah di mahkamah AS sebagai sebahagian daripada perjanjian, yang dikenali sebagai perjanjian pendakwaan tertunda (DPA).

Wible berkata Ng membantu dua konspirator bersama – bekas bosnya, Timothy Leissner, dan seorang perantara Malaysia, Jho Low – untuk menyeleweng dana yang dicuri daripada 1MDB dan menggunakan sebahagian wang yang dicuri untuk merasuah pegawai di negara Asia Tenggara itu untuk memenangi perniagaan untuk Goldman.

Ng menerima sogokan AS$35 juta daripada Leissner, kata Wible.

Peguam bela Marc Agnifilo membalas bahawa Ng tidak mempunyai peranan dalam skim yang dilakukan oleh Low dan Leissner dan bahawa dia juga memberi amaran kepada pengurusan Goldman supaya tidak mempercayai Low.

Apa yang penting bagi rakyat Malaysia ialah skandal 1MDB, yang pada masa itu digelar oleh Peguam Negara Amerika Syarikat Jeff Sessions sebagai "kleptokrasi yang paling teruk", bukanlah satu khayalan, sebaliknya benar-benar wujud, kerana hutangnya yang sangat besar perlu dibayar dan ditanggung oleh generasi masa hadapan rakyat Malaysia.

Tetapi di Johor Baru, salah seorang daripada dua protagonis skandal 1MDB tidak mempunyai sebarang rasa prihatin terhadap skandal 1MDB, dan sebenarnya sedang mempersiapkan kempennya untuk kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 atau ke-11.

Apa yang sedang berlaku di New York dan Johor Baru pada masa ini menggariskan satu persoalan penting mengenai pilihan raya umum negeri Johor – sama ada Malaysia boleh melakukan pemulihan nasional untuk menghentikan kemerosotan sejak setengah abad yang lepas dan menandakan permulaan tugas berat untuk menjadi Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke 100 negara pada tahun 2063.

200,000 pengundi Johor di Singapura boleh membuat perubahan dalam menjawab soalan ini – sama ada Malaysia terhumban menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal menjelang 2063 atau sama ada kita mempunyai kemampuan sebagai rakyat Malaysia untuk bangkit, menjalankan reformasi institusi untuk kembali kepada prinsip pembinaan negara seperti dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara dan kembali ke era pengasas awal negara Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman, Razak dan Hussein Onn agar Malaysia memenuhi aspirasi Tunku untuk menjadi "syurga keamanan, keharmonian dan kebahagiaan" dan "suar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu".

Walaupun saya akan meneruskan Bahagian 2 Surat Terbuka saya esok, saya meminta dua perkara:

Memandangkan kita sedang berhadapan dengan gelombang penularan varian Omicron di Malaysia dan di Singapura, 200,000 pengundi Johor di Singapura patut mendaftar sebagai pengundi pos di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum hari Jumaat, 18 Disember 2022;

Kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu melanjutkan tempoh pendaftaran pengundi pos selama seminggu dari 18 hingga 25 Februari, perkara yang sepatutnya tidak menimbulkan masalah dalam Era Internet.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri