Dengan 32 kematian, Johor mencatatkan paling banyak kematian Covid-19 pada bulan Februari diikuti Sabah dan Perak dengan 29 dan 26 kematian – apakah yang Khairy sedang lakukan untuk mengurangkan kadar kematian Covid-19 yang tinggi di Malaysia?
Dengan 32 kematian Covid-19 bulan ini, Johor mencatatkan kematian Covid-19 terbanyak pada Februari diikuti Sabah dan Perak dengan 29 dan 26 kematian.
Persoalan yang mesti ditanya ialah: apakah yang dilakukan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk mengurangkan kadar kematian Covid-19 yang tinggi di Malaysia?
Semalam, terdapat 24 kematian, tiga hari sebelumnya terdapat 11, 15 dan 24 kematian – menjadikan jumlah keseluruhan 74 kematian dalam empat hari.
Perkara yang membimbangkan adalah peratusan tinggi kematian akibat Covid-19 yang dibawa ke hospital – brought in dead (BID) – iaitu kira-kira 34% pada Februari.
Bagaimanakah kedudukan Malaysia berbanding dengan negara-negara lain untuk (BID)?
Hong Kong, yang merekodkan 2,071 kes baharu Covid-19 semalam, berhadapan dengan ribut Omicron. Pemimpin Hong Kong Carrie Lam berkata pada hari Isnin bahawa "serangan" jangkitan koronavirus di hab kewangan global itu telah memberi tamparan hebat dan mengatasi kapasitinya untuk menangani wabak itu apabila kes harian melonjak ke paras tertinggi.
Jangkitan harian telah meningkat 20 kali ganda dalam tempoh dua minggu yang lepas, daripada kira-kira 100 kes pada awal Februari, dengan pihak berkuasa gergelut untuk mengawal wabak yang semakin memburuk.
Kita mesti belajar daripada pengajaran Hong Kong untuk memastikan bahawa dengan gelombang Omicron, sistem penjagaan kesihatan tidak tertekan serta mengurangkan kadar kematian Covid-19 yang tinggi di negara ini.
Kemuncak gelombang Omicron di negara lain harus diikuti dengan teliti, dengan Filipina merekodkan 2,730 kes baharu semalam selepas memuncak pada 37,207 pada 15 Januari; Amerika Syarikat merekodkan 77,402 kes semalam selepas memuncak kepada 903,620 kes pada 13 Januari 2022; UK yang merekodkan 41,648 kes semalam selepas memuncak pada 229,622 kes pada 4.1.2022 dan India mencatatkan 25,260 kes semalam selepas memuncak pada 347,254 kes pada 20 Januari 2022.
Terdapat satu berita baik dari India, di mana kemuncak penularan Delta pada 6 Mei 2021 dengan 414433 kes harian adalah lebih tinggi daripada kemuncak penularan Omicron dengan 347,254 kes pada 20 Januari 2022. Puncak Omicron di Filipina adalah kira-kira satu setengah kali ganda puncak Deltanya. Di Indonesia, puncak Omicron masih belum mencapai puncak Delta sebanyak 56,757 kes pada 15 Julai 2021.
Bolehkah Malaysia mengelak daripada menjadi Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman yang mencatatkan kemuncak penularan Omicronnya kira-kira tiga kali ganda puncak Delta?