Bagaimana Azam hendak terus memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM apabila beliau tidak memahami makna integriti?

Saya telah mengatakan yang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM, Azam Baki, telah menjadi musuh terburuknya sendiri dengan mempercayai “sekarang, orang telah menyedari yang tuduhan terhadapnya adalah tidak berasas” dan kononnya beliau menjadi mangsa kempen terhadapnya.

Bagaimana Azam hendak terus memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM apabila beliau tidak betul-betul memahami makna integriti yang telah menghalangnya daripda menjadi contoh terbaik integriti, ketelusan, dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam?

Dalih-dalihnya mengenai “sapina” dan “jemputan” untuk menjelaskan keengganan beliau untuk hadir di hadapan jawatankuasa pilihan khas parlimen yang sepatutnya boleh menjadi ruang untuk beliau bersihkan namanya telah disangkal oleh ahli parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang menegaskan bahawa Azam pernah hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada Oktober 2020 dengan hanya jemputan.

Azam boleh membantu meminimakan kerosakan terhadap integritinya dengan mengisytiharkan bahawa beliau bersedia untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk membersihkan namanya daripada dakwaan konflik kepentingan yang timbul terhadapnya sejak tiga bulan yang lepas.

Azam tidak boleh terus percaya dengan kesimpulan kononnya "setakat ini, orang ramai menyedari tuduhan terhadapnya adalah tidak berasas", seperti yang dikatakan dalam Surat Terbuka kepadanya oleh wartawan veteran R. Nadeswaran.

Rakyat Malaysia mahu SPRM melakukan kerja yang lebih baik dalam memerangi rasuah.

Malah, mereka mahu Malaysia menjadi antara 30 negara teratas di dunia yang paling bebas rasuah, sebagaimana objektif Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan oleh Perdana Menteri kelima, Abdullah Badawi untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) daripada tempat ke-37 pada tahun 2003 kepada sekurang-kurangnya kedudukan ke-30 pada tahun 2008 dan skor 5.2 untuk Malaysia pada tahun 2003 kepada sekurang-kurangnya 6.5 pada tahun 2008.

Tetapi dalam TI CPI 2021 Malaysia telah jatuh ke kedudukan ke-62 dengan hanya 48 markah!

Seperti mana Azam tidak memahami makna integriti, beliau juga kelihatan seperti tidak memahami kedudukan buruk negara dalam TI CPI 2021.

Seperti yang dikatakan oleh Nadeswarn dalam Surat Terbukanya: "Adalah diharapkan apabila anda hadir di hadapan panel PSC, anda akan mendedahkan semua maklumat dan menyampaikannya dengan baik supaya PSC dapat menyiasat sepenuhnya isu yang disebabkan oleh anda sendiri.”

Bolehkah Azam membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan sebelum Parlimen bersidang semula pada 28 Februari 2022?

Jika tidak, rakyat Malaysia perlu berdepan dengan persoalan: Bagaimana Azam boleh terus memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sedangkan beliau tidak memahami erti integriti?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri