Omikron mungkin bukan varian terakhir yang akan muncul untuk menamatkan pandemik Covid-19

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berharap yang penularan varian Omikron ini akan berakhir dalma satu atau dua bulan yang akan datang untuk membolehkan sambutan Hari Raya Aidilfitri disambut pada awal bulan Mei tanpa sekatan pergerakan.

Tetapi, Omikron ini mungkin bukan varian terakhir yang akan muncul untuk menamatkan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menjangkakan lebih banyak varian Covid-19 dan menggesa rakyat New Zealand untuk bersedia berhadapan dengan lebih banyak varian virus ini dalam tahun ini.

New Zealand dalam minggu yang lepas telah mencatatkan rekod baharu kes harian, termasuklah rekod 243 kes pada hari Sabtu. Beliau menjangkakan yang kes di New Zealand akan memuncak di sekitar 10,000 ke 30,000 sehari.

Sekiranya Malaysia menuruti langkah New Zealand, angka rekod 24,599 kes yang dicatatkan negara pada 26 Ogos lepas mungkin akan meningkat beberapa kali ganda.

Gelombang Omikron sedang melanda negara-negara ASEAN. Semalam, Singapura mencatatkan 13,011 kes, Indonesia mencatatkan 37,492 kes, Vietnam 21,909 kes, Thailand 10,398 kes. Filipina mencatatkan jumlah kes terendah dalam tahun 2022 – 3,574 kes – selepas berhadapan dengan peningkatan mendadak kes Omikron sebelum ini.

Kadar kematian akibat Omikron adalah lebih rendah berbanding dengan Delta. Kadar kematian di Malaysia dalam dua minggu yang lepas adalah 126 berbanding dengan kemuncak 592 kematian pada 11 September 2021.

Di peringkat global, jumlah kes terkumpul telah melepasi paras 400 juta kes dengan lebih daripada 5.7 juta kematian.

Dengan 2,939,198 kes dan 32,056 kematian akibat Covid-19, Malaysia telah jatuh daripada tempat ke-20 empat bulan lepas ke tempat ke-28 dari segi negara dengan jumlah kes tertinggi – kini diatasi oleh Peru, Jepun, Belgium, Israel, Republik Czech, Kanada, dan Portugal.

Malaysia perlu menurunkan lagi kedudukan kita dalam carta kes terkumpul ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri