Malaysia mungkin akan melepasi paras 15,000 kes dalam awal minggu hadapan tetapi perkara ini tidak patut menimbulkan panik selagi mana kadar kematian akibat Covid-19 kekal dalam julat satu angka

Malaysia mungkin akan melepasi paras 15,000 kes dalam awal minggu hadapan tetapi perkara ini tidak patut menimbulkan panik selagi mana kadar kematian akibat Covid-19 kekal dalam julat satu angka.

Hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan 13,944 kes baharu Covid-19, membawa jumlah kes terkumpul dalam negara kepada 2,939,198 kes. Semalam, kita mencatatkan 11,034 kes baharu dan sembilan kematian.

Kelihatan seperti jangkaan 15,000 kes oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, jangkaan 22,000 kes Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham, dan jangkaan 25,000 kes oleh pakar kesihatan awam saya mungkin akan dipecahkan awal minggu hadapan dan kita mungkin akan menyaksikan kemuncak baharu angka kes Covid-19 – yang sebelum ini dicatatkan pada 26 Ogos 2021 dengan 24,599 kes.

Tetapi kini adalah era varian Omicron, yang jauh lebih berjangkit tetapi kelihatan tidak sebahaya Delta dan tidak memerlukan hospitalisasi seperti sebelum ini.

Khairy telah memberikan amaran semalam yang kadar terburuk belum disaksikan lagi dari segi jumlah kes harian, memandangkan negara kita sedang berhadapan dengan gelombang penuh Omicron.

Beliau menasihati mereka yang belum menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, terutamanya mereka yang lanjut usia, untuk segera mendapatkan suntikan ini.

Kadar jangkitan setakat semalam berada pada paras 1.2. Kadar yang kekal di atas nilai 1.0 akan membawa kepada penularan mendadak wabak ini.

Semasa berhadapan dengan gelombang penularan varian Delta, wabak ini telah melumpuhkan sistem kesihatan negara kerana terlalu ramai pesakit memerlukan rawatan di hospital berbanding dengan kapasiti yang ada.

Kementerian Kesihatan telah mengatakan yang jangkaan menunjukkan yang sistem kesihatan negara sepatutnya mampu mengendalikan gelombang penularan sedia ada memandangkan lebih daripada 80% populasi negara telah menerima vaksin. Kes pertama varian Omicron dalam negara dilaporkan dalam bulan November tahun lepas.

Tetapi, tidak ada asas langsung dalam dakwaan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, yang mengatakan kerajaan Perikatan Nasional adalah yang terbaik dalam mengendalikan wabak ini di dunia.

Kita hanya perlu melihat kepada perintah darurat pura-pura yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021, kononnya untuk melawan wabak Covid-19.

Semasa darurat bermula pada 11 Januari 2021, terdapat 2,232 kes baharu dan empat kematian akibat Covid-19 dengan 138,222 kes terkumpul dan 555 kematian terkumpul akibat Covid-19.

Pada 1 Ogos 2021 semasa darurat tamat, kadar kes baharu telah meningkat kepada 17,150 kes dengan 160 kematian sedangkan angka terkumpul kes telah meningkat lebih daripada lapan kali ganda kepada 1,130,422 kes dan jumlah kematian terkumpul meningkat lebih daripada 16 kali ganda kepada 9,184 kematian akibat Covid-19.

Tidak ada sesiapa pun selain Azmin yang akan menggambarkan darurat untuk melawan Covid-19 ini merupakan satu kejayaan.

Kita kini berhadapan dengan perkara yang berbeza sama sekali dengan gelombang Omicron ini, di mana kita akan melepasi paras tiga juta kes terkumpul dalam beberapa hari yang akan datang.

Kita patut ikut contoh di negara-negara lain yang membuka semua sektor ekonomi dan kehidupan sosial dengan mematuhi SOP pemakaian pelitup muka dan menjaga jarak sosial, dan perkara ini perlu menjadi asas kepada SOP Pilihan Raya Negeri Johor yang akan diumumkan esok.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri