Jauh bezanya – di New York seorang pegawai bank Goldman Sachs sedang menghadapi perbicaraan rasuah tetapi di Malaysia personaliti utama dalam skandal 1MDB berhasrat untuk kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11

Jauh bezanya – di New York seorang pegawai bank Goldman Sachs sedang menghadapi perbicaraan rasuah tetapi di Malaysia personaliti utama dalam skandal 1MDB berhasrat untuk kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11.

Roger Ng, bekas ketua pegawai bank Goldman di Malaysia, telah mengaku tidak bersalah kerana membantu melakukan pengubahan wang haram bernilai ratusan juta dolar yang dirompak daripada dana kekayaan negara 1MDB dan merasuah pegawai di Malaysia untuk mendapatkan peluang perniagaan.

Dia didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah.

Pemilihan juri bermula semalam dalam perbicaraan rasuah di Amerika Syarikat (AS).

Goldman membantu menjual bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB, dana yang dilancarkan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak untuk memacu pembangunan ekonomi.

Pihak berkuasa berkata pegawai dana dan rakan sejenayah mereka merompak sebahagian wang untuk dibelanjakan bagi tujuan kemewahan, manakala pegawai bank Goldman membayar lebih AS$1.6 bilion rasuah kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi untuk perniagaan 1MDB.

Goldman bersetuju pada 2020 untuk membayar penalti AS$2.9 bilion dan meminta unit Malaysia mengakui kesalahan jenayah bagi menyelesaikan siasatan oleh Jabatan Kehakiman AS dan pihak berkuasa lain mengenai peranannya dalam 1MDB.

Tetapi di Malaysia, individu yang paling bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB, yang digambarkan oleh Peguam Negara AS ketika itu Jeff Sessions pada persidangan antarabangsa pada Disember 2017 sebagai "kleptokrasi yang terburuk", berkempen untuk kembali sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11.

Skandal 1MDB adalah kegagalan terbesar agensi antirasuah negara dalam sejarah negara tetapi sebelum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat mengatasi keburukan ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pula terpalit dengan krisis keyakinan terbesar apabila beliau kehilangan semua keyakinan dan sokongan rakyat Malaysia untuk mengetuai SPRM apabila beliau gagal menjadi contoh integriti, kejujuran dan akauntabiliti serta tidak dapat menjelaskan dakwaan konflik kepentingan yang telah dibuat terhadapnya selama lebih tiga bulan lalu.

Adakah Perdana Menteri Ismail Sabri terlalu lemah sehingga tidak dapat meminta Azam Baki bercuti sehingga Azam membersihkan namanya daripada tuduhan yang serius itu?

Baru-baru ini saya terjumpa komen mantan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, dalam buku "The Wolf Catcher", di mana beliau membandingkan dua "kes terkenal salah laku di peringkat tertinggi" – 1MDB Malaysia dan Petrobras Brazil.

Gordon Brown berkata: "Tetapi kecurian 1MDB – dengan skop dan skala globalnya, dan kejatuhan geo-politiknya – memberi kesan lebih mendalam berbanding skandal syarikat minyak yang telah melanda Brazil."

Malaysia akan mengalami keburukan berganda jika protagonis utama dalam skandal 1MDB boleh kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri