Betul apa yang Khaled Nordin katakan mengenai keperluan untuk suatu formula perkongsian kuasa yang tulen dan untuk kita semua tidak hanya melantik token bukan Melayu dalam kerajaan tetapi beliau salah untuk mengatakan yang UMNO, MCA, dan MIC adalah calon yang terbaik

Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Johor, Mohamad Khaled Nordin tepat dalam mengatakan yang Malaysia memerlukan formula perkongsian kuasa yang tuleh dan tidak boleh hanya melantik token bukan Melayu ke dalam kerajaan, tetapi beliau salah apabila beliau mengatakan yang calon UMNO, MCA, dan MIC adalah yang terbaik.

Formula Perikatan ini terbukti menjadi satu kegagalan dalam pilihan raya umum ketiga pada tahun 1969 dan telah dikuburkan oleh Tun Razak. Tetapi formula Barisan Nasional Tun Razak pula telah dimusnahkan oleh anaknya sendiri dengan gaya cara kleptokratik dan hegemoni UMNOnya.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, tidak ada lagi perkongsian kuasa yang tulen, hanya ada token bukan Melayu sahaja di dalam Kabinet.

Harapan terbaik untuk perkongsian kuasa yang tulen adalah semasa 22 bulan negara ditadbir Pakatan Harapan, tetapi perkara ini telah dimusnahkan oleh UMNO dan konspirasi Langkah Sheraton melalui penipuan dan berita palsu yang kononnya orang-orang bukan Melayu telah menggantikan orang Melayu dan merampas kuasa di dalam negara.

Hasilnya, kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara demokratik telah ditumbangkan lalu masuklah dua kerajaan pintu belakang yang tidak sah, di mana kita kini mempunyai seorang Perdana Menteri UMNO yang tidak mempunyai kuasa di dalam UMNO, dengan jumlah token bukan Melayu yang paling ramai dalam sejarah negara.

Isu yang paling membara hari ini adalah isu mengenai skandal Azam Baki dan kehilangan kepercayaan rakyat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha melawan rasuah, pengurusan bencana banjir “sekali dalam seabad” yang amat buruk, dan kakistokrasi sehingga mana mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup untuk menurunkan harga ayam sebanyak 20 sen kepada RM8.90 dan untuk mengekalkan harga ayam menjadi skandal besar selepas satu video selama 26 saat menunjukkan ahli-ahli majlis ini dihidangkan air mineral Evian yang berharga RM4.50 sebotol, tiga kali ganda harga produk tempatan.

Tetapi, dengan seramai-ramai Menteri token bukan Melayu dalam sejarah, tidak ada apa-apa langsung yang didengari daripada mereka mengenai isu-isu ini.

Melihat trend semasa, Malaysia besar kemungkinan akan diatasi oleh China dan Indonesia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) menjelang 2025.

Bagaimana satu sistem pentadbiran yang membawa kepada kemunduran negara dalam setengah abad yang lepas, dengan satu persatu negara mengatasi kedudukan Malaysia – Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam – menjadi satu formula yang berjaya, sedangkan kita mempunyai potensi untuk menjadi lebih baik daripada China, Indonesia, dan India dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia?

Bolehkan UMNO kembali semula ke era tiga Perdana Menteri terawalnya, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn, di mana rasuah dan kleptokrasi merupakan satu perkara yang dikeji, seperti yang dikatakan oleh bekas pegawai eksekutif Shell, Yusuf Hashim, satu era di mana orang Melayu “percaya kepada meritokrasi, integriti, moral, kejujuran, keadilan, demokrasi sosial, dan kebenaran”?

Saya tidak rasakan yang Khaled akan menjawab persoalan ini, kerana satu-satunya formula pentadbiran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia perlulah berteraskan kepada pendekatan dan matlamat “Utamakan Malaysia”.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri