Anwar patut abaikan Mahathir dan sebaliknya hayati pengajaran paling penting dari kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum ini — untuk melaksanakan sebanyak mungkin “reformasi” institusi kerana kerajaan yang ada ini tidak semestinya akan bertahan selama lima tahun
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, patut hanya mengabaikan Tun Dr. Mahathir dan sebaliknya menghayati pengajaran paling penting dari kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum ini — untuk melaksanakan sebanyak mungkin “reformasi” institusi kerana kerajaan yang ada ini tidak semestinya akan bertahan selama lima tahun.
Dia patut melaksanakan janji-janji yang telah dibuatnya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada 24 November 2022 yang mana dia mengatakan dia tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan tadbir urus yang baik, usaha membanteras rasuah, kebebasan badan kehakiman, dan kebajikan rakyat Malaysia.
Anwar perlu sentiasa sedar yang terdapat kuasa-kuasa politik yang sedang cuba untuk menamatkan riwayat kerajaannya seawal yang mungkin.
Anwar telah melakukan perkara yang tepat apabila dia menguji kepercayaan Ahli-ahli Parlimen terhadapnya sebagai Perdana Menteri dalam sidang dua hari pada minggu lepas dan dia patut menjadikan sidang Dewan Rakyat pada bulan Februari 2023 sebagai sebuah sidang yang paling penting dan bersejarah dengan melaksanakan beberapa reformasi institusi — memulakan proses untuk menghentikan kemerosotan negara dalam enam dekad yang lepas untuk mengembalikan tempat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.
Mahathir telah terlepas peluang untuk berbuat demikian dan Anwar tidak boleh mengulangi kesilapan sebegini.
Walaupun kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir sebelum ini ditumbangkan secara tidak sah melalui konspirasi politik Langkah Sheraton, Mahathir sendiri tidak boleh mencuci tangannya daripada bertanggungjawab terhadap konspirasi ini.
Anwar patut menimbangkan bagaimana sidang Parlimen pada Februari 2023 ini dapat dijadikan sebagai suatu sidang yang paling bersejarah negara.
Transparency International (TI) akan menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 pada bulan hadapan.
Sudah terlalu lambat untuk kerajaan Anwar berbuat apa-apa untuk menambah baik Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2022 untuk Malaysia, tetapi kerajaan Anwar perlulah melakukan usaha yang terbaik mereka untuk memastikan laporan TI-CPI 2023 untuk Malaysia menjadi TI-CPI yang terbaik negara sejak dari penerbitan laporan ini 25 tahun yang lepas pada tahun 1995.
Malah, rakyat Malaysia perlulah bersedia untuk menyaksikan laporan TI-CPI terburuk dalam masa sebulan lagi.
Amat mengecewakan apabila konspirasi politik Langkah Sheraton yang tidak sah pada bulan Februari 2020 yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan selepas hanya 22 bulan ini juga telah menamatkan usaha Malaysia untuk menjadi salah satu dari 30 negara terbaik dunia dari segi integriti awam.
Adakah terdapatnya apa-apa rancangan integriti awam baharu untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara terbaik dunia dalam tahun 2030 atau 2040?
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga para NGO serta individu yang berminat patut dijemput dalam masa sebulan untuk menghantarkan cadangan-cadangan mereka kepada SPRM mengenai bagaimana untuk kita boleh meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan rancangan ini patut dilancarkan dalam sidang Parlimen pada bulan Februari 2023.
Perkara ini akan menjadi satu permulaan yang baik untuk sidang Parlimen Februari 2023 dan untuk Kerajaan Perpaduan Anwar.