Sekarang kita semua dapat meraikan Hari Krismas walaupun hakikat hari ini mungkin akan menjadi sangat berbeza sekiranya perkembangan politik sebelum ini bergerak ke arah lain dan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri ke-10
Sekarang kita semua dapat meraikan Hari Krismas walaupun hakikat hari ini mungkin akan menjadi sangat berbeza sekiranya perkembangan politik sebelum ini bergerak ke arah lain dan Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri ke-10.
Malaysia adalah sebuah negara berbilang etnik, bahasa, agama, dan budaya, dan marilah kita jadikan Krismas 2022 sebagai sambutan pertama di mana rakyat Malaysia sekali lagi meraikan perpaduan dan kepelbagaian kita dengan menyambut sambutan keraian semua kumpulan etnik dan agama – baik Thaipusam, Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Wesak, Hari Gawai, Hari Kaamatan, Hari Raya Haji, Deepavali, atau Krismas.
Dalam perutusan Krismasnya, Perdana Menteri telah mengatakan:
“Semoga sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah dan dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran serta perpaduan kepada negara Malaysia yang terbilang dan rakyatnya yang cintakan keadilan.”
Jadikan sambutan semua kumpulan etnik dan agama di Malaysia suatu acara yang membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran, dan perpaduan di Malaysia.
Saya menyokong jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang mengatakan dia bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuklah negeri-negeri yang dipimpin parti pembangkang.
Anwar, yang baru-baru ini melawat Kelantan kerana bencana banjir, perlu memimpin sebuah kerajaan yang inklusif yang benar-benar mencerminkan nama Kerajaan Perpaduan, di mana tidak ada mana-mana pengundi atau negeri dihukum kerana memilih calon atau parti pilihan mereka dalam PRU15.
Kerajaan Persekutuan perlu menjadi Kerajaan Persekutuan untuk semua negeri dan semua rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Kerajaan Anwar juga tidak boleh bertoleransi terhadap hasutan syak wasangka dan sifat kebencian antara kaum dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia kerana perkara ini berpotensi untuk memusnahkan negara kita.
Amat malang sekali selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah mengenai sifar toleransi terhadap hasutan perasaan syak wasangka dan kebencian yang bersifat perkauman dan keagamaan di Malaysia, seorang pemimpin parti politik sekali lagi melakukan perkara buruk ini dengan mengeluarkan naratif palsu yang bersifat rasis dan melampau yang mengatakan kononnya terdapat kadar keluar mengundi yang buruk dalam kalangan pengundi orang Islam dalam PRU15.
Pemimpin ini telah mendakwa kononnya orang bukan Islam keluar mengundi secara beramai-ramai dari dekat dan jauh untuk “menyokong DAP”, dengan kadar keluar mengundi dalam kalangan orang bukan Islam pada 98 peratus berbanding dengan hanya 60 peratus dalam kalangan orang Islam.
Sebelum ini, pemimpin politik yang sama telah membantah pilihan raya kerajaan tempatan atas alasan yang kononnya demokrasi tempatan hanya akan memberikan manfaat kepada komuniti Cina, dan kononnya inilah sebab DAP menyokong pilihan raya tempatan diadakan semula.
Tuduhannya yang mengatakan DAP hanya mengambil kira pengundi Cina dan mengabaikan kepentingan kaum dan pihak-pihak lain yang merupakan denyut dan nadi bandar-bandar majmuk pelbagai kaum dan agama ini bukan sahaja salah dan tidak berasas, tetapi telah dinafikan oleh dua Bancian Populasi dan Perumahan Malaysia pada tahun 2020 dan 2010.
Menurut Bancian Populasi dan Perumahan 2020, tiga per empat dari rakyat Malaysia kini tinggal di kawasan bandar, dengan kebanyakan penduduk bandar dari kalangan golongan bumiputera.
Kira-kira 14.1 juta – atau 62.2 peratus – penduduk bandar adalah golongan bumiputera, diikuti etnik Cina pada 6.4 juta atau 28.6 peratus, etnik India (1.8 juta atau 8.1 peratus), dan lain-lain etnik (0.2 juta atau 0.7 peratus).
Kadar peratusan bumiputera juga telah bertambah berbanding dengan bancian sebelum ini pada tahun 2010, di mana 58.9 peratus penduduk bandar adalah beretnik bumiputera.
Perkara ini mencerminkan demografi negara, dan jauh berbeza dengan demografi kawasan bandar pada tahun 70-an di mana hanya kira-kira satu pertiga populasi Malaysia tinggal di bandar.
Saya ulangi semula seruan saya kepada kerajaan Anwar untuk meletakkan dasar yang sepatutnya untuk menghapuskan hasutan-hasutan syak wasangka dan kebencian antara agama dan kaum di Malaysia dan untuk mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan sebelum Malaysia dimusnahkan oleh unsur-unsur yang merosakkan ini.