Malaysia mencatatkan kejayaan dengan kes harian dan kematian akibat Covid-19 dalam julat tiga angka dan satu angka masing-masing, yang patut menjadi permulaan untuk kajian mengapa Malaysia mencatatkan prestasi yang buruk dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19
Malaysia telah mencatatkan satu kejayaan dalam pandemik Covid-19, kita mencatatkan kes harian dalam julat tiga angka dan kematian akibat Covid-19 dalam julat satu angka untuk enam hari yang lepas, membawa negara kita ke era seperti dua tahun lepas ketika mana kita mula mencatatkan kes dalam julat tiga angka, yang kemudiannya melarat sehingga ke tahap dengan kes harian dalam julat lima angka dan kematian dalam julat tiga angka sehari ketika berakhirnya kerajaan Muhyiddin Yassin.
Pengendalian pandemik Covid-19 yang kucar kacir dan ketakutan Muhyiddin untuk berhadapan dengan undi percaya di Parlimen telah menjadi penyebab utama kejatuhan kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin.
Parlimen telah digantung secara tidak selama enam bulan untuk memberi ruang kepada Muhyiddin untuk mengendalikan pandemik Covid-19, tetapi pengurusan pandemik Covid-19 oleh kerajaan Muhyiddin merupakan satu bencana yang dapat dilihat dari contoh-contoh berikut:
- Semasa darurat diisytiharkan pada bulan Januari 2021 untuk menguruskan wabak Covid-19, Malaysia berada di tempat ke-69 dari segi jumlah kes terkumpul, tetapi enam bulan kemudian selepas darurat berakhir, kita berada di tempat ke-23.
- Semasa darurat bermula pada bulan Januari 2021, kita berada di tempat ke-16 dari 53 negara dengan ekonomi yang bersaiz lebih besar dari AS$200 billion dalam Indeks Ketahanan Covid yang diterbitkan Bloomberg, enam bulan kemudian, Malaysia jatuh 37 anak tangga ke tempat terakhir.
- Semasa darurat diisytiharkan, Malaysia mencatatkan 135,992 kes terkumpul dan 551 kematian akibat Covid-19. Enam bulan kemudian kita mencatatkan 1,113,272 kes dengan 9,024 kematian — lebih lima kali ganda lebih banyak kes dan 16 kali ganda lebih banyak kematian selepas darurat diisytiharkan.
Oleh itu saya tidak boleh memahami dakwaan Muhyiddin baru-baru ini yang kononnya di bawah pimpinannya, pandemik Covid-19 di Malaysia hampir mencapai tahap endemik dan nyawa telah diselamatkan, kononnya “hanya beberapa orang sahaja yang terkorban”.
Apa yang mengejutkan bukanlah hakikat di mana Muhyiddin menipu mengenai Covid-19, tetapi sejumlah besar rakyat Malaysia yang kepada Muhyiddin, kerana 9,000 kematian bukanlah satu angka yang kecil.
Kejayaan pengurusan bencana Covid-19 ini adalah satu peristiwa yang perlu dimanfaatkan oleh Menteri Kesihatan baharu untuk menjalankan penyiasatan meluas mengapa negara kita mencatatkan prestasi yang sebegitu buruk supaya Malaysia dapat menjadi lebih bersedia untuk berhadapan dengan pandemik-pandemik lain di masa hadapan.
Kajian meluas ini perlu juga merangkumi pendedahan mengejut dari bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Adeeba Kamarulzaman, yang mengatakan sekurang-kurangnya 30 orang graduan perubatan terbaik Universiti Malaya meninggalkan Malaysia setiap tahun kerana masalah petugas kesihatan yang tidak diselesaikan dalam negara kita.
Kerajaan perlu merangka program untuk menarik bakat perubatan dan bakat-bakat lain yang terbaik untuk ke Malaysia dan bukannya sebaliknya.