Kerajaan Anwar perlu memberikan keutamaan terhadap reformasi undang-undang untuk memastikan salah guna SOSMA dalam dekad yang lepas untuk menutup skandal rasuah, untuk menyekat kempen pilihan raya yang bebas dan adil, dan untuk menangkap rakyat Malaysia yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Tamil Tigers tidak berulang lagi
Kerajaan Anwar perlu memberikan keutamaan terhadap reformasi undang-undang untuk memastikan salah guna Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam dekad yang lepas untuk menutup skandal rasuah, untuk menyekat kempen pilihan raya yang bebas dan adil, dan untuk menangkap rakyat Malaysia yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Tamil Tigers tidak berulang lagi.
Antara contoh salah guna SOSMA dalam dekad yang lepas:
- Penangkapan Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chong, untuk mengelakkan mereka dari melancarkan kempen antarabangsa untuk mendedahkan skandal 1MDB. Malah, Khairuddin telah menang saman penahanan tidak sah terhadap kerajaan dan dianugerahkan ganti rugi sebanyak RM300,000 dengan RM50,000 kos.
- Penangkapan bekas Pengerusi Bersih 2.0 dan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, kerana kempen Bersih untuk pilihan raya yang bebas dan adil.
- Penangkapan bekas ADUN DAP dan EXCO Melaka, G. Saminathan, dan ADUN DAP Negeri Sembilan, P. Gunasekaran, atas dakwaan kononnya terdapat hubungan dengan LTTE, mendakwa yang mereka adalah sebahagian daripada rancangan untuk menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia.
- Sejumlah 33 keluarga di Sungai Petani, Kedah, yang berhadapan dengan kesusahan selepas pencari nafkah dalam keluarga mereka ditangkap di bawah SOSMA pada tahun 2020. Dua tahun kemudian, mereka yang berusia di antara 22 ke 60 tahun ini masih di bawah tahanan reman sambil menunggu perbicaraan mahkamah mereka, selepas didakwa di bawah peruntukan Kanun Keseksaan.
Kerana salah guna seperti inilah 88 orang Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan mengundi untuk menentang pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi pada bulan Julai tahun ini.
Menteri Dalam Negeri ketika itu, yang kini menjadi Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, semasa dalam penggulungan perbahasan usul berkenaan SOSMA ini bersetuju dengan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menyatakan bahawa terdapat peruntukan dan klausa yang tidak adil di dalam Akta ini.
Hamzah mengatakan yang kabinet yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamed bersetuju pada 29 November 2019 untuk membawa pindaan kepada SOSMA.
Hamzah mengatakan yang pentadbiran Ismail Sabri memerlukan lebih banyak masa untuk melaksanakan keputusan kabinet yang dibuat pada tahun 2019 kerana mereka perlu melaksanakan libat urus bersama dengan pemegang taruh, termasuklah pihak polis.
Kerajaan Anwar perlu menyelesaikan sesi libat urus mengenai penghapusan peruntukan zalim dalam SOSMA yang dimulakan oleh pentadbiran Ismail Sabri ini dan bentangkan pindaan-pindaan yang perlu ke Parlimen dalam sidang bulan Februari untuk mengelakkan dari berulangnya salah guna SOSMA yang pernah berlaku sebelum ini.