Undi Percaya di Parlimen telah mengukuhkan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 untuk lima tahun tetapi kita masih perlu berjaga dengan kemungkinan berlakunya konspirasi politik Langkah Sheraton 2 untuk menumbangkan kerajaan Anwar dengan lebih awal
Usul undi Percaya di Parlimen semalam telah mengukuhkan kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 untuk lima tahun yang akan datang, tetapi kita masih perlu berjaga dengan kemungkinan berlakunya konspirasi politik Langkah Sheraton 2 untuk menumbangkan kerajaan Anwar dengan lebih awal.
Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan perkara ini dengan jelas dalam perbahasan di parlimen semalam, walaupun dalang di sebalik konspirasi politik Langkah Sheraton 2 kini perlu sedar yang selepas undi percaya di Parlimen semalam, rancangan mereka ini tidak berkemungkinan untuk terjadi dalam beberapa bulan yang akan datang seperti yang dijangkakan mereka.
Undi percaya ini telah memberikan kelegaan dan ruang untuk menetapkan semula hala tuju pembinaan negara dan untuk Malaysia menghentikan kemerosotan negara kita, dari sebuah negara bertaraf dunia kepada sebuah negara yang biasa-biasa sahaja, yang kini berisiko untuk menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik semasa ulang tahun ke-100 negara.
Walaupun Ahli-ahli Parlimen PN tidak membantah usul ini, amat malang sekali apabila mereka memilih untuk berdalih mengenai perkara-perkara remeh, dan bukannya menumpukan perbahasan kepada keperluan untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik dalam beberapa dekad yang akan datang.
Hanya ada seorang sahaja Ahli Parlimen yang bercakap mengenai kemerosotan negara dan menggesa Ahli-ahli Parlimen untuk memperbetulkan ekonomi kita dan bukannya untuk berdalih mengenai perkara-perkara remeh.
Ahli Parlimen UMNO untuk Titiwangsa, Johari Ghani, menyatakan kejutannya melihat kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang tidak berkembang dari tahun 2018 sehingga 2021, yang berada pada paras -0.1 peratus, manakala KDNK Indonesia mencatatkan perkembangan 11.8 peratus, diikuti oleh Vietnam (24.2 peratus), Thailand (9.7 peratus), dan Filipina (19.3 peratus).
Dia memberikan amaran yang Malaysia mungkin akan ke arah yang sama seperti Sri Lanka, yang mengalami krisis ekonomi pada awal tahun ini, sekiranya kerajaan gagal untuk memulihkan ekonomi.
Dia mengatakan, sekiranya pertelagahan politik berterusan dalam negara, Malaysia berisiko untuk terus ditinggalkan di belakang Singapura, Indonesia, Vietnam, dan Thailand dari segi pembangunan ekonomi.
Dia mengatakan lagi: “Kita telah membazirkan masa dengan tiga orang perdana menteri dalam empat tahun yang lepas dan kita telah ketinggalan di belakang jiran serantau kita.”
Johari Ghani mempertahankan undian percaya ini, mengatakan ia diperlukan untuk memastikan kerajaan dapat berkhidmat untuk satu penggal penuh dan diberikan peluang untuk meningkatkan ekonomi negara dengan kestabilan politik yang bakal menarik lebih banyak peluang pelaburan asing secara langsung.
Ahli-ahli Parlimen perlu menggunakan ruang yang ada ini untuk membina semula ekonomi dan mengangkat Malaysia ke dalam era maklumat dan teknologi; untuk menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia yang datang dari latar belakang pelbagai kaum, agama, dan kawasan; untuk menamatkan kezaliman dan ketaksamaan dalam negara; memastikan sekolah dan universiti kita menjadi pusat kecemerlangan pendidikan; mempunyai sebuah kerajaan yang bersih, jujur, dan tidak korup yang diiktiraf dunia; dan menggunakan sebaiknya nilai-nilai murni dari empat tamadun hebat yang bertemu di Malaysia.
Ahli-ahli Parlimen PN tidak mempunyai sebarang idea bagaimana untuk menghentikan kemerosotan Malaysia dan untuk membina semula Malaysia ke dalam dunia moden.
Persoalannya kini adalah, sama ada Ahli-ahli Parlimen PN ini mampu untuk bangkit dan meninggalkan polemik dan semantik, dan sebaliknya, menyertai usaha untuk menyelamatkan negara supaya Malaysia boleh menjadi hebat sekali lagi.