Perkara yang paling patriotik yang patut dibuat oleh Muhyiddin adalah untuk dia berkecuali dalam undi kepercayaan di Parlimen kerana sebarang bantahannya terhadap usulnya hanya bermakna dia mengutamakan kepentingan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri “pintu belakang” berbanding dengan kestabilan dan masa hadapan negara
Perkara yang paling patriotik yang patut dibuat oleh Muhyiddin Yassin adalah untuk dia berkecuali dalam undi kepercayaan di Parlimen kerana sebarang bantahannya terhadap usulnya hanya bermakna dia mengutamakan kepentingan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri “pintu belakang” berbanding dengan kestabilan dan masa hadapan negara.
Saya percaya yang saya layak untuk memberikan satu dua nasihat kepada Muhyiddin mengenai bagaimana untuk menjadi seorang Ketua Pembangkang yang bertanggungjawab, memandangkan saya sendiri telah menjadi salah seorang Ketua Pembangkang untuk tempoh yang terlama dalam negara — walaupun dalam hari-hari tergelap untuk demokrasi di negara kita.
Saya masih ingat undi kepercayaan pertama dalam sejarah Parlimen Malaysia pada tahun 1976 selepas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, meninggal dunia dan Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga.
Ahli-ahli Parlimen DAP mengambil pendirian berkecuali dan tidak membantah usul kepercayaan terhadap Hussein Onn sebagai Perdana menteri ketiga, tetapi dalam ucapan saya semasa usul ini dibahaskan, saya bercakap mengenai bagaimana Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang bersatu padu, progresif, berhala tuju, dan makmur.
Saya bercakap mengenai ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Melayu yang miskin mengenai hasil pembangunan negara yang hanya dinikmati oleh mereka yang berkedudukan, yang mempunyai hartanah, dan mereka yang memiliki modal; dan juga mengenai kekecewaan orang bukan Melayu yang semakin merasakan yang mereka tidak mempunyai masa hadapan di Malaysia dengan sejumlah besar golongan profesional bukan Melayu yang telah berpindah keluar negara; mengenai kemerosotan autoriti moral kerajaan yang disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dalam jawatan-jawatan tinggi politik, baik di peringkat kerajaan Persekutuan atau Negeri; dan juga mengenai peningkatan penipuan dan ketidakjujuran dalam kehidupan awam.
Saya memberikan empat cadangan untuk menyelesaikan masalah-masalah negara ini, iaitu:
- Menakrifkan semula hubungan antara kelas di malaysia, supaya kerajaan berhenti untuk melindungi dan mempromosikan kepentingan pihak tertentu yang berkedudukan dan bermodal, sebaliknya untuk kerajaan menghapuskan dan menamatkan eksploitasi dan kemiskinan;
- Untuk mendapatkan semula keyakinan semua kaum bahawa mereka dan anak-anak mereka mempunyai tempat dan masa hadapan yang terjamin di negara ini;
- Untuk mengembalikan semula autoriti moral kerajaan dengan menghapuskan rasuah dan ketidakjujuran dalam kehidupan awam; dan
- Untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan dan makna proses demokrasi dan hak-hak mereka.
Undi kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 akan menjadi undi kepercayaan kedua dalam sejarah Parlimen Malaysia.
Muhyiddin perlu bangkit di Parlimen semasa usul ini untuk menyatakan apakah cadangan-cadangannya untuk menyelesaikan masalah utama yang membelenggu negara kita; masalah mengenai perpaduan negara dan bagaimana untuk kita menghentikan kemunduran Malaysia dari sebuah negara hebat bertaraf dunia kepada sebuah negara biasa-biasa sahaja yang kini berada dalam bahaya untuk menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara.
Sekiranya Muhyiddin membantah usul kepercayaan ini di Parlimen, perkara ini menunjukkan yang dia tidak bersedia untuk mengetepikan kepentingan dan cita-cita peribadinya untuk menjadi Perdana Menteri “pintu belakang” sekali lagi dan bahawa dia akan melakukan sedaya upayanya untuk menumbangkan kerajaan Anwar Ibrahim melalui satu konspirasi politik seperti Langkah Sheraton 2.0.